Pages

Sabtu, 21 Mac 2020

Kelupis Lockdown

Assalamualaikum.
Selamat petang.
Lockdown sana.
Lockdown sini.
Seluruh negara sedang menjalani perintah kawalan pergerakan!
Khabarnya jumlah yang menjadi korban Covid 19 menjelang petang ini sudah mencecah angka 6 orang.
Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung denganMU dari kejahatan mereka. Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka! Kacau-bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka! Hantarkan ke atas mereka anjing-anjing Kamu! Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Menyiksa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, wahai Tuhan yang menggerakkan awanan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami ke atas mereka - Terjemahan doa Qunut Nazilah.
Petang yang semakin menghampiri remang senja ini merupakan petang keempat kita berada dalam zon kawalan pergerakan. Bermakna, esok kita akan menghadapi hari yang kelima. Entah apa cerita selanjutnya berikutan sudah diumumkan tentang penglibatan anggota tentera untuk turun padang. Moga-moga keadaan akan bertambah baik.


Ketika kami berehat-rehat, Fairuz di dalam bilik, Firdaus di ruang tamu kedua, Encik Suami di ruang tamu pertama dan Amie di ruang bacaan : Masing-masing sedia menjarakkan diri di antara satu sama lain. Bagaimanapun waktu makan, semua berkumpul di meja yang sama di dapur. Ketika itulah Encik Suami mengingatkan Amie tentang kelupis frozen yang Amie beli dan bawa pulang selepas belajar membuat biskut raya di rumah Kak Yong pada 8 Mac 2020 lalu. Cepat-cepat Amie keluarkan dari freezer untuk dinyahbeku. 
Tapi nak makan dengan apa?
Kumpul bahan yang ada, akhirnya jadilah sambal kacang dengan ayam untuk cecahan kelupis.

Kelupis atau kuih kelupis ini merupakan makanan tradisi masyarakat Brunei, Sarawak dan Sabah. Diperbuat daripada beras pulut dan santan, dibungkus dalam daun nyirik. Kelupis boleh dimakan dengan pelbagai jenis lauk seperti rendang, kari, sambal dan sebagainya. Oleh kerana kelupis dalam simpanan Amie ini kelupis frozen, jadi Amie hanya perlu kukus sahaja sehingga masak.

 Inilah rupa kelupis yang sudah dikukus.
Dan kami makan dengan Ayam Masak Sambal Kacang.
Nak makan dengan kuah kacang sahaja pun boleh.

Ayam Masak Sambal Kacang yang Amie olah ini separuh kacangnya hancur dan separuh lagi kasar. Kami memang suka begini.

Boleh klik blog link di sini untuk resepi : SAMBAL / KUAH KACANG

Bahan-bahan:
2 cawan kacang tanah - goreng terlebih dahulu dan kemudian kisar separuh hancur - ketepikan (kalau rajin goreng sangan (tanpa minyak) Amie goreng dengan minyak
700 gram daging ayam - potong ikut suka
1 sudu kecil pati asam jawa 
4 cawan air
2 batang serai - dititik
garam / gula secukup rasa - Amie gunakan 3 sudu besar parutan gula melaka
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering - kurangkan jumlah jika tak mahu rasa pedas
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 labu bawang besar
3 batang serai - hiris halus
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
1 sudu besar ketumbar
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan serai, kacang tanah, pati asam jawa dan air.
3. Masak sehingga kuah kacang mendidih.
4. Kemudian masukkan daging ayam. Masak lagi sehingga daging ayam lembut dan kuah kacang masak rata.
5. Perasakan dengan garam dan gula merah secukupnya.
6. Perlahankan api dapur dan biarkan seketika sehingga kuah pecah minyak.
7. Padamkan api dapur.

Kami panggil Kelupis Lockdown!
Maklumlah, ketika mematuhi arahan kawalan pergerakan, sampai tak tahu nak masak apa, dan nak makan apa sebab asyik tak cukup bahan untuk diolah. Syukurlah masih ada bekalan kelupis frozen.

Sekian, cerita tentang Kelupis Lockdown.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan