Pages

Ahad, 2 Februari 2020

Nasi Goreng Belacan Pedas Berapi

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Sarapan apa pagi ini?
Tentu ada yang yang bawa keluarga bersarapan di luar, dan tidak kurang juga yang menyediakan sendiri di rumah. Apa pun yang penting, alas perut itu perlu sebelum memulakan aktiviti di hujung minggu. Maklum sahajalah, hari cuti begini bukan bermakna kita berehat sepanjang hari, tetapi inilah masanya untuk ambil kesempatan membersihkan rumah, menghadiri pelbagai majlis dan jemputan dan sebagainya. Dan saat inilah juga kita berkesempatan untuk merapatkan silaturahim sesama ahli keluarga dan jiran tetangga.


Bila anak-anak semua berkumpul di rumah, memang setiap hari ada saja pertanyaan: Mommy masak apa hari ini? Pagi ini Amie goreng nasi saja. Banyak lebihan nasi semalam, dan memang sengaja masak lebih untuk buat nasi goreng sebagai sarapan pagi. Nasi goreng yang Amie olah biasa-biasa saja tetapi kali ini Amie tambah belacan dan juga cili padi kampung. Amie gunakan minyak bekas gorengan ayam. Itu sebab nasi goreng nampak kuning, kesan minyak goreng ayam berkunyit.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih / sejuk
1 sudu besar belacan serbuk
1 labu bawang besar - cincang
1/2 batang lobak merah - hiris halus
5 batang sosej ayam - potong dadu
4 sudu besar minyak 
garam / perasa secukupnya

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
15 biji cili padi kampung

Bahan hiasan tambahan:
ikan bilis goreng
hirisan daun bawang
telur goreng
bawang goreng

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Goreng bawang besar cincang hingga kekuningan.
2. Masukkan bahan tumbuk. Tumis hingga wangi dan kemudian masukkan belacan serbuk. 
3. Seterusnya masukkan sosej dan lobak merah. Gaul rata sehingga sosej dan lobak merah masak.
4. Masukkan nasi putih dan gaul rata.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya. 
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
7. Hidangkan dengan bahan tambahan seperti ikan bilis goreng, hirisan daun bawang, telur goreng dan bawang goreng.


 Walaupun pedas tapi sedap! Nampak meriahkan?


2 ulasan:

  1. aduh kak nasi goreng simple gini pun boleh bertambah makan, mesti semerbak bau belacan nya masa di goreng tu kan...
    dana hari ahadlah hari beli barang dapur, lepas tu hari dok jenguk pokok tanaman hehehe walaupun pokoknya beberapa bekas je

    BalasPadam
  2. pergh terasa kesedapan nasi goreng tu di lidah sekarang. hehe

    BalasPadam