Jom sembang di dapur kecil Amie.
Pagi tadi, selepas solat Subuh, Encik Suami ajak Amie ke pasar. Sebenarnya pasar pun belum buka lagi. Ketika kami sampai, suasana di luar pasar memang sibuklah dengan urusan peraih dan penjual sayur. Banyak sungguh lori kecil membawa muatan pelbagai sayuran, buah-buahan dan sebagainya ada di situ. Tidak kurang juga sederetan peniaga kecil yang menjual sayur, pisang, cili, makanan dan sebagainya di luar bangunan pasar sayur. Pasar ikan pula memang kosong belum didatangi peniaga ikan.
Seronok pula melihat pelbagai jenis sayuran kampung seperti pucuk ubi, kangkung, peria, cendawan, cili padi, cili besar merah hijau, mangga, nanas, betik, jagung dan entah apa lagi. Kebetulannya, peniaga di luar pasar menjual dengan harga jauh lebih murah dari dalam bangunan pasar.
Bila terpandang longgokan pucuk ubi, tiba-tiba teringat masakan sayur lodeh yang selalu MIL masak. Al-Fatihah buat MIL.
Jadi, kami pun beli dua cekak pucuk ubi opah (nama pokok ubi yang selalu MIL sebut), sebiji jantung pisang dan dua ikat bunga betik. Biasanya MIL akan bubuh pucuk betik muda dalam masakan sayur lodehnya. Tapi bunga betik yang kami beli sudah cukup banyak, jadi bila terpandang pucuk betik, antara hendak beli dengan tidak, akhirnya kami tak beli.
Sempat jugalah Encik Suami beli kelapa parut di pasar sayur yang baru dibuka. Sukanya mata kita memandang deretan sayur-sayur segar di dalam pasar!
Kemudian Encik Suami ajak ke Pasar Tani pula. Kami beli sarapan pagi untuk Fairuz dan Firdaus. Seterusnya Encik Suami bawa Amie ke kampungnya, untuk bersarapan di warung. Lebih kurang pukul 7:30 pagi, kami sampai ke rumah, disambut oleh si kecil Firdaus yang menunggu di pintu pagar.
Sayur lodeh yang agak lama tidak dinikmati kini sudah siap terhidang.
Inilah rupa jantung pisang yang kami beli dengan harga RM2.00.
Bunga betik ini Amie sudah leraikan dari tangkainya. Juga berharga RM2.00.
2 cekak pucuk ubi opah ini berharga RM1.
Alhamdulillah, dapat harga yang rendah. Biasanya sebiji jantung pisang berharga RM5.00, dan bunga betik RM4.00. Lain kali kalau nak jimat dan dapat harga murah, kenalah rajin ke pasar selepas Subuh....hiks!
Jom kita masak resepi tinggalan arwah MIL. Masakan sayur lodeh MIL (Cocos) berbeza dengan sayur lodeh kita (Malaya, terutamanya Jawa). Masakan sayur lodeh MIL menggunakan rempah biji ketumbar. Apa pun, menurut Kamus Bahasa Melayu, lodeh ialah masakan daripada berbagai-bagai jenis sayur yang dimasak dgn santan hingga empuk. Manakala Wikipedia bahasa Indonesia pula mengatakan sayur lodeh mempunyai berbagai macam variasi terutama pada bumbunya, ada yang santannya berwarna putih dan ada juga yang santannya berwarna kuning kemerahan.
Bahan-bahan:
1 biji jantung pisang - celur hingga lembut - hiris nipis
2 cekak pucuk ubi - celur hingga lembut - hiris nipis
2 cekak bunga betik - celur hingga layu
1 biji kelapa parut - kisar dengan 1.4 liter air
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - tumbuk kasar
1/2 cawan minyak
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
4 sudu besar ketumbar biji
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
Jantung pisang yang sudah dicelur hingga lembut, dan kemudian dihiris-hiris.
Pucuk ubi yang sudah dicelur, toskan, bilas dan perah airnya. Kalau tak nak hiris pun tak jadi masalah.
Bunga betik ini agak pahit tapi kalau tak mahu rasa pahitnya, bolehlah rebus dengan asam keping. MIL tak suka hilang pahit, katanya tak ada khasiat. Amie pun ikut cara MIL sebab Encik Suami pun suka rasanya yang sedikit pahit. Sebenarnya bila sudah siap dimasak, tidaklah terasa pahitnya pula bunga betik itu!
Udang kering yang ditumbuk kasar. Kalau tak mahu bubuh udang kering pun tidak jadi masalah. Biasanya MIL akan masukkan beberapa keping ikan layar goreng ke dalam masakan lodehnya.
Ini ialah campuran bahan kisar termasuk cili kering, bawang putih, bawang merah dan ketumbar biji. Kalau tak bubuh ketumbar, tidaklah bernama masakan lodeh versi Cocos...hiks!
Gunakanlah santan segar supaya dapat menghasilkan masakan sayur lodeh yang asli. Wokey, jom kita masak.
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan udang kering, biarkan seketika sehingga terbit aromanya.
3. Masukkan jantung pisang, bunga betik dan pucuk ubi. Gaul rata.
4. Seterusnya masukkan santan kelapa dan masak hingga mendidih.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Padamkan api dapur.
Memang banyaklah hasil masakan sayur lodeh Amie tengahari tadi. Penuh sebelanga! Kebetulan pula, ada mekanik sedang membaiki kereta Amie dan datang pula adik ipar dari kampung. Jadi, kami pun makanlah bersama.
Selain sayur lodeh, Amie sediakan beberapa jenis lauk lain sebagai pelengkap makan tengahari kami.
Petai ini Amie goreng saja. Teringat makan petai goreng di Rumah Makan Inggil, di Malang November 2019, jadi kali ini buat di dapur sendiri.
Minta tolong Fairuz buatkan air asam untuk cecah dengan siput tarik @ sikad-sikad.
Siput sikad-sikad ini kami beli di pasar tani.
Ikan tulai ini Amie goreng saja. Biasanya MIL akan hidangkan sayur lodeh dengan ikan layar goreng dan sambal belacan. Susah sangat nak jumpa ikan layar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. FIL pula, kalau jumpa ikan layar di pasar memang selalu borong 5-6 kilogram!
Tidak ketinggalan, telur dadar sebab Firdaus akan cari telur goreng kalau makan nasi!
Ini dia sayur lodeh orang Cocos. Warna kuahnya kuning kemerahan kerana adanya cili kering.
Jemput ye...
Isi siput sikad-sikad kena tarik dengan lidi pencungkil!
Pernah makan tak?
menarik nya kak, memang lain betul ya.... tapi teringin jugak kadang nak rasa lodeh perasa lain...
BalasPadamlodeh ni kene ada lauk sampingan jugak ye kak, selalu kalau kita kan sayur lodeh makan dengan sambal kelapa, sambal merah, telur sambal ke kan... ini menarik jugak makanan sampingan nya
salam,
BalasPadamtak pernah nampak ada dijual di semenanjng. kalau nampak di pantai takde isi. cuma nampak shell aja yang dikutip utk buat siput congkat.
Dana, masakan lodeh kita dengan lodeh orang Cocos tak sama heheee.
BalasPadamNor,
ya, banyak jenis siput tak sama, barangkali lain jenis pesisir pantai Malaya dengan Borneo, jadi spesiesnya juga berbeza.
Betul kak amie..masak lodeh kebanyakkan tempat x sama...bestnya jantung pisang tu...dapat rebus..cicah dengan sambal belacan...sedapnyaa
BalasPadam