Pages

Selasa, 31 Disember 2019

Nasi Lemak Halba dengan Sambal Udang

Assalamualaikum buat seua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Terima kasih kerana masih sudi masuk dapur, menemani sembang-sembang di sini.
Terima kasih juga buat followers baru yang menambah bilangan di dapur maya ini.
Amie ingin ucapkan selamat menempuh tahun baru 2020, dan meninggalkan tahun 2019 yang penuh dengan pelbagai cerita suka dan duka.
Peristiwa pahit jangan terus dibuang, mana tahu terselit banyak pengajaran di sebaliknya. Begitu juga yang manis, jangan terus ditelan. Mana tahu di sebalik yang manis itu sebenarnya penuh dengan kepahitan.
Menutup tirai 2019, Amie kongsikan Nasi Lemak Halba dengan Sambal Udang. Menu ini Amie masak minggu lepas, tapi tak sempat nak kongsi sebab Amie sekeluarga ke Semporna, seterusnya ke Tawau untuk menyempurnakan tugas rasmi selama 5 hari.

Entah berapa kali Fairuz bertanya, bila Mommy boleh masak nasi lemak?
Rindu rupanya anak bujang ini nak makan hasil air tangan kita. Sepanjang cuti sekolah, memang Fairuz ambil alih tugas masak di dapur. Tapi dia memilih jenis masakan. Kalau masak ayam, memang lajulah kerjanya, tapi kalau masak ikan, macam hendak tak hendak saja dibuatnya...ahaks!

Seperti biasa, kalau masak nasi lemak memang Amie akan lebihkan semua sukatan. Bolehlah makan sekali harung, dari sarapan pagi sampai ke tengahari. Kali ini tidak ada ikan bilis dan kacang tanah goreng. Rupanya habis ikan bilis dalam simpanan diberikan kepada kucing yang datang ke rumah! Kerja siapa tu? Tak lain tak bukan kerja dua beradik, Fairuz dan Firdaus! Amie sudah pesan jangan berikan kucing ikan bilis, takut kena sakit buah pinggang kucing-kucing itu. Tapi kata dua beradik ini, kucing tak mahu makan ikan yang diberi! Kucing nak makan ikan bilis juga! Hurrrmmmm.... sejak bila pulak kucing pilih nak makan ikan bilis! 
Kacang tanah pula Amie gantikan dengan kacang gajus, baki kudap-kudapan yang dibeli di Hatyai tempohari.

Masak nasi lemak halba sama sahaja dengan cara masak nasi lemak biasa, cuma tambah sedikit halba. Aromanya memanglah sungguh menggamit selera ketika nasi sedang mendidih dalam periuk.

Bahan-bahan:
4 cawan beras biasa - cuci bersih dan toskan airnya
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1/2 sudu kecil halba
3 cm halia - hiris
3 biji bawang putih - hiris
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
1/2 sudu kecil gula pasir
1 sudu kecil garam

Cara memasak:
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi (rice cooker) bersama semua bahan lain.
2. Tekan butang 'on' dan biarkan sehingga masak seperti memasak nasi biasa.

Amie gandingkan Nasi Lemak Halba dengan Sambal Udang. Kali ini Amie gunakan udang bemban, dan bukannya udang kertas seperti kebiasaannya. Oleh kerana cili kering yang digunakan memang terasa kepedasannya, jadi Amie lebihkan penggunakan bawang. Amie gunakan 3 labu bawang besar dan 10 biji bawang merah. Kesemuanya Amie kisar sekali harung dengan bahan-bahan lain.

Bahan-bahan:
700 gram udang bemban - bersihkan dan buang kulit
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 helai daun pandan - siat dan simpul
1/2 cawan minyak
1/2 cawan gula melakagaram / perasa pilihan

Bahan kisar:
30 biji cili kering
1 sudu besar belacan
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
3 labu bawang besar

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng daun pandan hingga terbit bau.
2. Masukkan bahan kisar serta gula melaka dan tumis hingga terbit minyak.  Kemudian masukkan bancuhan air asam jawa dan biarkan mendidih sehingga terbit minyak lagi.
3. Masukkan udang dan tumis sehingga udang masak.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Keluarkan daun pandan apabila hendak menghidangkan sambal.

Setelah nasi lemak halba tanak, dan sambal udang masak, bolehlah hidangkan dengan lauk sampinga lain yang digemari. Amie tambahkan telur rebus, hirisan mentimun, kacang gajus dan juga keropok. Keropok ini dari Kelantan, mek dan kakak Dik Za Fauzan yang berikan kami. Jauh kembara keropok ini, dari Bachok pergi ke Hatyai, kemudian terus ke Kedah dan terbang ke Sabah!

4 ulasan:

  1. Maq suka nasi lemak halba. Aroma dia hmmm..

    BalasPadam
  2. Madam Maq,
    betul tu... apalagi kalau sesekali masak bubu halba, memang terasa lain aromanya.

    BalasPadam
  3. Aroma halba dan halia bersama santan tù ďh terbau mcm nasi dagang pulak

    BalasPadam
  4. Sedapnya nadi lemak herba ni...ada plak sambal udang tu ha..keropok...eh..rasa nak buat la nasi lemak tp nak lauk sambal kerang..erm..sedapnya..

    BalasPadam