Pages

Ahad, 10 November 2019

Ikan Cencaru Sumbat Kelapa

Rata-rata orang kita pernah makan ikan cencaru, baik diolah cara panggang, goreng atau masakan asam pedas. Ikan cencaru merupakan salah satu ikan kegemaran Amie terutama sekali di zaman bergelar penuntut universiti suatu ketika dahulu. Ini disebabkan setiap kali ke mana-mana kafetaria, selain ikan talapia goreng berlada, ikan cencaru sumbatlah pilihan Amie. Bahkan, kalau ada pasar malam sama ada di Seksyen 7 atau Kampung Kerinchi, memang ikan cencaru sumbat jugalah yang Amie cari!
Apa yang menarik sangat ikan cencaru sumbat kelapa ini?
Bagi Amie, inti kelapa itulah yang sangat menggugat rasa bila digaul dengan nasi. Aromanya mampu menaikkan selera apalagi di kala perut sedang berlagu keroncong!

Seingat Amie, waktu mula-mula berkahwin dahulu, tidak pernah sekali pun keluarga Encik Suami membeli atau memasak ikan cencaru. Barangkali, banyak pilihan ikan lain yang menambat selera mereka. Lama-kelamaan, setelah beberapa kali Amie cuba hidangkan, Encik Suami pun mula pandai makan ikan cencaru. Kalau Amie buat ikan cencaru sumbat kelapa, diletakkan ke tepi pula inti kelapa itu! Akhirnya, setiap kali ada ikan cencaru, Amie hanya goreng atau panggang sahaja, cecah dengan air asam atau sambal kicap.
Namun, sesekali teringat kembali ikan cencaru sumbat kelapa! Kebetulannya, Encik Suami beli dua ekor saiz agak besar, dan mencecah 1 kg. Amie gunakan seekor untuk dijadikan ikan sumbat.

Siaplah hidangan tengahari kami. Seekor Ikan Cencaru Sumbat Kelapa, telur dadar, sayur kobis masak lemak dengan tempe dan sambal colek. Sambal colek yang Amie buat, ikut resipi MIL. MIL akan goreng kesemua bahan termasuk bawang putih, bawang merah, belacan dan cili padi dan kemudian dikisar halus, ditambah dengan perasa dan jus limau kasturi.

Alhamdulillah.
Nampaknya Encik Suami menerima baik Ikan Cencaru Sumbat Kelapa! Katanya, sedap pula inti kelapa itu. Memang sedap, cuma selama ini Encik Suami suka ketepikan. Bagi Amie, kalau sudah ada lauk ikan cencaru sumbat kelapa, tak perlu cari lauk lain dah.... hiks! Nikmatilah dengan penuh rasa!

Jom lihat resipi Ikan Cencaru Sumbat Kelapa di bawah ini. Sesetengah orang akan tumbuk  kelapa parut supaya hancur sedikit, tapi Amie lebih suka biarkan dalam bentuk asalnya.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan cencaru - anggaran 500 gram - bersihkan - belah belakangnya
1 cawan kelapa parut
1 helai daun kunyit muda - hiris halus
1/2 sudu kecil pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
1 biji cili merah - buang biji (jika ingin pedas boleh tambahkan cili padi)
2 cm kunyit hidup
1 cam halia
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 sudu kecil belacan
5 biji lada putih

Cara memasak:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk. Tambahkan kelapa parut, pati asam jawa, hirisan daun kunyit, garam / gua / perasa pilihan secukupnya.
2. Gaul sebati semua bahan dalam mangkuk.
3. Masukkan ke dalam belakang ikan cencaru sehingga padat.
4. Panggang hingga masak kedua-dua belah ikan. Goreng pun boleh.

Ketika dipanggang, aroma inti kelapa semerbak sampai ke ruang tamu menyebabkan Firdaus datang ke dapur dan bertanya: Mommy masak apa tu?

2 ulasan:

  1. I really loved reading your blog. It was very well authored and easy to understand. Unlike other blogs I have read which are really that good.Thanks alot! Wondering where to go in 2019? Things to do has ranked as the best include a remote, idyllic island, the design capital ...

    BalasPadam
  2. sedapnya kak... dana pernah la dulu buat ikan caru sumbat kelapa mmg sedap mintak resepi dari emak... tapi lama2 datang malas buat caru bakar bodoh2 je heheheh

    BalasPadam