Pages

Jumaat, 12 Julai 2019

Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor

Jumpa lagi.
Amie kongsikan resepi Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor, hidangan tengahari kami sekeluarga pada hari ini. Alhamdulillah, sekembalinya anak-anak dan Encik Suami dari menunaikan solat Zohor, kami makan tengahari bersama.

Sebenarnya daun kelor ini Amie bawa pulang dari tempat kerja kelmarin tengahari, tetapi sampai rumah lain ceritanya. Apa tidaknya, sampai rumah sudah tersedia longgokan sate yang banyak! Ada orang belanja sate! Jadi kami pun makan saja sate tersebut, dan perut pun kenyang sehingga nasi yang dimasak oleh Fuad tidak terjamah!
Daun kelor?
Terlupa!

Tengahari tadi Amie dapati daun kelor masih lagi elok, dan daun-daunnya pun belum berguguran. Pucuknya pula kelihatan sangat muda dan lembut! Daun kelor ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti merunggai, rambungai, lemunggai dan juga moringa. Masyarakat tempatan di Sabah ada yang memanggilnya dengan nama tambarayong. 

Baiklah kita masak lemak daun kelor, temankan dengan udang galah. Amie tambahkan udang kering kisar halus ke dalam masakan.  Kemudian goreng ikan  kerapu dan buat sambal belacan!
Jom kita lihat resepi Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor di bawah ini.

Bahan-bahan:
400 gram udang galah - bersihkan - toskan
10 batang daun kelor - lurutkan daun dari tangkai dan petik pucuknya yang muda
800 ml santan - dikisar dari 1/2 biji kelapa
1 keping asam gelugor
1 batang serai - diketuk
1 biji cili merah - hiris
garam / gula  / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
20 biji cili padi
2 sudu besar udang kering
3 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Masukkan santan ke dalam periuk / kuali disertai dengan bahan tumbuk / kisar, serai, asam gelugor dan udang galah.
2. Masak di atas api sederhana dan sentiasa dikacau supaya tidak pecah minyak.
3. Setelah udang galah masak, masukkan daun kelor, hirisan cili merah, garam / gula / perasa pilihan.
4. Kacau seketika sehingga daun kelor berubah warna.
5. Padamkan api dapur.


Daun kelor yang Amie masak bersama udang galah ini masih sangat muda dan lembut, jadi sebaik sahaja Amie masukkan ke dalam masakan udang galah, Amie hanya kacau sekali dua sahaja dan padamkan api dapur sebab kalau masak agak lama, sayur akan hancur.

Kononnya nak olah daun kelor masak lemak tapi akhirnya bernama Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor. Udang galahnya pula yang menenggek dalam mangkuk, manakala sayur daun kelornya pula tenggelam ke dalam kuah. Jemput makan ye.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan