Pages

Sabtu, 6 Julai 2019

Perut Lembu Masak Lemak dengan Labu Siam

Jumpa lagi.
Dah makan tengahari?
Apa agaknya lauk hidangan yang disajikan buat keluarga tersayang?
Kalau belum makan, mari jamu mata dengan Perut Lembu Masak Lemak dengan Labu Siam.

Tengah malam tadi. Fuad sampai ke rumah setelah tiga hari berada di Kota Kinabalu. Anak buah (sepupu Fuad) pula membelikan kami sayur-sayuran dari Kundasang. Salah satunya ialah sayur labu siam atau lebih dikenali sebagai timun jepun (tupuk gipun) oleh orang tempatan. Lama tak masak sayur labu siam. Jadi, berangan untuk masak lemak buat hidangan tengahari. Cadangnya nak masak lemak dengan udang kering sebagai perencah dengan menambah sedikit suhun.

Amie tunggu Encik Suami pulang dari kerja untuk makan tengahari bersama. Fairuz dan Firdaus Amie beri makan terlebih dahulu sebab hari pun sudah menjangkau ke petang. Maklumlah di LD, masuk waktu Zohor pukul 12 lebih, jadi kalau hampir pukul dua petang itu kira agak lewatlah juga untuk makan tengahari. Satu jam yang lalu, Amie telefon Encik Suami, dan katanya ada sedikit kerja yang perlu diselesaikan. Memandangkan kami berdua bersarapan agak lewat (pukul 10 pagi) jadi perut Amie sebenarnya masih kenyang. Makan lewat sedikit pun tidak jadi masalah.
Selepas makan, Fairuz bertanya: Apa yang Mommy masak tu? Sedap betul!
Alhamdulillah. Mungkin perut lembu yang dimasak itu lembut, jadi senanglah dikunyah dan sudah tentu rasanya sedap.
Sebenarnya Amie sudah bersedia dengan senarai barang dapur yang kering dan basah  yang hendak dibeli di sebelah petang atau malam nanti di pasar raya. Biasanya, awal bulan begini, Encik Suami akan ajak beli barang dapur. Ketika memeriksa peti sejuk, terpandang pula sebuah mangkuk merah kecil dan Amie bawa keluar. Rupanya ada lebihan perut lembu yang Amie telah rebus sewaktu hari raya sebulan yang lalu! Alhamdulillah!  Senang kalau nak terus masak, sebab sudah direbus lembut! Serta-merta terus ubah fikiran. Baiklah masak sayur labu siam dengan perut lembu!

Maka bermulalah operasi menggeledah mencari kalau-kalau ada cili padi.... hiks! Nampaknya cili padi bersama teman baiknya, bawang putih dan bawang merah serta serai cukup lengkap untk menyerah diri menjadi perencah masak lemak. Oleh kerana serai sudah nampak kurus dan layu, jadi Amie gunakan 4 batang.

Huurrrmmm.... kunyit hidup sudah habis. Jadi, turunlah ke belakang dapur, cabut pokok kunyit yang tumbuh subur di dalam tayar di bawah pokok mangga. Bubuh serbuk kunyit pun ok juga, tapi Amie nak gunakan kunyit hidup. Nampaknya kunyit hidup pun masih muda dan warnanya pun kurang terang, jadi Amie gunakan beberapa ketul untuk dikisar bersama rakan-rakannya yang lain.

Wokey... semua bahan perencah sudah lengkap. Mari kita bersihkan sayur labu siam.
Oppppssss! Jangan lupa, asam keping @ asam gelugor! Lupa nak bubuh dalam piring di atas tu.

 Amie gunakan sebiji sahaja. dan potong-potong seperti di bawah.

Nampaknya sebiji labu siam menghasilkan semangkuk hirisan!

Perut lembu pula lebih kurang sama banyak dengan labu siam. Nampaknya lelemaknya masih banyak, dan Amie rendam dengan air panas dan kemudian buang air tersebut yang mengandungi lemak.

Sebagai tambahan untuk memeriahkan hidangan, Amie tambahkan semangkuk kecil suhun, lebih kurang secawan setelah direndam dan ditoskan. Dan jangan lupa santan! Tak jadilah namanya masak lemak kalau tak bersantan....hiks!


Mari kita lihat bahan-bahan untuk Perut Lembu Masak Lemak dengan Labu Siam di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 mangkuk hirisan perut lembu yang sudah dicelur
1 biji / 1 mangkuk hirisan labu siam
800 ml santan - 300 ml santan pekat tambah 500 ml air
1 cawan suhun yang sudah direndam dan ditoskan
4 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugor
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
4 cm kunyit hidup
30 biji cili padi hijau
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. Tuangkan santan. Kacau sebati.
2. Kemudian masukkan serai, asam keping, perut lembu dan labu siam.
3. Masak dengan menggunakan api sederhana panas.
4. Kacau selalu supaya tidak pecah santan. 
5. Apabila kuah mula mendidih, masukkan suhun, garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau lagi, dan apabila labu siam kelihatan agak layu, padamkan api dapur.

Encik Suami sudah sampai rumah. Dia tanya, masak apa hari ini? Katanya lagi, nak solat Zohor dahulu. Lepas itu bolehlah makan tengahari bersama. Fuad pula, susah sangat nak tinggalkan bilik! Mungkin masih letih akibat perjalanan jauh, jadi asyik tidur saja! Kalau dah letih, makan pun tak ingat dah!

Jom ke dapur.
Kita makan tengahari.

1 ulasan:

  1. aduh kak, sedapnya nengok perut tu... tp dana tak pernah msk labu siam tu, rasanya mcmne ye kak?

    BalasPadam