Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung yang sudi singgah di dapur Amie.
Hari ini Amie kongsikan resepi Nasi Lemak Sotong Goreng.
Banyak kali dah kongsi resepi nasi lemak, tapi tetap nak kongsi juga walaupun ceritanya sama, tapi ada juga yang beza sedikit....hiks!
Cerita tentang nasi lemak memang tak akan pernah habis! Menu tradisional ini semakin hari semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara kita yang berbilang kaum. Kalau dahulu nasi lemak terhad berlaukkan sambal, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, telur rebus dan mentimun, tetapi pada hari ini lauk-pauknya semakin mewah! Hidangannya pula bukan hanya untuk bekalan petani atau penoreh gerah sebagai alas perut di waktu pagi tetapi kini sudah terkenal sebagai hidangan istimewa di hotel bertaraf bintang-bintang dan juga sebagai hidangan pilihan di dalam kapal terbang baik penerbangan domestik atau ke luar negara. Waktu menikmatinya tidak lagi hanya pada sebelah pagi sebagai sarapan tetapi bila-bila masa baik pagi, tengahari, petang atau pun malam! Pendek kata nasi lemak sudah terkenal seantero dunia! Wah! Hebatnya dia yang bernama nasi lemak! Meriahnya dunia masakan tanahair kita!
Jadi, sudah sepatutnya nasi lemak tidak boleh dipandang sebelah mata.
Marilah kita sama-sama menjaga dan memartabatkan masakan tradisi ini sampai bila-bila dan walau di mana kita berada!
Seperti kebiasaannya, anak-anak suka sambal udang kering. Walaupun pada mulanya Amie ingin masak sambal ikan bilis, tapi demi selera anak-anak Amie buatlah juga sambal kegemaran mereka.
Ikan bilis ini nanti akan digoreng sahaja, bersama rakan karibnya, si kacang tanah di bawah ini.
Amie berkira-kira untuk masak nasi lemak aroma pandan. Jadi Amie suruh Fuad ke belakang dapur ambilkan beberapa helai daun pandan untuk dikisar dan diambil jusnya. Apa pula masalah daun pandan di belakang dapur? Kenapa daun-daun kecil yang diambilnya? Huurrmmm.... malas nak banyak cakap, Amie gunakan sahajalah daun-daun pandan bersaiz kecil seperti gambar di bawah. Tiba-tiba teringat cerita Farid setahun atau dua tahun yang lalu! Amie suruh ambilkan daun pandan, dibawanya masuk daun pisang! Harap anak-anakku tahulah sekarang membezakan mana satu daun pisang dan mana satu daun pandan! Dan memang Amie tertawa sendiri di dapur, bila terkenang Fairuz sewaktu kami beraya di kampung di Malaya! Amie suruh ambil serai, dihulurkannya daun ubi! Aduuhhh! Anakku yang satu ini pun tak kenal pokok serai yang Nendanya tanam berumpun-rumpun di belakang rumah!
Daun pandan ini Amie kisar bersama 200 ml air dan kemudian Amie tapis. Hasilnya seperti di bawah ini. Walaupun mungkin hasilnya nanti warna nasi lemak tidak berapa hijau, tapi cukuplah sekadar untuk aroma dan warnanya yang lembut sahaja.
Santannya pula, Amie kisar 2 cawan kelapa parut. Maka terhasillah santan seperti di bawah. Syukurlah ada pengisar di zaman ini, kalau guna tangan memang santan cairlah yang keluar dari celah-celah jari....hiks!
Untuk menyerlahkan aroma nasi lemak, Amie bubuh dua kuntum bunga lawang dan sebatang kulit kayu manis.
Jom kita lihat resepi nasi lemak yang Amie oleh kali ini. Nasi Lemak Aroma Pandan.
Bahan-bahan:
7 cawan beras biasa (cawan beras rice cooker) - cuci dan toskan
200ml jus air pandan
600ml santan - sukatan santan ikut jenis beras sebab ada beras jenis makan air dan ada yang memang ikut sukatan misalnya satu cawan beras bersamaan dengan satu cawan santan / air
3 cm halia - ketuk
3 biji bawang putih - ketuk
2 kuntum bunga lawang
3 cm kulit kayu manis
1 sudu kecil garam
Cara memasak:
1. Masukkan beras, halia, bawang putih, bunga lawang, kayu manis, daun pandan dan garam ke dalam periuk (rice cooker).
2. Tuangkan jus air pandan dan santan sehingga paras 7 di dalam rice cooker - Amie ikut sukatan beras iaitu 7 cawan beras (sukatan rice cooker) bersamaan dengan ukuran / sukatan paras 7 rice cooker. Jika ingin hasil nasi lemak lebih lembut, boleh tambahkan sedikit air lagi.
3. Kacau isi rice cooker beberapa kali dan kemudian tutup periuk.
4. Tekan butan 'on' dan biarkan sehingga nasi lemak masak.
Nasi lemak aroma pandan di pagi yang hening!
Selalunya halia dan bawang putih dihiris, tapi kali ini main ketuk-ketuk saja.
Gambar pun masih samar-samar sebab matahari belum naik!
Sementara menunggu nasi lemak tanak, dan sambal udang kering mereneh dalam kuali, eloklah bersihkan sotong yang sudah agak lama duduk sembunyi dalam peti sejuk! Nak habiskan stok sotong di pagi minggu, supaya ada ruang untuk kehadiran sotong baru.
Amie pun tak pasti berapa berat sotong yang akan Amie olah untuk dijadikan lauk nasi lemak. Kononnya nak goreng salut tepung. Lama tak buat hidangan kegemaran anak-anak begini. Ada 12 ekor sotong saiz sederhana, tak besar dan tak kecil! Bersihkan sotong sebersih-bersihnya tau, jangan bagi mata dan mulut serta telur dan juga benda lain tertinggal dalam perut. Biasanya Ame akan keringkan sotong sekering-keringnya sebelum campur dengan bahan lain untuk digoreng. Kali ini Amie cuba kaedah seorang rakan yang pernah beri petua untuk goreng kaki ayam supaya tidak meletup sewaktu menggorengnya di kuali. Katanya, bubuh sedikit cuka makan. Jadi Amie pun bubuh 2 sudu besar cuka makan dan gaul rata pada sotong tadi. Kemudian Amie biarkan sebentar sebelum toskan sekali lagi sotong tersebut.
Sementara itu Amie sediakan bahan pemerap sotong.
Amie gunakan dua ketul kecil kunyit hidup, lebihan masaka lemak perut dengan labu siam kelmarin. Amie tumbuk bersama bawang putih, halia, lada putih, jintan manis dan ketumbar biji.
Bahan-bahan:
12 ekor sotong - bersihkan - buang segala mata, mulut, telur dan bendasing dalam perut sotong - kelar-kelar dan toskan - gaul dengan 2 sudu besar cuka makan - biarkan seketika dan kemudian toskan kembali
4 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung beras
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
2 biji telur - pukul ringan
minyak
Bahan tumbuk:
2 ketul kecil kunyit hidup
3 ulas bawang putih
2 cm halia
1/2 sudu kecil lada putih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil ketumbar biji
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
Kesemua bahan tumbuk ditumbuk halus kecuali jintan manis dan ketumbar biji dimasukkan terakhir sekali untuk ditumbuk sekadar pecah sahaja.
Cara memasak:
1. Gaul sotong bersama semua bahan tumbuk. Ketepikan.
2. Dalam sebuah bekas, campurkan tepung gandum, tepung jagung, tepung beras dan Maggi Cukup Rasa. Gaul rata. Ketepikan.
3. Ambil bekas berisi telur yang sudah dipukul ringan. Celupkan secara merata sotong tadi dan kemudian lumurkan dengan campuran tepung. Buat langkah seterusnya sehingga selesai kesemua sotong bersalut tepung.
4. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam.
5. Pastikan minyak benar-benar panas sebelum memasukkan sotong ke dalam kuali.
6. Setelah sotong kuning keemasan, bolehlah angkat dan toskan.
Walaupun sudah diperap dengan perencah, tapi Amie toskan juga supaya sotong tidak berair. Nampaknya warna kuning kunyit hidup tidak begitu menyerlah seperti warna kuning serbuk kunyit.
2 biji telur ayam yang dipukul ringan.
Ambil sotong dan celupkan ke dalam bancuhan telur dan kemudian pindahkan ke dalam bekas berisi campuran tepung. Untuk menghalang dari melekat di tangan, gunakan garfu untuk untuk menyalur tepung ke seluruh sotong.
Kemudian gorenglah sotong yang sudah bersalut tepung tadi. Jangan bubuh banyak-banyak sotong dalam kuali, nanti lambat masak atau garing dan hasilnya kurang cantik. Amie hanya bubuh 5 atau enam ekor sotong sekali goreng.
Gorengan pertama sudah keluar dari kuali! Kita teruskan gorengan seterusnya.
Nampaknya Amie menyiapkan sotong goreng salut tepung ini sebanyak 3 kali. Dan yang terakhir Amie goreng kepala sotong dengan janggutnya sekali!
Gorengan terakhir... kepala sotong! Ini yang paling sedap untuk diratah!
Inilah hasilnya 12 ekor sotong goreng salut tepung!
Telur rebus sudah boleh diangkat dari periuk.
Ikan bilis pun sudah digoreng.
Kacang tanah juga sudah digoreng.
Dan sambal udang kering pun sudah boleh diangkat dari kuali. Mari kita lihat resepi Sambal Udang Kering di bawah ini.
1 helai daun pandan - siat dan simpul
1/2 cawan minyak
2 sudu besar gula merah parut
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
25 gram belacan - hancurkan
1 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan - kisar halus
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
3 labu bawang besar
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
7 biji buah keras
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan daun pandan, belacan serta udang kering kisar. Tumis hingga terbit aroma.
2. Masukkan bahan kisar, gula melaka dan gula pasir.
3. Biarkan masak dengan api sederhana.
4. Apabila terbit minyak, masukkan bancuhan asam jawa dan biarkan mendidih, sehingga terbit minyak sekali lagi.
5. Jika kurang rasa, bolehlah tambah Maggi Cukup Rasa atau garam / gula dan sebagainya. Sebenarnya belacan dan udang kering sudah sedia memberi rasa masin dalam sambal. Apa pun, sesuaikan rasa mengikut selera masing-masing.
Penggunaan buah keras bertujuan untuk memekatkan sambal, tapi kalau tak mahu bubuh pun tidak ada salahnya.
Beginilah rupa Sambal Udang Kering untuk dihidangkan bersama nasi lemak. Sambal ini kelihatan kurang berminyak sebab Amie kurangkan jumlah minyak, dari kebiasaan 3/4 cawan kepada 1/2 cawan sahaja.
Nasi lemak sudah tanak. Sambal udang kering sudah siap. sotong goreng salut tepung sudah tersedia. Telur rebus sudah dikupas. Terakhir, jangan lupa hirisan mentimun. Amie tambahkan hirisan tomato, sebab memang suka makan tomato...heheheee!
Fairuz!
Panggil Baba! Sarapan dah siap!
Fairuz!
Mana Fuad?
Panggil turun!
Sarapan!
Mana Firdaus?
Sudah mandikah belum?
Mari sarapan di dapur!
Ini dia Nasi Lemak Aroma Pnadan berwarna hijau pucat, namun nampak berseri juga apabila dikelilingi oleh para pengiringnya termasuk sambal udang kering, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, sotong goreng salut tepung, telur rebus, mentimun dan hirisan tomato.
Selamat menjamu selera!
Firdaus tidak sabar untuk menikmati Nasi Lemak Aroma Pandan dengan Sotong Goreng! Dialah yang paling banyak meratah sotong goreng!
Sekian.
Cerita Nasi Lemak Aroma Pandan dengan Sotong Goreng di hari minggu!
tengok masakan nasi lemak akak tu, teringin lak rasanya nk masak nasi lemak jugak... dengan sotong goreng mcm akak... tp nampaknya kene tungu hujung minggu lah jawabnya... kalau hari biasa selalnya dana msk yg simple2 je... sbb dana nk cuba elak makan malam... kalau msk utk 2 beranak tu, terliur pulak nnti hehehhe...
BalasPadamSedapnyaaa...nasib baik hari ni SA dah dapat dah nasi lemak sambal kerang....menambah makan la SA hari ni
BalasPadam