Pages

Ahad, 14 Julai 2019

Makanan Tradisi Bajau : Kilau @ Kinilau, Latok & The Gang

Jom sembang makanan tradisi masyarakat Bajau belah pantai timur Sabah khususnya di Lahad Datu. Setiap kali keluar ke kedai mesti terpandang gerai jualan ikan panggang, putu, tompek dan juga kilau. Kadang-kadang kalau tak ada selera makan, memang gerai itulah yang dituju. Beli sebatang dua putu bersama sebungkus kilau serta ikan panggang. Pendek kata makanan tradisi ini memang ada di mana-mana, baik di warung kecil di taman-taman perumahan atau di bandar.
Biasanya kilau  atau kinilau yang Amie beli, bahan yang digunakan begitu mudah untuk diperolehi. Ikan yang digunakan pun tidak semestinya dari jenis ikan besar atau mahal seperti ikan tuna atau tenggiri. Ada kalanya Amie jumpa isi ikan kembung, ikan bilis dan ikan lain yang bersaiz kecil. Ketika menikmatinya bersama putu, akan terkunyahlah hirisan halia muda, yang tidak 'mengganggu' rasa. Cili padinya pula dibubuh bulat sebiji-sebiji tanpa dihiris. Kalau nak rasa pedas, patahkan atau picit saja cili tersebut.
FIL gemar makan kilau. Kalau Amie di kampung, kebetulan FIL pula membawa ikan segar, FIL suruh Amie buatkan kilau untuknya. FIL suka gunakan isi ikan belanak.

Hari ini bersilat sendirian di dapur menyediakan kilau @ kinilau. Amie gandingkan dengan teman-teman yang seangkatan dengannya termasuk latok, siput tarik dan juga ikan belais panggang.

  Biasanya dalam hidangan bersama latok, Amie panggang ikan kayu @ tongkol, tetapi hari ini Amie panggang ikan belais.


Nampak ikan kembung @ ikan temenung yang segar dan cantik, belilah sekilogram. Kononnya nak buat kilau.

Di Pasar Ikan Lahad Datu, memang akan kelihatan di sana sini peniaga kecil-kecilan dengan jualan mereka seperti mangga muda, bawang, halia, limau dan cili padi. Kesemua bahan ini digunakan sebagai ramuan untuk menghasilkan kilau. Kalau dah pasang niat nak buat kilau, beli saja ikan pilihan dan bahan-bahannya di sini.

Sampai di rumah, tak sabar nak bersihkan ikan kembung @ temenung untuk dijadikan kilau. Amie ambil 5 ekor sahaja. Sebenarnya ikan kembung @ temenung ini Amie suka sangat goreng lembik-lembik, lepas tu makan dengan nasi panas dan bubuh kicap! Walllaaaa..... enak banget!

Ini dia bahan-bahan untuk mengolah kilau. Selain isi ikan, kita perlukan mangga, bawang merah atau bawang besar, halia, cili padi dan juga jus limau kasturi. Kalau nak gunakan cuka untuk gantikan limau kasturi pun boleh juga. Kalau FIL, memang kena gunakan jus limau nipis... ahaks! Halianya pula, Amie lebih suka gunakan halia muda, sebab rasa dan baunya tidak terlalu kuat, boleh kunyah sekali sewaktu menikmati kilau.

Banyak juga jus limau yang Amie gunakan. Rasanya hampir 15 biji limau kasturi untuk menghasilkan jus seperti dalam gambar di bawah. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
5 ekor ikan kembung @ temenung (boleh gunakan isi ikan lain seperti tenggiri, ikan bilis dll) - bersihkan - ambil isinya dan hiris nipis
1 biji mangga muda - kupas kulit - cincang
1 labu bawang besar - kupas kulit - hiris
4 cm halia - hiris halis
10 biji cili padi - boleh hiris jika suka pedas
1/2 cawan jus limau kasturi
garam / perasa pilihan

Semua bahan sudah siap dan bersedia untuk bergabung menjadi satu di dalam mangkuk.

 Ikan kembung yang sudah dihiris.

 Jus limau kasturi.
Kalau tidak ada limau kasturi, boleh gantikan dengan cuka makan.

 Hirisan bawang besar dan halia.

 Hirisan mangga muda.

 Cili padi yang telah dipotong dan ada yang biar bulat begitu sahaja. Kalau nak lebih pedas, boleh gunakan cili padi kampung.

Mari kita mulakan kerja. Mula-mula masukkan hirisan mangga muda ke dalam mangkuk besar.

 Kemudian masukkan pula hirisan halia dan bawang besar.

 Seterusnya masukkan hirisan isi ikan.

 Jangan lupa masukkan juga cili padi.

 Garam / perasa pilihan.

 Dan akhir sekali tuangkan jus limau kasturi.

 Gaul rata dan biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dihidangkan.

Setelah 20 minit, isi ikan pun 'masak' oleh jus limau kasturi, dan bahan lain seperti mangga dan bawang besar juga kelihatan layu. 

 Mari kita hidangkan bersama rakan-rakannya yang lain.

 Ada latok @ rumpai laut @ anggur laut.

 Siput tarik pun ada. Tarik keluar isi siput gunakan lidi pencucuk dan cecah dengan sambal cili padi & bawang putih.

 Ikan belais panggang menggantikan ikan kayu @ tongkol seperti kebiasannya.

 Lada pencecah yang sangat sedap!  
Cili padi, bawang putih, jus limau kasturi, garam, gula & perasa pilihan.

Kali ini Amie tak makan nasi. Amie hanya meratah sahaja latok, ikan belais panggang dan siput tarik!

Encik Suami yang menambah-nambah nasi dalam pinggan!
Sekian.

3 ulasan: