Pages

Ahad, 14 Julai 2019

Jalan-Jalan Cari Kuih di Pasar Tani Lahad Datu

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu.
Pagi ini gantung periuk kuali.
Awal pagi lagi sudah keluar untuk cari alas perut di restoran di seberang jalan sanun. Perut tak berapa nak terima sebab matahari belum terbit....  ahaks! Kita punya perut ni lain macam tau. Kalau matahari dah bersinar barulah boleh terima sebarang makanan dan minuman dengan selesa!
Selesai bersarapan, kami hantar Fuad ke kelas memandu.
Fairuz pula, masih berada di sekolah kerana mengikuti aktiviti perkhemahan.
Tinggalkan kami bertiga dengan Encik Suami dan Firdaus.
Kami  ke Pasar Tani Lahad Datu untuk mencari apa yang patut dibeli termasuk sayur-sayuran, siput, petai, cili dan sebagainya. Tidak ketinggalan beli kuih-muih, bolehlah makan sebelum makan tengahari nanti.

 Beli kuih RM1 setiap jenis. Dapatlah berjenis-jenis.... banyak juga! 

Sesekali teringin juga merasa kuih-muih yang orang jual. Sedap atau sebaliknya itu ikut selera dan citarasa masing-masing. Yang penting dapat tambah ilmu tentang rasa dan bahan yang digunakan. Nampaknya kuih penjaram yang biasanya dijual dengan harga RM1 untuk 3 ketul sudah berubah kepada RM1 kepada 2 ketul sahaja.

Kuih tradisi masyarakat Bajau ini juga sudah dipelbagaikan dengan penggunaan warna hijau dari jus daun pandan. 

Kuih kasturi atau kuih cucur kacang hijau ini kegemaran Encik Suami.
Tak berani nak kata kuih kaum mana, sebab dari kecil memang dah biasa jumpa dan makan kuih ini.

 Ini kuih sawallah. kuih tradisi masyarakat Bugis.  

Ini pula bebola ubi kayu. Sesetengahnya memanggil dengan nama hetuk ubi kayu. Kalau 'getuk' itu bunyinya dari bahasa Jawa.  Tak pasti pula Getuk Ubi Kayu ini milik tradisi siapa.

 Ini kuih buroncong. Kawan-kawan kata kuih buroncong ini kuih tradisi masyarakat Bugis.

Jalan-jalan Cari Kuih di Pasar Tani Lahad Datu berakhir bila bertemu dengan rendang ayam dan lemang. Marilah kita beli, nak cuba pula masakan rendang ayam hasil air tangan peniaga tempatan. Oh! Kuah rendangnya berlinang-linang dengan minyak.

Lemangnya pula ada warna putih dan warna hijau daun pandan.
Sekian.
Kisah Jalan-Jalan Cari Kuih di Pasar Tani Lahad Datu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan