Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Terima kasih diucapkan kepada followers baru yang sudi memeriahkan dapur kecil ini. Moga perkongsian cerita dapur dalam dunia maya ini akan memberikan manfaat buat semua.
Pagi ini tidak ada resepi istimewa yang akan Amie kongsikan melainkan resepi Laksa Asam yang Amie rasa belum puas dinikmati walaupun setakat ini sudah 4 kali Amie memasaknya termasuk sewaktu berbuka puasa, dua kali masak untuk hidangan hari raya dan untuk hari ini juga. Sementara menunggu laksa yang direndam menjadi putih, Amie tuliskan entri ini dahulu kerana petang nanti akan bersiap-siap menghadiri rumah terbuka raya pula. In shaa Allah.
Alhamdulillah, setakat ini dapat menghadiri setiap jemputan rumah terbuka yang diadakan sama ada oleh keluarga, jiran tetangga dan juga kawan-kawan (tidak semestinya hari cuti.) Jadi, dapur pun kurang berasap seminggu dua ini terutamanya pada waktu malam.
Amie hanya ingin kongsikan keenakan hidangan Laksa Asam yang bukan sahaja Amie rasakan sedap, tetapi para tetamu juga berpendapat sedemikian, malah ada yang meminta resepinya. Laksa yang sedap sebenarnya terletak pada kuahnya. Sedap kuahnya, maka sedaplah keseluruhannya. Bahan-bahan lain seperti telur rebus, nanas, daun salad, hirisan timun, hirisan bawang dan yang sewaktu dengannya semuanya itu sebagai pelengkap. Begitu juga dengan petis (bagi sesiapa yang suka sebab ada yang alahan dengan baunya) serta bahan penambah rasa seperti perahan jus limau kasturi dan hirisan cili padi!
Untuk mendapatkan kuah laksa yang memang sangat sedap boleh klik blog link Amie di sini: CARA MEMBUAT KUAH ASAM LAKSA PALING SEDAP!
Ini sahaja gambar laksa asam yang sempat Amie rakam pada malam rumah terbuka raya kami. Maklumlah sibuk melayan tetamu dan menyediakan hidangan lain, jadi memang tidak ada masa untuk fokus tangkap gambar.
Untuk hidangan Laksa Asam ini Amie masak dua kali, iaitu pada sebelah malam untuk keluarga sebelah Encik Suami, dan pada keesokan harinya Amie masak lagi untuk tetamu Amie dan tetamu Encik Suami yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja.
Sebelum ini, kuah asam laksa yang Amie buat tidak menggunakan cili kering yang banyak, dan warnanya pula agak pucat seperti gambar di bawah. Ketika hari raya, Amie tambahkan kuantiti cili kering, dan warnanya lebih terang dan agak pedas sedikit tetapi rasanya tetap sedap!
Gambar atas, percubaan kali pertama gunakan resepi yang Amie gbungjalinkan hasil dari pengalaman makan laksa, masak kuah laksa dan idea teman-teman.
Kalau kali pertama Amie hanya gunakan 'hati' nanas dan bunga kantan kisar, tetapi kali kedua, Amie lebihkan nanas iaitu dengan menggunakan keseluruhan bahagian nanas! Rasanya juga lebih terangkat.... Oh! Sedapnya!
Langkah seterusnya, Amie gunakan kaedah 'keringkan air' terlebih dahulu sebelum memasak kuah laksa. Bahan-bahan yang dikisar termasuk bawang besar, bunga kantan, nanas dan sebagainya dimasak dahulu sehingga kering, dan kemudian barulah masukkan ikan yang dikisar serta air tulang ikan yang dikisar dan ditapis.
Jangan lupa, sebagai penyedap rasa, tambahkan ikan sardin dalam tin! Untuk majlis rumah terbuka Amie masak kuah menggunakan 2 kg ikan bersama satu tin besar ikan sardin dan sebiji nanas seberat 1 kg. Maaflah ye, tak boleh jangkakan untuk makan berapa orang, sebab tak sempat kira berapa tetamu yang hadir. Tapi, ada yang menambah beberapa kali sebab sukakan kuahnya yang sedap itu! Jadi, rasa berbaloi-baloi menyediakannya walaupun agak memenatkan sebab Amie pun masak makanan yang lain juga.
Gambar di atas, kuah laksa yang lepas dengan warna yang agak pucat dan gambar bawah, Asam Laksa di hari raya dengan kuah yang lebih menyerlah. Mari kita lihat resepi yang Amie gunakan untuk rumah terbuka yang kami adakan untuk keluarga pada malam hari raya pertama.
Bahan-bahan:
3 bungkus laksa kering - rendam dengan air biasa sehingga bertukar warna putih - celur - toskan
2 kg ikan selayang - bersihkan - toskan (kalau boleh gunakan 2 jenis ikan seperti ikan selayang + ikan kembung - 1 kg selayang + 1 kg kembung)
1 tin besar ikan sardin - pisahkan isi dari sosnya
4 kuntum bunga kantan - belah 4
20 tangkai batang daun kesum
10 keping asam gelugor
4 batang serai - dititik
6 liter air
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
50 tangkai cili kering - ikut pilihan cili kering masing-masing (boleh tambah atau kurangkan) - ada jenis cili kering pedas dan kurang pedas
20 tangkai cili padi - ikut suka nak bubuh atau tidak
14 labu bawang besar
30 gram belacan - bakar
2 kuntum bunga kantan - hiris kasar
1 biji nanas seberat 1kg
4 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
(Nanas yang Amie gunakan nanas yang sudah masak. Amie beli nanas separuh masak tiga hari sebelum masak kuah laksa, dan nanas sempat masak ranum! Walaupun rasanya manis tetapi tidak menjejaskan rasa kuah, sebab manis buah semula jadi dan bukannya gula! Jadi, penambahan asam gelugor, garam / perasa pilihan dapat seimbangkan rasa kuah tersebut.
(Nanas yang Amie gunakan nanas yang sudah masak. Amie beli nanas separuh masak tiga hari sebelum masak kuah laksa, dan nanas sempat masak ranum! Walaupun rasanya manis tetapi tidak menjejaskan rasa kuah, sebab manis buah semula jadi dan bukannya gula! Jadi, penambahan asam gelugor, garam / perasa pilihan dapat seimbangkan rasa kuah tersebut.
Bahan pelengkap:
hirisan timun
hirisan bawang besar
hirisan nanas
hirisan bunga kantan
telur rebus
petis
limau kasturi
sambal kicap / hirisan cili padi / cili merah
Cara memasak:
1. Rebus ikan selayang dengan menggunakan 6 liter air dan 6 keping asam gelugor. Jangan rebus terlalu lama. Sebaik sahaja air rebusan ikan mendidih, dan biji mata ikan tersembul putih, tutup periuk dan padamkan api dapur. Biarkan sekitar 5 minit sebelum ditapis untuk memisahkan air rebusan dan ikan.
1. Rebus ikan selayang dengan menggunakan 6 liter air dan 6 keping asam gelugor. Jangan rebus terlalu lama. Sebaik sahaja air rebusan ikan mendidih, dan biji mata ikan tersembul putih, tutup periuk dan padamkan api dapur. Biarkan sekitar 5 minit sebelum ditapis untuk memisahkan air rebusan dan ikan.
2. Masukkan kesemua bahan kisar ke dalam periuk, dan masak sehingga airnya kering.
3. Pisahkan isi ikan dengan tulang dan kepala ikan.
4. Kisar isi ikan bersama air rebusan ikan.
5. Kemudian kisar tulang dan kepala ikan dengan air rebusan ikan dan tapis.
6. Keluarkan isi sardin dalam tin dan pisahkan isi dengan sosnya.
7. Kisar ikan sardin bersama air rebusan ikan.
8. Masukkan kesemua isi dan air tulang ikan yang dikisar serta lebihan air rebusan ikan ke dalam periuk. Tiada penggunaan air biasa selain air rebusan ikan.
9. Setelah kuah mula mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan, serai serta asam gelugor lebihan untuk rebus ikan.
10. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan akhir sekali masukkan lebihan kepingan isi ikan selayang dan ikan sardin.
11. Biarkan mendidih lagi selama lebih kurang 5 - 10 minit dan kemudian padamkan api dapur.
Alhamdulillah! Sebaiknya masak kuah lebih awal beberapa jam sebelum dihidangkan kerana kuah akan menjadi lebih mesra dan sebati. Untuk rumah terbuka sebelah malam, Amie siapkan kuah laksa sebelah tengahari, dan sebelum dihidang Amie panaskan semula. Ketika ini kita boleh 'memperbaiki' rasa kuah sekiranya ada yang terkurang seperti menambahkan garam dan sebagainya.
10. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan akhir sekali masukkan lebihan kepingan isi ikan selayang dan ikan sardin.
11. Biarkan mendidih lagi selama lebih kurang 5 - 10 minit dan kemudian padamkan api dapur.
Alhamdulillah! Sebaiknya masak kuah lebih awal beberapa jam sebelum dihidangkan kerana kuah akan menjadi lebih mesra dan sebati. Untuk rumah terbuka sebelah malam, Amie siapkan kuah laksa sebelah tengahari, dan sebelum dihidang Amie panaskan semula. Ketika ini kita boleh 'memperbaiki' rasa kuah sekiranya ada yang terkurang seperti menambahkan garam dan sebagainya.
Amie yakin Laksa Asam yang dihasilkan dapat memancing selera para tetamu. Selepas ini Amie tidak akan berfikir dua kali sekiranya ingin menghidangkan Laksa Asam kepada tetamu sebab sudah mendapat resepi kuah yang semeangnya sungguh sedap. Apa pun, lain padang lain belalang, lain orang lain seleranya.... betul tak?
Rasanya laksa yang direndam sudah berubah warna putih di dapur tu.... ! Kuah laksa pun sudah lama menunggu, dan Amie akan panaskannya sekali lagi. Terima kasih sudi membaca dan untuk melihat gambar lengkap segala bahan membuat kuah laksa asam, boleh klik sekali lagi di sini: Cara Membuat Kuah Laksa Asam Paling Sedap!
Belanja gambar anak-anak bujang yang membantu di dapur setiap kali diadakan rumah terbuka. Sebelah siangnya bukan main bergaya, sampai rumah kena tukar baju tolong Mommy di dapur! Fuad ini tukang lap pinggan mangkuk, dan sediakan minuman.
Farid memang tidak cukup tangan bantu Mommy potong itu ini dan cuci pinggan mangkuk!
Fairuz, bertugas memastikan kalau hidangan berkurangan, kena cepat-cepat isi semula.
Terima kasih anak-anak Mommy!
Sekian!
Cerita Laksa Asam.
Jom ikut Amie ke dapur.... makan Laksa Asam!
terliur nengok laksa asam akak... lagi2 boh nenas tuh...
BalasPadamrajin anak2 bujang akak membantu, takdelah semua emaknya yg kene buat