Pages

Jumaat, 10 Mei 2019

Cara Masak Nasi Ayam yang Sedap!

Assalamualaikum semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Moga hari ini hari yang menceriakan, hari penuh keberkatan dan mudah-mudahan sentiasa sihat di samping keluarga tersayang. Terima kasih kerana sudi singgah dapur maya yang tidak sepertinya ini. Terima kasih daun keladi kerana tak jemu-jemu membaca bebelan kita di sini...kihkihkih!
Hari ini memang ingat sungguh-sungguh pesan Encik Suami supaya 'tidurkan' Firdaus sebab Encik Suami nak bawa Firdaus bertarawih. Malam semalam Encik Suami tak jadi bawa sebab sebelah petangnya Firdaus tidak tidur, jadi memang sebelah malam Firdaus akan tidur awal, dan Encik Suami tidak mahu Firdaus tertidur di masjid.
Kita pun tumpang dua kakilah tidur sama Firdaus. Moga dapat mimpi nak masak apa untuk hidangan berbuka petang nanti. Kononnya nak masak mee hoon goreng saja. Tiba-tiba pintu bilik terbuka, dan masuk Encik Suami. Ingatkan lepas solat Jumaat akan terus ke tempat kerjanya. Eh! Balik rumah pulak!
Panas sangat cuaca hari ini! Nak rehat sekejap. Nanti sambung balik kerja. Katanya.
Nyamannya! Katanya lagi.
Memang sangat nyaman sebab kebetulan aircond terpasang, jadi dia pun terus berbaring di sebelah Firdaus yang sedang tidur-tidur ayam.
Sambil menepuk-nepuk belakang Firdaus, Encik Suami berkata: Tidur ya sayang. Malam nanti ikut tarawih.
Nak masak apa petang ni? Tanyanya.
Alamak! Pertanyaan inilah yang 'seram' nak dijawab!
Nasi ayam! Itu jawapan kita....aduhai! Mana terbang mee hoon goreng tu?
Haaa... masaklah. Ada bahan yang nak dibeli?
Huurrmmm.... bawang putih, cili merah bla..blaaa..blaaaa.
Nanti boleh beli, jawabnya dan bingkas bangun keluar dari bilik.
Eh! Kata panas! Kata nak rehat sekejap. Tiba-tiba terus menonong tinggalkan kami.
Heheeee... kita pun pejam-pejamkan mata mencari ilham, menghening cipta nak cari resepi untuk nasi ayam!
Tiba-tiba teringat makan nasi ayam dengan kerabu mangga!
Aduhai!!!
Nampaknya tak bolehlah berlama-lama buat tahi mata. Kenalah segera bersilat di dapur, lari ke belakang dapur nak cari daun pandan dan buah mangga.

Nasi Ayam untuk juadah berbuka siap terhidang. Bolehlah pilih nak makan lauk ayam goreng atau ayam rebus. Gambar pun asal ada saja. Petang tadi cuaca yang panas tiba-tiba bertukar mendung. Awan terus kelabu sampailah ke Maghrib. Sudahlah tak pandai ambil gambar, faktor cuaca turut membuatkan gambar yang diambil asal tangkap muat saja... hiks!

Sesungguhnya resepi nasi ayam yang selalu Amie masak tidaklah ada bezanya dengan resepi sebelumnya seperti gambar di bawah ini. Boleh klik di sini : NASI AYAM SEDAP.

Dan boleh lihat juga resepi seperti dalam gambar di bawah ini  di sini: NASI AYAM .

Di bawah ini juga Amie kongsikan resepi yang sama : NASI AYAM.

Sebelum kita masak nasi ayam, kenalah sediakan air rebusan ayam terlebih dahulu. Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Kali ini setelah Amie ambil air rebusan ayam untuk masak nasi, Amie tambahkan bebola ayam dan sayur sawi dalam periuk sup.

Bahan-bahan:
2 kepingan peha ayam (drumstick & tigh)
bahagian leher dan tulang belakang dada ayam serta kaki ayam - potong ikut suka
10 biji bebola ayam
2 pokok sayur sawi - potong-potong
1.8 liter air - (6 cawan air rebusan ayam nanti akan digunakan untuk masak nasi)
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - belah 4
3 cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
3 cm halia - diketuk
1 sudu kecil lada putih - ditumbuk
2 sudu besar perencah MAGGI Cukup Rasa
hirisan daun bawang / daun sup / bawang goreng untuk hiasan

Cara memasak:
1. Didihkan air di dalam periuk.
2. Masukkan kesemua bahan di atas kecuali lada putih, daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
3. Masak sehingga isi ayam lembut.
4. Keluarkan kepingan peha ayam yang sudah masak. Ketepikan.
4. Ambil 6 cawan air rebusan ayam (untuk masak nasi ayam), kemudian tambahkan lada putih dan bebola ayam serta sayur sawi dalam sup.
5. Ketika menghidang, taburkan hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng di atasnya.

 Maaf!
Lupa nak taburkan daun sup dan bawang goreng dalam hidangan sup!

Jom masak nasi ayam pula. Sementara menunggu sup mendidih, bolehlah cuci beras dan toskan, atau perap ayam yang hendak digoreng... heheee! Kalau nak buat dua jenis lauk ayam, goreng dan rebus!
Bahan-bahan:
6 cawan beras wangi - cuci dan toskan
6 cawan air rebusan ayam
3 sudu besar stock ayam pekat MAGGI
4 sudu besar marjerin
3 ulas bawang putih - hiris halus
4 cm halia muda - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan - siat-siat dan simpul

Cara memasak:
1. Panaskan marjerin di dalam rice cooker. 
2. Tumis hirisan bawang putih, halia muda, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga serta daun pandan. Kacau sehingga terbit bau.
3. Masukkan air rebusan ayam dan biarkan mendidih.
4. Kemudian masukkan beras wangi ke dalam rice cooker.
5. Masukkan stock ayam pekat MAGGI.
6. Gaul rata dan kemudian tutup rice cooker.
7. Biarkan sehingga nasi menjadi tanak.

 Kita lihat resepi ayam goreng pula.

Bahan-bahan:
2 kepingan peha ayam
2 ulas bawang putih tumbuk
2 cm halia - tumbuk
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil perencah MAGGI Cukup Rasa

Cara memasak:
1. Cuci dan toskan daging ayam.
2. Perap daging ayam bersama semua bahan tumbuk, sos tiram, kicap manis, dan perencah MAGGI Cukup Rasa selama 30 minit.
3. Goreng tenggelam di dalam minyak yang banyak menggunakan api sederhana panas.
4. Setelah daging ayam berwarna kuning keemasan  atau telah masak bolehlah diangkat.

Gambar ayam rebus di atas itu tak payah minta resepi ye. Keluarkan sahaja ayam dari kuah rebusan untuk masak nasi. Potong-potong, dan hidangkan bersama renjisan kicap cair (kicap masin) dan renjisan minyak bijan.
Dan jangan lupa sambal nasi ayam seperti di bawah ini:

Bahan-bahan:
2 biji cili merah - buang biji
7 bili cili padi - jika ingin rasa lebih pedas
7 ulas bawang putih
5 cm halia muda
2 biji tomato - belah 4
2 sudu besar jus limau kasturi / gantikan dengan cuka pun boleh
garam/ gula secukup rasa

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan kisar halus.
2. Sebaik-baiknya sediakan sambal ini sekurang-kurangnya satu jam lebih awal supaya rasanya lebih mesra ketika dinikmati bersama nasi ayam-ayam and the gang!

Dan untuk kicapnya pula, caranya seperti di bawah ini ye.
Bahan-bahan:
- gunakan lebihan bahan perapan ayam goreng dan tambahkan bahan-bahan di bawah ini:

1 sudu besar sos tiram
4 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 sudu lada putih atau lada hitam - tumbuk

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan didihkan di atas api sederhana panas.
2. Masak sehingga kuah sedikit pekat.
3. Padamkan api dapur.

Inilah hasilnya, ayam rebus dan ayam goreng untuk lauk nasi ayam. Gambar nampak kelam dan pucat saja. Maklumlah, hari sudah senja, matahari memang dah lama membawa diri, mendung pula berpanjangan sampai ke malam! Taklah gelap sangat gambar tu. Masih boleh nampak jugalah kan.
Oh! Terlupa pasal kerabu mangga!
Kebetulan Encik Suami ada di dapur, dan kita pun terlupa nak ke belakang dapur cari mangga, maka kita pun minta dia petikkan sebiji. Katanya, mangga paling kecil. Diletakkannya di tepi tingkap, dalam bakul.
Ha... ini dia mangga udang paling kecil yang dipetiknya.

 
Nampak masih bergeak di bahagian tangkainya.

Walaupun kecil, tapi beratnya mencecah 800 gram juga!
Yang penting, isinya sudah tua tapi rangup!


Inilah hasil kerabu mangga kegemaran Encik Suami. Suka betul dia makan mangga kerabu begini dengan nasi ayam. Resepinya? Alahai... hentam sajalah labu....hihihiii! Nantilah, lain kali Amie kongsikan resepinya kalau Amie buat kerabu mangga lagi. 

Minuman untuk berbuka puasa disediakan oleh Fairuz pada setiap hari!
Encik Suami kata, hari ini tak beli kuih. Elok jugalah tak beli, sebab setiap kali beli walaupun hanya beberapa keping, tetap juga tidak habis di makan!

Jadi, marilah meratah ayam sahaja!
Nak ayam goreng atau ayam rebus?
Pilihlah mana yang dapat memenuhi citarasa.

Jumpa lagi.

1 ulasan: