Assalamualaikum.
Moga sihat-sihat sahaja ye.
Mungkin ketika ini rakan-rakan sedang menunaikan solat tarawih sama ada di rumah atau di surau atau juga di masjid. Mudah-mudahan rakan pengunjung yang menunaikan ibadah puasa kali ini dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus beribadat di sepanjang bulan nan mulia ini.
Alhamdulillah, malam ini Amie dapat paparkan menu ringkas berbuka puasa kami petang tadi.
Seperti biasa, memang sengaja cari alasan tidurkan Firdaus! Jadi, dapatlah mimpi nak masak apa untuk juadah berbuka puasa!
Petang tadi, Firdausnya entah ke mana, tiba-tiba Encik Suami pula yang duduk di bucu katil! Alamak! Terbongkar rahsia bininya kuat tidur di petang hari!
Nak masak apa untuk buka puasa? Tanyanya.
Aduhai... dalam mimpi tadi, kita masak nasi, lauk ikan goreng dengan sayur peria bubuh serbuk rempah kari dengan biji sawi dan hati ayam!
Nak masak apa? Tanyanya lagi.
Mee hoon.... ! Waakkaaakaaa... lain pulak yang disebut.
Mee hoon sup? Atau mee hoon goreng? Tanyanya lagi.
Mee hoon sup...mee hoon goreng pun boleh. Mana-manalah.
Jadi nak masak mana satu? Nak pergi beli bahan ni kalau tak cukup. Ayam ada lagi tak?
Kita pun bingkas bangun!
Bergegas menuju bilik air. Solat asar belum ditunaikan.
Nak ke kedai ni. Nak pesan beli apa? Beli ayam? Sawi? Encik Suami masih menunggu jawapan.
Belilah apa-apa.
Ok!
Hurrmmm... apa-apalah. Memang sepanjang bulan puasa yang baru bermula ini, tak pernah rancang awal nak masak apa. Jadi masak apa-apalah yang ada, asalkan boleh masuk perut!
Begitu begini, akhirnya jadilah Mee Hoon Sup Ayam. Kebetulan Encik Suami beli daging ayam dan juga bebola ayam, jadi masukkan sajalah untuk meriah-meriahkan sup! Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Kalau gunakan rempah sup, Amie tidak tambahkan rempah lain seperti kulit kayu manis, bunga lawang dan juga buah pelaga serta bunga cengkih. Tapi kalau nak masukkan juga pun tidak ada salahnya, cuma aromanya lebih kuat. Kami lebih suka aroma yang sedang-sedang sahaja baunya, jadi cukuplah dengan menggunakan rempah sup sahaja. Tapi, kadang-kadang Amie tambahkan juga rempah-rempah tersebut kalau masak sup daging.
Bahan-bahan:
500 gram daging ayam bahagian peha - potong ikut suka
20 biji bebola ayam - boleh belah 2 atau biarkan bulat begitu sahaja
1 pokok sawi - potong-potong
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1 sudu besar rempah sup
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
2 liter air
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
Bahan lain:
1 bungkus mee hoon - rendam dengan air panas selama 3 minit - toskan - rendam semula dengan air sejuk selama 1 jam
telur rebus
bawang goreng
daun sup / daun bawang hiris
sambal kicap
Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Goreng bahan hiris hingga layu kekuningan.
2. Perlahankan api, dan masukkan rempah sup. Kacau rata. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Seterusnya masukkan daging ayam dan besarkan semula api. Kacau ayam beberapa kali sehingga kelihatan layu dan berubah warna.
4. Tuangkan air dan biarkan mendidih seketika.
5. Perlahankan api dan tutup periuk. Renih sehingga daging ayam empuk.
6. Buka penutup, dan masukkan bebola ayam serta lada putih.
7. Setelah bebola ayam timbul dipermukaan sup, masukkan pula sayur sawi, dan bahan perasa.
8. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.
Ini dia sup ayam dengan bebola ayam. Bebola ayam timbul, daging ayam tenggelam ke dasar periuk!
Mari kita sediakan bahan yang lain pula.
Ketika menyediakan benda-benda ini semua, Farid telefon dari Perak. Layanlah dulu anak bujang sulung kami itu. Oh! Rupanya nak beli tiket kapal terbang balik semula ke Kuala Lumpur lepas raya nanti. Harga pun okey, taklah semahal harga tiket dari Kuala Lumpur ke Tawau. Dua bulan lepas, sudah dibelinya tiket untuk dia dan Fuad balik dan harganya lebih RM1,000 untuk dua orang. Dah pesan awal-awal, beli tiket awal supaya harga tak melambung naik.
Nampaknya bujang dua orang yang merantau di Malaya sanun tak sabar nak balik beraya di LD. Maklumlah sebelum ini setiap tahun kami beraya di rumah Nendanya di Selangor. Kata mereka, lama sungguh tak beraya di rumah sendiri!
Wokey!
Sambung celoteh di remang-remang senja ketika hampir masuk waktu berbuka puasa!
Ini aksesori wajib ada untuk menikmati apa jua jenis masakan bersup!
Bawang goreng tu kita buat sendiri tau...hiks!
Semalam Encik Suami beritahu, selepas berbuka puasa dengan bubur lambuk, dia nampak banyak lagi bawang goreng. Balik solat tarawih, buka tudung saji hilang pula bawang goreng! Itu kerja si bujang Fairuz! Tak tahulah dibuat apa dengan bawang goreng! Diratah begitu saja kot! Jadi petang tadi, terpaksalah merajinkan diri buat bawang goreng lagi. Habis dimakan tidak apa, jangan tidak habis tapi dibuang begitu saja!
Tangan tumbuk cili padi, tapi telinga dan mata melihat skrin HP melayan suara Farid. Sudahlah mata rabun, tak perasan pulak cili padi yang ditumbuk tak berapa hancur.....! Jadilah rupanya seperti di atas! Apa pun, rasanya tetap sedap! Bertambahlah sedapnya bila makan tergigit cili padi tu! Nikmat yang amat pedas! Tak payahlah kongsi lagi resepi buat sambal kicap nih! Semua orang tahu nak buat macamana, dan tahu juga selera masing-masing nak bubuh apa.
Sambil menunggu sup ayam masak, sempatlah tunaikan mimpi dalam tidur! Maka jadilah peria tumis dengan hati ayam, masakan ala-ala mamak gitu, sebab tambah serbuk kari dengan biji sawi!
Aduhai! Kenapalah dengan kamu ni wahai ikan?
Inilah yang selalu MIL kata! Ikan begini mati mengejut, tu pasal kalau digoreng terus menggeliat kejung, tegang dan pecah merekah tapi liat dan keras! Tak apalah! Kita goreng 4 ekor! Dua ekor keras kejang, dua ekor lagi masak sempurna seperti di bawah ini.
Tak sabar nak makan nasi dengan ikan sebab dah berapa hari tak sentuh ikan!
Encik Suami tetap bawa pulang kuih!
Biar apa rupa dan rasanya, kena sentiasa berterima kasih kepada Encik Suami.
Entah kenapa rupa kuih di atas jadi begini! Ada gaya baru kuih puteri ayu ini... kalau betullah namanya puteri ayu! Tak payah bubuh atau tekan kelapa dalam acuan, sebaliknya selepas dikeluarkan dari kukusan, bubuh sahaja kelapa dalam lubang kuih itu. Sayangnya ketika dimasukkan dalam plastik bungkusan, terbalik semua kelapanya!
Oleh kerana petang tadi berada di dapur sepanjang masa sehingga waktu berbuka, dapatlah ambil gambar si bujang Fairuz dengan minumannya. Nampaknya dia sediakan cincai soya satu jug besar! Kelentang-kelentung jugalah kedengarannya dia pecahkan air batu di sinki seperti petang-petang sebelumnya. Entah kenapa, puasa tahun ini Encik Suami dan Fairuz rajin buat air batu sendiri. Biasanya mereka suka beli kiub ais sahaja.
Alhamdulillah.
Kenyang berbuka puasa dengan semangkuk Mee Hoon Sup Ayam. Ikan goreng, sayur peria dan nasi belum disentuh. Nanti boleh dipanaskan semula untuk dijadikan hidangan bersahur.
Semalam pun kami sekeluarga berbuka puasa dengan mee hoon sup.. ^^ Alhamdulillah.
BalasPadamray ni bahan ade tp periuk pinggan mangkuk yg x cukup haha
BalasPadamMaqnie,
BalasPadamsedapkan hirup kuah sup waktu berbuka...Alhamdulillah.
Ray,
oohhh begitu pulak ye heheeee.