Selamat berhujung minggu.
Jemput nikmati nasi lemak, merangkap sarapan pagi hingga menjelang tengahari, dan petang juga sekiranya masih ada lebihannya.
Kali ini Amie tambahkan lauk biasa nasi lemak dengan udang galah goreng. Bagaimanapun Amie 'jaga' sangat sambal yang menjadi'jantung hati' nasi lemak! Kenapa Amie 'jaga' sangat sambal tu....? Orang kata, rosak sambal, rosaklah keseluruhan rasa nasi lemak. Sedap rasa sambal, sedaplah jadinya hidangan nasi lemak. Apa pun, masing-masing ada resepi sambal tersendiri yang menjadi kegemaran atau warisan keluarga.
Dan semangat untuk menyediakan Nasi Lemak Udang Galah ini sebenarnya tercetus kelmarin, sewaktu dalam perjalanan membawa pulang Abang Farid dari Airport Tawau. Bujang kami ini tiba-tiba nak bercuti lama sedikit bersama kami walaupun baru balik dari LD ke Perak pada Januari lepas. Teringat pula, sewaktu di Perak asyik bertanya macamana nak masak itu, macamana yang ini. Bila sudah siap masak, katanya rasanya tak sesedap yang Mommy selalu masak.... alahai, sebenarnya rindu air tangan ibu tu! Masakan kita tidaklah sesedap mana, tapi barangkali sudah jadi kebiasaan hidangan bersama, itu yang membuatkan dia jadi rindu.
Kelentang-kelentung di dapur seorang diri, sementara Encik Suami bertukang di belakang rumah, akhirnya siaplah hidangan sarapan pagi kami sekeluarga.
Seperti biasa walaupun namanya Nasi Lemak Udang Galah, tetapi pelengkap lain tidak diketepikan termasuk telur rebus, kacang tanah dan ikan bilis goreng, hirisan timun dan yang tidak boleh diketepikan sama sekali sudang tentulah sambal!
Mari kita lihat satu-persatu resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
7 cawan beras (cawan beras rice cooker) - cuci dan toskan
2 cawan santan pekat
air secukupnya
3 cm halia - hiris
3 biji bawang putih - hiris
2 kuntum bunga lawang
3 cm kulit kayu manis
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
1 sudu kecil garam
Cara memasak:
1. Masukkan beras, halia, bawang putih, bunga lawang, kayu manis, daun pandan dan garam ke dalam periuk (rice cooker).
2. Tuangkan santan pekat, dan tambahkan air biasa sehingga paras 7 di dalam rice cooker - Amie ikut sukatan beras iaitu 7 cawan beras (sukatan rice cooker) bersamaan dengan ukuran / sukatan paras 7 rice cooker. Jika ingin hasil nasi lemak lebih lembut, boleh tambahkan sedikit air lagi.
3. Kacau isi rice cooker beberapa dan kemudian tutup periuk.
4. Tekan butan 'on' dan biarkan sehingga nasi lemak masak.
Sementara menunggu nasi lemak tanak dalam periuk, mari kita sediakan lauknya pula. Amie goreng udang galah cara ringkas. Hanya bubuh garam dan serbuk kunyit, satu sudu kecil bawang putih kisar dan satu sudu kecil halia kisar. Perap beberapa minit sebelum digoreng.
Inilah hasilnya, Udang Galah Goreng.
Bahan-bahan:
600 gram udang galah - bersihkan
1 sudu kecil garam'1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil halia kisar
1 sudu kecil bawnag putih kisar
minyak
Cara:
1. Gaul kesemua bahan di atas kecuali minyak. Perap 20 minit.
2. Panaskan minyak, dan goreng tenggelam hingga udang masak.
3. Angkat dan toskan.
Udang Galah Goreng yang semerbak aroma halia dan bawang putih sedia untuk dinikmati bersama nasi lemak!
Jangan lupa telur rebus!
Kacang tanah dan ikan bilis goreng!
Bahan-bahan:
1 helai daun pandan - siat dan simpul
3/4 cawan minyak
2 sudu besar gula merah parut
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
25 gram belacan - hancurkan
1 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan - kisar halus
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
3 labu bawang besar
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
7 biji buah keras
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan daun pandan, belacan serta udang kering kisar. Tumis hingga terbit aroma.
2. Masukkan bahan kisar, gula melaka dan gula pasir.
3. Biarkan masak dengan api sederhana.
4. Apabila terbit minyak, masukkan bancuhan asam jawa dan biarkan mendidih, sehingga terbit minyak sekali lagi.
5. Jika kurang rasa, bolehlah tambah Maggi Cukup Rasa atau garam / gula dan sebagainya. Sebenarnya belacan dan udang kering sudah sedia memberi rasa masin dalam sambal. Apa pun, sesuaikan rasa mengikut selera masing-masing.
Nampak cantikkan hasil Sambal Udang Kering tu!
Rasanya pun sudah tentulah sedap....sedaaaapppp!
Jom makan.
Bismillah.
setuju dengan akak, nasi lemak ni yg paling utama sambal tuh, boh la udang ke bilis ke sutung yg penting sambalnya kene sedap...
BalasPadamgeram nengok ns lemak akak lah...