Pages

Selasa, 20 November 2018

Ayam Masak Kicap

Tiba-tiba teringin nak makan Ayam Masak Kicap seperti yang selalu Bonda masak. Ayam Masak Kicap ini memang sangat terkenal dalam kalangan orang kampung kami. Selain dimasak untuk hidangan keluarga, Ayam Masak Kicap ini juga diolah ketika kenduri-kendara dan menjadi sebahagian lauk terpenting ketika menyediakan nasi ambeng. Di penghujung Ramadhan pula, Ayam Masak Kicap sekali lagi menjadi pilihan untuk dimasak dan diagih-agihkan kepada saudara-mara dan jiran tetangga mengikut tradisi munjung.

Apa istimewanya Ayam Masak Kicap orang kampung kami ini? Sebelum dimasak dengan kicap, daging ayam terlebih dahulu digoreng hingga masak. Begitu juga dengan kentang. Perlu digoreng hingga kuning keemasan. Barangkali ini merupakan salah satu cara untuk menghalang Ayam Masak Kicap dari cepat basi. Maklumlah, zaman dulu-dulu bukannya ada peti sejuk untuk menyimpan sekiranya ada lebihan. Setiap kali masak kicap sama ada ikan atau ayam, Bonda mesti ingatkan kami supaya lebihkan lada hitam atau lada putih. Jangan lupa rempah-rempahan seperti kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih! Jangan lupa bubuh gula!
Wokey... mari kita teruskan memasak ayam dengan kicap cara dulu-dulu. Tak perlu bubuh bancuhan air tepung jagung untuk memekatkannya dan tak perlu tambah sos itu atau sos ini kecuali sos kicap!

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong menjadi 10 bahagian - perap dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - ketepikan
4 biji kentang - kupas kulit dan potong wedges
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 biji cili merah - belah dua dan buang biji
1 biji cili hijau - belah dua dan buang biji
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar kicap pekat
2 sudu kecil  lada putih - gunakan lada hitam pun boleh
rempah 4 sekawan - 3 cm kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga dan 3 kuntum bunga cengkih
1 cawan air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia

Cara:
1. Goreng daging ayam yang diperap sehingga masak. Toskan.
2. Goreng kentang sehingga masak - kuning keemasan. Toskan.
3. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas goreng ayam dan kentang tadi di dalam kuali.
4. Tumis bahan tumbuk / kisar hingga wangi dan kemudian masukkan rempah 4 sekawan.
5. Masukkan ayam goreng  dan gaul rata. Tuangkan kicap manis dan kicap pekat, lada putih/ hitam serta air dan biarkan kuahnya mendidih.
6. Untuk menyempurnakan rasa, tambah dengan garam  / gula / perasa pilihan.
7. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, cili merah dan cili hijau. Gaul rata beberapa kali dan padamkan api dapur.

Ayam Masak Kicap kami memang tidak berkuah sangat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan