Pages

Isnin, 15 Oktober 2018

Serunding Ikan

Minggu lepas Amie buat Serunding Ikan Versi Cocos DI SINI. Amie gunakan ikan suliq sebanyak 1 kilogram dan kelapa sebanyak itu juga. Agihkan sedikit ke kampung, dan rasanya banyak jugalah yang masih tinggal di dapur. Pada fikiran Amie kalau dalam tempoh sebulan serunding itu habis, itu sudah cukup bagus. Rupanya tak sampai dua hari, habis licin serunding itu!
Alhamdulillah!
Serunding ikan tersebut bukan sahaja Encik Suami makan dengan kerak, tapi kami makan dengan nasi. 
Jadi, untuk memanfaatkan sifat rajin di hujung minggu, Amie pun meluangkan masa untuk menyiapkan serunding ikan tetapi ikut 'kepala' Amie...hiks! Bahan asas masih sama, tapi Amie tokok tambah ikut citarasa. MIL tidak bubuh gula dan jintan manis dalam serunding, tapi kali ini Amie tambahkan gula melaka. Namun begitu, Amie kekalkan penggunaan jus limau nipis, tanpa menukarkannya kepada asam jawa atau asam keping. Selain itu, dari jumlah sekilogram ikan, Amie tambah menjadi 3 kilogram dengan menambahkan 3 biji kelapa parut.


 Hasilnya, macam nak buat kendurilah pulak!

Oleh kerana tidak ada ikan sulig dan ikan tenggiri, Encik Suami cadangkan gunakan ikan 'red mullet' sahaja. Tak tahulah apa nama ikan ini dalam bahasa kita. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
3 kg ikan red mullet - rebus hingga masak - sejukkan - buang kulit dan tulang - tumbuk halus
3 biji kelapa parut - jika suka tumbuk sedikit supaya tidak kasar
10 sudu besar Serbuk Kari Ikan 888
8 sudu besar serbuk ketumbar - sangai - kisar
3 sudu besar jintan manis - sangai - kisar
1 sudu besar serbuk kunyit
5 biji limau nipis - perah jusnya
1 labu bawang putih - kisar / tumbuk
20 biji bawang merah - kisar / tumbuk
10 sudu besar cili kering kisar
3 cawan minyak
3 ketul gula melaka - parut ( nak bubuh berapa banyak - ikut citarasa)
garam  / perasa pilihan secukupnya

Kali ini Amie tidak tumbuk isi ikan dengan bawang putih dan bawang merah, sebaliknya tumbuk isi ikan begitu sahaja.

1. Tumbuk isi ikan hingga hancur / lumat. Ketepikan.
2. Tumbuk kelapa parut - jangan sampai lumat / hancur. Ketepikan.
3. Ambil sebuah bekas dan masukkan kelapa serta isi ikan tadi.
4. Masukkan serbuk kari, rempah ketumbar, jintan manis, serbuk kunyit, cili kisar, bawang putih, bawang merah,  parutan gula melaka, garam / perasa pilihan dan jus limau nipis.
5. Gaul sebati.

Inilah hasilnya isi ikan yang sudah ditumbuk daripada 3 kilogram ikan yang sudah dibuang kepala, tulang dan kulit.

Kelapa parut ini Amie tidak tumbuk semua, hanya separuh sahaja. Bosan pula buat kerja seorang diri di dapur tanpa teman berbual...hiks! Jadi, semuanya nak cepat saja.

 Bahan-bahan perencah yang Amie gunakan.

 Gula melaka tu eloklah diparut supaya menjadi halus sebelum digaul bersama bahan lain.

 Ini serbuk rempah kari dan di atasnya itu Amie tumpangkan serbuk kunyit.

 Sangai terlebih dahulu jintan manis dan biji ketumbar supaya timbul aromanya.

Kesemua bahan sudah digaul sebati di dalam sebuah bekas. Pada masa ini, hujan turun dengan lebatnya. Belum lagi masuk kuali, sudah terbau aroma semerbak memenuhi dapur! Jom kita teruskan kerja menyiapkan serunding ini.

6. Panaskan minyak dalam kuali.
7. Masukkan bahan yang sudah digaul sebati ke dalam kuali.
8. Gunakan api kecil sepanjang proses memasak serunding sehinggalah serunding menjadi kering.

Apabila serunding mula mengering, inilah saat yang ditunggu-tunggu kerana kerja akan selesai sebentar lagi. Setelah serunding kering, biarkan sehingga sejuk sebelum disimpan.

Alhamdulillah.
Serunding Ikan sedia untuk dinikmati!

2 ulasan:

  1. Assalam kak Amie...rempah kari 888 tu nak beli kat mana kak. Xpernah dengar...rajinnya kak Amie mengacau serunding.Kalau berjiran ngan kak Amie kan best hihii.

    BalasPadam
  2. Nasya,
    ada tu di mana-mana kedai, serbuk kari ini digunakan sejak sekian lama

    BalasPadam