Pages

Ahad, 30 September 2018

Sambal Goreng Mandai dengan Tempe

Sambal Goreng Mandai dengan Tempe ini Amie perolehi daripada seorang rakan sekerja lama dulu... sekitar tahun 1997 ke atas, kalau Amie tak silap. Kisahnya begini: rakan sekerja Amie ini baru mengandung anak pertama, dan sering mabuk-mabuk tetapi suaminya yang mungkin tidak memahami selalu mengatakan isterinya ini 'mengada-ngada' dan katanya lagi, dia tak pernah pun tengok isteri orang lain yang mengandung sakit itu atau sakit ini. Maklumlah, kedua-duanya baru berkahwin dan terus dihantar ke Lahad Datu. Kasihankan! Jauh dari emak bapak pula tu. Bila suami tak memahami isterinya alahan, isteri nak mengadu dengan siapa? Waktu itu bukannya ada telefon canggih seperti sekarang!
Sejenis makanan yang boleh diterima tekak kawan tadi sepanjang tempoh mengidam  ialah mandai. Dia berusaha untuk masak mandai, mencari cempedak, dan mengolah kulitnya. Kemudian dibawanya ke tempat kerja, dan diajaknya kami makan bersama.  Itulah kali pertama Amie makan mandai, dan dengan senang hati teman tadi berikan Amie resepinya. Kemudian Amie cuba buat sendiri di rumah. Memang sedap!
Kalau anda rajin bertanya Pak Google, terdapat pelbagai cara membuat mandai dan masakan mandai. Apa yang Amie kongsikan di sini ialah resepi yang teman Amie kongsikan. 

 Inilah hasilnya, Sambal Goreng Mandai dengan Tempe.

Resepi: Sambal Goreng Mandai dengan Tempe
Bahan-bahan:
1 mangkuk mandai - bilas dan perah airnya - kemudian potong-potong ikut citaras
1 bungkus tempe - potong ikut suka
4 batang kacang panjang - potong ikut suka
1/2 mangkuk ikan bilis - rendam seketika dan toskan airnya
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
5 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih 
1 labu bawang besar 
2 biji cili merah 
2 biji cili hijau 
15 biji cili padi 

Cara memasak:
1. Goreng tempe dan ikan bilis secara berasingan. Ketepikan.
2. Tinggalkan dalam kuali kira-kira setengah cawan minyak bekas gorengan bahan di atas.
3. Tumis kesemua bahan hiris hingga layu. Kemudian masukkan mandai dan kacang panjang. Gaul rata.
4. Kemudian masukkan ikan bilis dan tempe goreng.
5. Tambahkan sedikit garam (mandai sudah sedia masin), gula  / perasa pilihan.
6. Gaul beberapa kali, dan kemudian padamkan api dapur.
7. Hidangkan bersama nasi panas.

Cara menyediakan mandai:
Ambil sebiji buah cempedak yang sudah dikeluarkan isinya. Buang kulit cempedak dan hiris kasar bahagian yang tinggal. Gaul dengan 2-3 sudu besar garam. Masukkan dalam bekas kedap udara. Tuangkan air masak sehingga menutupi bahan tadi. Tutup rapat dan boleh diolah selepas seminggu.

1 ulasan:

  1. Saya tak pernah dengar mandai, nak pastikan mandai ni urat buah cempedak yang diperamkan dalam air garam ker? Kira macam buat jeruk yer?

    BalasPadam