Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Pagi ini Amie sediakan sarapan Mee Goreng dengan Hati Ayam untuk keluarga kecil kami. Teringat puluhan tahun yang lalu, setiap pagi minggu kami bersarapan dengan mee goreng campur hati ayam. Ketika itu kami tinggal di asrama. Biasanya mee goreng yang disediakan berlebihan. Mungkin mereka menunggu ibu bapa datang membawa makanan yang lebih enak, dan tidak kurang juga kerana malas menukar pakaian untuk ke dewan makan. Maklum sahajalah, hari minggu memang kebanyakkannya suka mengeram dalam bilik, atau sambung tidur! Bila perut lapar, terus rendam maggi sementara menunggu tiba waktu makan tengahari!
Bila dikenang pengalaman selama empat tahun menjadi penghuni asrama, memang banyak suka dukanya. Masalah air! Masalah yang paling besar dalam hidup ketika itu! Bangun lewat sedikit, memang tak dapat mandi! Minuman yang disediakan pula hanya air teh! Dan seringkali masalah sembelit berlaku....huhuhuuuu! Tak mahu kenang penderitaan sembelit itu!
Eh! Cerita sembelit pulak dah.....ahaks!
Bahan-bahan:
1 kg mee kuning - rendam seketika, dan toskan airnya
400 gram hati ayam - bersihkan dan potong ikut suka
1 cawan hirisan kobis Cina
5 biji cili hijau - hiris
2 sudu besar sos cili Thai
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap pekat
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga kekuningan.
2. Masukkan hati ayam dan teruskan tumisan sehingga hati ayam masak.
3. Kemudian masukkan cili hijau dan kobis Cina. Kacau sehingga layu.
4. Masukkan mee kuning, sos cili, sos tiram dan kicap pekat.
5. Gaul rata, dan tambahkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Padamkan api dapur.
Hidangkan bersama sambal kicap, dan minuman panas.
Jom...
Sarapan pagi!
Kami makan mee goreng, Firdaus makan kentang goreng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan