Pages

Sabtu, 4 Ogos 2018

Kisah Durian, Rambutan dan Ketam

Cerita hari ini:
Anak buah hantar mesej, katanya ada ketam segar baru sampai. Untuk menunjukkan tanda sokongan di atas usaha membuka kedai runcit (khusus ikan segar, daging ayam dan sayur) kami pun segera mengunjungi kedainya.
Sebagai pembeli terawal sampai, dapatlah kami pilih ketam yang diingini. Kami beli 2 kilogram.
Kemudian kami bergerak ke pasaraya, membeli apa yang patut untuk bekalan di dapur. Melihat-lihat juga ke bahagian pakaian lelaki, meninjau-ninjau bersama Fuad mana tahu ada pakaian yang berkenan di hatinya untuk dibeli (persediaan untuk hari mendaftar di universiti awal September nanti).
Dalam perjalanan pulang ke rumah, singgah di gerai durian dan sempat rembat 3 biji. Firdaus pula merengek minta rambutan. Memandangkan harga rambutan RM10 sekilogram, dan bukannya RM14 atau RM15 seperti kebiasaannya, jadi belilah sekilogram.

Seperti biasa, hanya durian kampung sahaja yang dijual, dan tidak banyak pilihan. Hanya ada beberapa biji sahaja. Dengan penuh teruja, sampai di rumah Fairuz pun terus buka buah durian dan makan. Ada dua biji lagi, sebiji untuk Encik Suami dan sebiji untuk Amie. Nampaknya isi durian kedua, tawar hambar! Dan isi durian ketiga seperti di bawah ini.

Nampaknya kali ini rezeki Fairuzlah dapat makan durian pertama yang elok!

Encik Suami beralih pandang, makan rambutan dengan Firdaus. Amie pula terus mencapai ketam, bawa ke sinki untuk dibersihkan.

Teringat Che Ong.... arwah Che Ong. Ketika Amie mula-mula sampai ke LD, Che Ong salah seorang rakan baik Amie. Diajaknya Amie ke pasar LD, beli 4-5 kilogram ketam. Sampai rumah, Che Ong rebus ketam. Kemudian ajak Amie ratah ketam dengan sos cili kicap! Katanya: Tak perlu susah-susah masak begitu, begini. Rebus, ratah saja. Puas hati dapat makan isi ketam.
Al Fatihah buat arwah Che Ong.

Sementara menunggu air rebusan ketam yang dijerang mendidih, Amie sediakan bahan-bahan pencicah. Bawang putih dan cili padi ditumbuk. Suka hatilah nak tumbuk lumat atau kasar. 

Amie tambahkan kicap manis pedas (kalau tak tahan pedas tak perlu tumbuk cili padi lagi), dan sos cili Thai. Agak-agaknya berapa banyak nak masukkan. Amie gunakan 2 sudu besar kicap, dua sudu besar sos cili dan campur sekali dengan cili padi dan bawang putih, serta perahkan jus limau kasturi.

Ketam yang direbus pun masak. Oh! Lupa nak kongsikan cara rebus ketam ini. Ketuklah 2 batang serai, bubuh garam atau perasa pilihan lain yang disukai. Rebus jangan terlalu lama, nanti isi ketam mengecut pulak....hiks! Selepas mendidih tiga atau empat minit, padamkan api dapur. Kemudian toskan airnya.

 Ada pun yang berminat meratah ketam ini hanyalah Amie dan Encik Suami sahaja!

 Inilah cara terbaik untuk menikmati ketam.
Lupakan nasi dan yang lain!

Yang paling seronok sudah tentulah kalau jumpa telur ketam!
Jadi, yang suka makan telur ketam, pilihlah ketam betina sewaktu membeli!


4 ulasan:

  1. Mahal nya rambutan di sana ya Amie, di sini sekilo 2 ringgit, minggu lepas saya beli.
    Rasa macam nak beli lagi esok kalau ada ... suka

    BalasPadam
  2. FHA,
    aduhai.... masih ada lagi ke harga RM2...ya Allah, murahnya!

    BalasPadam
  3. Mahal betul harga rambutan di sana ya. Di sini sekilo RM3.
    Durian biasanya saya akan minta penjual buka siap-siap dan isikan ke dalam bekas. Kalau isi tak elok, boleh tukar terus dengan penjual. Saya belajar daripada pengalaman di mana beli durian sebiji sampai RM50, balik rumah isinya tak elok hihi.

    BalasPadam
  4. Rambutan Rm10 tu kira dah murah sangat di sini hihiiii.

    BalasPadam