Pages

Khamis, 16 Ogos 2018

Di Mana Ada Air, Di Situ Ada Ikan.

Bila asyik bercerita tentang ikan, Amie teringat sewaktu berada di bangku sekolah rendah. Ketika itu Amie dalam Darjah Enam Merah. Guru kelas kami, Cikgu Samsudin Ajam namanya. Beliau mengajar kami mata pelajaran Bahasa Melayu. Suatu hari, Cikgu Samsudin bercerita:
Di sebuah kampung, ada seorang pemuda yang sangat bebal. Disebabkan kebebalannya itu ayah dan ibunya menyuruh pemuda tersebut mengembara untuk mencari ilmu. Maka pemuda itu pun keluar mengembara dan bertemulah dengan seorang mahaguru. Bergurulah pemuda bebal tadi selama dua tahun. Pada hari terakhir pemuda tadi hendak meninggalkan tempat perguruannya, mahaguru pun berpesan. Katanya, "Jangan lupa ilmu yang kamu perolehi selama dua tahun berguru di sini."
"Baik, Pak Guru," sahut pemuda bebal itu dengan penuh sopan.
"Apakah ilmu yang kamu perolehi itu?" Tanya Pak Guru.
"Di mana ada air, di situ ada ikan," jawab pemuda bebal tadi dengan penuh yakin.
"Ya, betul tu," ujar Pak Guru.
Pemuda yang bebal itu pun meneruskan perjalanannya untuk kembali ke pangkuan keluarganya. Malangnya, disebabkan kebebalannya itu, dia terlupa jalan pulang. Sesatlah pemuda itu, masuk kampung keluar kampung, dan masuk hutan keluar hutan. 
Disebabkan terlalu lapar dan dahaga, pemuda bebal tersebut memanjat sebatang pokok kelapa dan memetik sebiji buah kelapa. Belum sempat pemuda bebal itu menebuk buah kelapa untuk meminum airnya, tiba-tiba orang kampung datang menangkapnya dan dibawanya menghadap raja kerana dituduh mencuri buah kelapa.
Pemuda bebal tadi berasa sangat takut kerana raja menjatuhkan hukuman potong tangan ke atasnya. Dia tidak mampu berkata-kata kecuali perkataan " Di mana ada air, di situ ada ikan." Perkataan tersebut diulang-ulangnya sehingga raja berasa hairan dan ingin tahu maksud di sebalik kata-katanya.
"Kamu akan terlepas dari hukuman sekiranya kamu boleh buktikan kepada beta kebenaran kata-kata kamu itu," beritahu raja.
"Mengapa kami mencuri buah kelapa?" Tanya raja.
"Hamba ingin melepaskan dahaga dengan meminum air kelapa tuanku," jawab pemuda bebal tadi dengan jujur.
"Baiklah. Kamu asyik menyebut "di mana ada air, di situ ada ikan. Jadi sekarang buktikan kebenaran ada ikan di dalam air... air kelapa itu!"
Pemuda bebal tadi berasa sangat gembira kerana akan terlepas hukuman sekiranya dapat membuktikan kata-katanya. Dia pun meminta izin untuk membelah buah kelapa tersebut.
Amie akan sambung cerita ini di bahagian akhir coretan ye....
Kita cerita tentang ikan dulu...hiks!

Ini ialah ikan belais @ belawis, iaitu nama yang diberikan oleh penduduk tempatan. Rata-rata penduduk Negeri di Bawah Bayu menamakannya demikian. 

Nama lain bagi ikan belais@belawis ini ialah dengkis. Banyak sahabat handai dan rakan taulan dengkis. Nanti Amie perkenalkan. 
Beri laluan untuk iklan di bawah ini dulu... ahaks!

Gambar di atas ialah sejenis masakan tradisional masyarakat Melayu Cocos. Salah sejenis ikan yang sangat digemari dan digunakan untuk masakan mereka ialah ikan belais@belawis. MIL panggil ikan ini dengan nama ikan menyerat. Dalam majlis kenduri-kendara atau makan bersama keluarga, MIL suka masak brengkes. Nak tahu bagaimana ikan ini diolah menjadi resepi brengkes, bolehlah buka tudung saji Amie di sini:
Bahan-bahan:
2 ekor ikan belais - bersihkan dan potong 2
3/4 cawan santan pekat - ambil kepala santannya sahaja
1  1/2 sudu makan serbuk kunyit 
2 biji limau nipis - perah jusnya 
garam / perasa pilihan
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
5 biji cili kering 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
4 sudu makan biji ketumbar 

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat dan ketepikan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
5. Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan pecah. Gunakan api perlahan.
6. Tambahkan garam / perasa pilihan.
7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.

Amie cukup suka makan nasi panas dengan kuah ikan yang pekat dan berlemak ini. Masakan brengkes ikan ini ternyata mempunyai kelainan dari segi rasa dan penggunaan bahannya. 

Wokeeyyy...
Kita berkenalan dengan keluarga belais yang lain. Sahabat-handai dan rakan taulannya, selain dipanggil dengkis, juga dipanggil ikan capok. Gambar di atas terdapat secalit warna atau jalur tertentu pada bahagian kepalanya. Maka dapatlah gelarannya sebagai ikan dengkis jalur.

Yang di atas ini pula katanya ikan capok yang juga dikenali sebagai ikan dengkis  Jawa. Dan gambar di bawah ini pula dari spesies yang sama iaitu ikan belais tetapi warnanya lebih menyerlah kekuningan berbanding ikan capok di atas.


Mari kita temukan keluarga capok seperti di atas.

Dan pertemukan juga sahabat-handainya yang lain.

Sekali pandang memang nampak sama, tapi sebenarnya ada perbezaannya.

Demikianlah kisah keluarga belais@belawis bersama suku-sakatnya.

Yang ini pula, ada yang panggil ikan baronang.

Ada pula yang menggelarnya ikan ketang.

Ikan yang kurus panjang ini merupakan keluarga red mullet. Nampak saja kurus, tapi isinya padat!

Ada janggut di bawah mulut red mullet!

Ini ikan longfin bigeye. 
Ada nama tempatannya, tapi lupa-lupa ingat. Amie akan tanya sekali lagi nama ikan ini daripada penjual putu yang membakar ikan ini.

Kulit atau sisik ikan ini agak keras sedikit berbanding sisik ikan yang lain.



Ikan yang di atas dan di bawah ini Amie tak pasti ikan apa, dan dari keluarga mana. Nanti kita selongkar surat lahirnya ye.


 Ini spesies ikan pasir-pasir. 


Ini ikan timun.


Ada yang panggil ikan kunyit.

Kalau ikan di atas dipanggil ikan timun mungkin di bawah ini juga dari keluarganya juga. Barangkali ada ikan timun jalur kuning, dan ikan timun jalur merah seperti di bawah.



Anak kerapu bintik bulat. 

Anak kerapu begini MIL suka masak sambal. Sambal Ikan Gelek, katanya.
Perkataan gelek merujuk kepada perbuatan anak-anak kerapu yang suka menghampiri perahu, dan nampak seperti bergelek-gelek di tepiannya.

Keluarga bayan, atau juga dipanggil ketarap.

Juga dikenali sebagai ikan kakak tua.



Dah kenalkan ikan  di atas ni?
Hahahaha.... sebagai pengukuhan, Amie ingatkan sekali lagi, ini jenis ikan kutambak atau ikan landuk, atau juga ikan temparing. Dan ada lagi nama-nama lainnya.

Dan ikan ini pun Amie belum tahu namanya. Rupa bentuknya seperti daripada keluarga ikan kaci.




Tak apalah.
Nanti akan diketahui juga nama-nama ikan ini.


Oh!
Hampir terlupa.
Nak sambung kisah pemuda bebal di atas.
Sampai mana cerita itu?
Oh! Cerita pemuda bebal minta izin untuk belah buah kelapa.
Maka dengan penuh rasa yakin dan terus menyebut "di mana ada air, di situ ada ikan," pemuda tadi pun membelah buah kelapa tersebut.
Dengan takdir Allah, sebaik sahaja buah kelapa di belah, melompatlah seekor ikan keluar dari buah kelapa. Oleh kerana pemuda bebal tadi dapat membuktikan kebenaran kata-katanya, maka terlepaslah dia dari hukuman bunuh.
Cikgu Samsudin mengakiri ceritanya dengan:
Akhirnya raja pun mengahwinkan puterinya dengan pemuda bebal itu.
Moral of the story...carilah sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan