Janji dengan Encik Suami: Kalau tidak sibuk petang nanti jalan-jalan cari ikan di Kampung Bikang.
Terlelap seketika.
Apabila terjaga, jam sudah menunjukkan angka 2.48 petang!
Alamak!
Tempat yang hendak di tuju bukannya dekat seperti hendak ke Pasar Ikan LD.
Begitu begini, akhirnya pukul 3:30 petang kami tiba di gerai ikan yang pertama. Sebenarnya di kiri kanan sepanjang jalan terdapat banyak gerai, dan tidak semestinya setiap gerai ada ikan atau barang jualan seperti sayur, nanas dan sebagainya. Banyak juga gerai yang kosong!
Dan tidak semestinya, sesiapa yang berhasrat membeli ikan, akan pulang bersama ikan! Ada ketikanya, semua gerai kosong tanpa seekor ikan!
Dari seberang jalan, ketika kereta sedang membelok ke arah gerai, mata sudah terpandang si gerut-gerut bergantungan!
Nampaknya Encik Suami sangat berminat dengan ikan gerut-gerut! Seperti biasa, memikirkan harga di pasar yang membuatkan 27 kali fikir untuk membeli, di sini Encik Suami tidak berfikir untuk kali kedua! Saiz ikan gerut-gerut yang agak besar dan digantung berharga RM12.00 sekilogram, manakala yang sederhana (tidak digantung) berharga RM10.00 sekilogram.
Pilihlah... jangan tak pilih! Nanti sampai rumah teringat-ingat pula.
Di setiap gerai, ikan yang dijual tidaklah terdiri dari ikan yang sama setiap hari. Ia bergantung kepada hasil pancingan atau tangkapan menggunakan pukat. Kalau rajin memandu terus sepanjang jalan ke Silabukan atau ke Tungku, memang pelbagai jenis ikanlah yang boleh dilihat, termasuk juga sotong.
Minta maaf banyak-banyak!
Sebenarnya Amie tak tahu sebahagian nama ikan yang Amie paparkan.
Amie tanya penjual ikan, dan diberikan nama ikan mengikut bahasa tempatan, tapi sampai rumah Amie terlupa nama tersebut! Lain kali Amie kena buat catatan nama-nama ikan tersebut!
Ikan mayong (manyong) di atas, memang Amie kenal. Kalau tak silap orang kampung kami panggil ikan baguk. Ada beberapa ekor ikan mayong yang bersaiz besar, dan kami beli seekor seberat 3 kilogram dengan harapan dalam perutnya ada telur! Rezeki tidak berpihak kepada kami, sampai rumah bila Encik Suami bersihkan ikan tersebut, tak sebiji pun telur ditemui dalam perutnya!
Ikan di atas dan di bawah ini Amie tak tahu namanya. Encik Suami memang suka ikan ini. Setiap kali terserempak dengan ikan ini di pasar, Encik Suami akan kata : Itu ikan kesukaan arwah emak.
Amie rasa ikan di atas dan di bawah ini keluarga ikan kaci atau ikan mandi abu!
Memandangkan minggu sebelumnya kami sudah membeli ikan di atas, kali ini cari ikan lainlah pulak...hiks! Kami meneruskan perjalanan dengan harapan masih ada gerai-gerai ikan yang dibuka di hadapan sanun!
Singgah seketika di sebuah gerai ikan seterusnya. Ikan cencaru bersaiz besar bergelimpangan segar menanti kami! Alamak.....! Setiap ekor beratnya melebihi 1 kilogram! Harganya pun cantik! RM8.00 sekilogram. Haaa..... mana nak cari harga begini rendah dengan keadaannya yang masih segar-bugar! Lihatlah sinar matanya sang cencaru yang jernih!
Setelah membelek-belek mencari saiz yang diingini, akhirnya kami beli 2 ekor seberat 2 kilogram.
Di sisi sang cencari ikan cermin sedang menunggu!
Encik Suami berkenan dengan sang cermin nan seekor, dan bila ditimbang melebihi 2 kilogram. Harganya RM13.00 untuk sekilogram. Amie tak kisah Encik Suami nak beli seberapa banyak ikan sebab bila sampai rumah memang rajin sungguhlah dia membersihkannya!
Nampaknya petang kelmarin, bukan main seronok lagi kami memburu ikan segar di tepi jalan! Tambah bersemangat apabila Encik Suami asyik berkata: Puaslah Fuad makan ikan nanti ni!
Kereta berhenti di hadapan sebuah gerai ikan di kiri jalan kerana tergoda dengan lambaian ikan kutambak yang bergantung-gantung! Nampaknya ikan kutambak ini bercampur pula dengan ikan jenis lain. Kutambak saiz sederhana besar biasanya dijual dengan harga RM18.00 di pasar ikan.
Di gerai ini, ikan kutambak dijual dengan harga RM12.00 sekilogram.
Ikan kutambak ini juga dikenali sebagai ikan landuk. Amie suka beli ikan kering kutambak sebagai oleh-oleh bawa pulang ke Malaya. Isinya tebal, dan sudah tentulah sedap!
Apabila terpandang ikan kerapu, maka Encik Suami pun terus pilih seekor demi seekor sambil tak berhenti bercakap: Sedap ni kalau masak sambal. Hurrmmm..... memanglah dia tak dapat lupakan air tangan arwah ibunya. Memang Amie ingat sungguh resepi masakan sambal ikan kerapi arwal MIL, mesti bubuh jus limau nipis sebagai sentuhan akhir sebelum memadamkan api dapur!
Harga ikan kerapu juga sama seperti ikan kutambak iaitu RM12.00. Seekor demi seekor ikan kerabu naik ke atas penimbang. Tak ingat berapa ekor yang ditimbang, dengan jumlah timbangan 2.3 kilogram. Kami berpusing semula untuk pulang, tapi tiba-tiba terlihat ada lagi ikan bergantung di gerai sebelah kiri kami. Kami pun singgah.
Ikan kaci saiz besar tergantung, gambar di atas dan di bawah.
Geram pulalah melihat ikan kecil-kecil bergantungan! Ikan selar kot!
Jom kita tengok.
Harga ikan selar kuning yang bergantungan hanyalah RM6.00. Mungkin seberat 1 kilogram. Kami beli seikat, dan lihatlah pula di tangan penjual ikan itu! Ikan apa itu?
Inilah ikan kerapu yang masih hidup: Nyawa-nyawa ikan! Berlendir lagi.... memang betul-betul segar! Penjual ikan menawarkan harga RM22.00 sekilogram, tapi memandangkan kami sudah memberong 2 kilogram ikan kerapu di gerai sebelumnya, jadi kami menolak dengan baik.
Kemudian Encik Suami tunjukkan ikan bayan! Amie menggelengkan kepala. Cukuplah hasil buruan kita petang ini! Amie tahu, ikan bayan di atas juga merupakan ikan bayan kegemaran MIL dan FIL juga Encik Suami.
Sepanjang perjalanan pulang, sempat Encik Suami berangan-angan. Katanya:
Sedap betul ikan kerapu yang masih hidup tadi tu kalau dikukus. Barangkali beratnya lebih 2 kilogram!
Penat memburu ikan, kami singgal minum teh ais pandan di Darvel Bay.
Dan sempat menghirup Coto Makassar semangkuk seorang!
Bestnya tenguk ikan besar-besar dan segar dari laut. Mesti sedap kan. BAnyak jenis ikan saya tak pernah dengar dan tak pernah nampak ikannya.
BalasPadam