Terima kasih Encik Suami kerana selalu membantu meringankan kerja Mommy di dapur! Terima kasih banyak-banyak kerana sudi membersihkan ikan-ikan yang diborong di Kampung Bikang petang kelmarin.
Tengahari tadi Amie sempat sediakan lauk makan hasil buruan ikan kelmarin. Encik Suami suka ikan gerut-gerut, jadi Amie cuba masakkan walaupun menu ringkas saja. Amie hanya goreng ikan gerut-gerut dan kemudian Amie tumiskan sambal hijau. Cili hijau pun kami beli bersebelahan dengan gerai ikan yang kami singgahi kelmarin. Sebagai tambahan untuk melengkapkan hidangan, Amie tumiskan peria campur dengan udang kertas.
Setelah siap digoreng, kelihatan sedikit sisa-sisa sisik ikan....heheheee! Terima kasih sekali lagi kepada Encik Suami atas bantuan ikhlasnya bersihkan ikan! Sebenarnya dalam hal membuang sisik ikan, Amie paling tidak suka, apalagi kalau libatkan jumlah ikan yang banyak! Setakat dua tiga ekor ok laaaa....hiks!
Mula-mula, perapkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit. Kemudian goreng hingga masak. Amie tidak goreng garing, sebab nanti isinya keras.
Sambal Hijau ini sebenarnya menjadi rebutan anak-anak!
Kata Fairuz: Kenapalah Mommy masak sambal sedap sangat? Wokey....! Sambal Hijau yang sedap sangat ini, resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
30 biji cili hijau - patahkan menjadi 2 atau 3
15 biji cili padi hijau
3 labu bawang besar - belah 6
3 biji tomato hijau - sepatutnya tomato hijau, tapi Amie hanya ada simpanan tomato merah (jadi sambal hijau pun tak berapa nak hijau)
5 ulas bawang putih
garam / gula / perasa pilihan
1/2 cawan minyak
Cara memasak:
1. Campurkan cili hijau, cili padi, tomato, bawang putih dan bawang besar. Kisar kasar.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
4. Padamkan api dapur.
Untuk Peria Tumis dengan Udang pula, Amie masak seperti biasa tetapi kali ini Amie biarkan cili padi bulat-bulat begitu sahaja, sebab dah ada sambal hijau! Kalau kurang pedas semasa makan nasi, bolehlah picit-picit cili padi merah dalam sayur peria itu.
Bahan-bahan:
1 biji peria seberat 300 gram - bersihkan dan hiris nipis
10 ekor udang kertas - bersihkan
10 biji cili padi - buang tangkai
1 biji telur ayam
3 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - hiris
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar serta bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan udang kertas dan tumis lagi hingga udang bertukar warna merah.
3. Kemudian masukkan cili padi dan hirisan peria.
4. Gaul rata dan biarkan hingga masak.
5. Pecahkan sebiji telur ayam dan tuangkan ke atas tumisan peria secara merata. Gaul rata.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua dan kemudian padamkan api dapur.
Tambahkan asam jawa atau asam keping jika inginkan rasa sambal hijau lebih masam.
waduh kecur dong tenguk sambal hijau. Teringat masa pergi Bukit Tinggi...sambal hijau dia enak banget dong
BalasPadam