Jumaat, 5 Januari 2018

Jeruk Bambangan

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua.
Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 buat semua rakan pengunjung yang dihargai. Akhir-akhir ini dapur kecil Amie agak sepi. Tuntutan tugas hakiki dari hari ke hari menyebabkan tumpuan masa di dapur maya semakin berkurang.  In shaa Allah, Amie akan peruntukkan sedikit waktu untuk selalu berada di sini. 
Banyak cerita yang terlepas begitu sahaja, banyak peristiwa yang tak sempat dirakam seperti selalu terutama tentang kepulangan anak-anak dari pusat pengajian dan bercuti bersama-sama. 
Apa pun pada petang ini Amie sempat kongsikan resepi yang sangat ringkas, barangkali sekadar memenuhi tuntutan agar tidak mengabaikan terus dapur ini! Amie kongsikan jeruk bambangan, sejenis buah yang sangat popular di Borneo terutamanya di Sabah. Dahulu, agak mudah untuk mendapat bekalan buah bambangan, namun akahir-akhir ini agak sukar sekali dan harganya juga agak tinggi! Sebelum ini buah bambangan dijual secara longgok, tiga atau empat biji dengan harga RM10, tetapi kini dijual dalam sukat timbang, dengan harga RM12 sekilogram. Sebiji buah bambangan yang pernah Amie beli boleh mencapai berat sehingga 600 gram.
Walaupun jeruk bambangan merupakan makanan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah, tetapi penggemar makanan ini tidak terhad kepada suku kaum tersebut sahaja. Kalau singgah di pekan Kundasang, memang banyak jeruk bambangan di jual di situ, selain jeruk tuhau dan pelbagai jenis makanan tradisi lain. Jika berminat untuk menyediakannya sendiri, eloklah beli sahaja buah bambangan, dan olah di dapur mengikut selera anda! Amie suka tambahkan jus limau kasturi atau jus limau nipis di dalam olahan jeruk bambangan, walaupun rasan buah bambangan memang sudah sedia masam manis semulajadinya!



Bahan-bahan:
1 biji buah bambangan tua / masak 
10 biji cili padi - hiris
1 labu bawang besar hiris
garam / gula secukup rasa
2 biji limau nipis - ambil jusnya

Cara:
1. Basuh buah bambangan hingga bersih, dan kemudian laps hingga kering. 
2. Kupas buah bambangan dan hiris isinya mengikut citarasa.
3. Belah biji bambangan dan keluarkan isinya. Buang selaputnya dan parut isinya yang putih.
4. Dalam sebuah bekas, masukkan hirisan buah bambangan, hirisan cili padi dan bawang, garam, gula, parutan isi (biji) buah bambangan dan jus limau nipis.
5. Gaul rata.
6. Biarkan seketika, lebih kurang 15-20 minit sebelum dinikmati.

Inilah dia buah bambangan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan