Pages

Sabtu, 21 Oktober 2017

Cerita Secangkir Kopi Kawa Daun & Kue-Kue Jagung Manis

"Nanti boleh minum kopi daun, dengan sudu kayu manis."
Kami senyum-senyum mendengar ungkapan Pak Herman. Tapi ceritanya itu mampu menjentik hati untuk terus bertanya.
"Daun kopi?
Atau daun teh?" Pertanyaan berbaur sangsi.
"Daun kopi," sahut Pak Herman.
"Zaman penjajahan Belanda, penduduk tempatan terpaksa menyerahkan tenaga dan hasil pertanian seperti kopi kepada pihak pentadbiran. Kopinya diambil Belanda, daunnya dibuat minuman orang kampung," jelas Pak Herman lagi.
Oooo...begitu asal ceritanya ya Pak.
"Lepas minum kopi, buanglah sudu kulit kayu manis itu Pak?"
"Tidak. Dicuci dan boleh digunakan lagi."

Ini dia, kopi daun yang Pak Herman maksudkan! 
Daun kopi dijemur, dan kemudian dikeringkan di atas tungku api sebelum dihancurkan. Kemudian dimasak dalam belanga menggunakan kayu api.
"Bagaimana? Boleh minum kopinya?"
"Kenapa ada rasa asap Pak?"
"Kerna air kopi dimasak menggunakan kayu, jadi aroma kayu api itu yang menimbulkan aromanya."
Aroma kayu api atau aroma daun kopi?
Unik bukan? Minum cara tradisi menggunakan cawan tempurung kelapa!
Cuma, tidak sempat melihat bagaimana kopi daun diminum dengan menggunakan sudu kulit kayu manis.

Bagaimanapun, semasa berada di rumah Sulam Hj. Rosma, Amie sempat melihat kulit kayu manis dan juga bungkusan kopi. Barangkali beginilah bahan yang digunakan sebagaimana yang dimaksudkan oleh Pak Herman.


Selain menikmati secawan kopi daun, kami juga berpeluang mencicipi kudap-kudapan berasaskan jagung manis. Menurut Pak Herman, semua makanan yang dihasilkan di sini berasaskan jagung manis. Antaranya termasuklah donut, bubur jagung, kuih jagung (alamak... tak tahu nama tapi nampak dibungkus dengan kulit jagung), dan pelbagai lagi.

 Tauhu ini akan diisi dengan jagung dan kemudian akan digoreng semula dengan bahan penyalutnya.

Kata Warite, ini bakwan jagung. Dan nampaknya Warite memborong habis bakwan jagung, tak tinggal lagi! Menurut pelayan di situ, ada lagi yang sedang digoreng.

Ha... inilah kuih jagung yang paling sedap! Bentuknya seperti cekodok atau jemput-cemput! Panas dari kuali! 10 biji hanya 5,000 rupiah! Kenyang makan ni tau.

Kerepek pun banyak dijual di sini.

Setelah membeli kudap-kudapan jagung, kami duduk menikmatinya beramai-ramai.
Semuanya panas belaka! Disebabkan rasa tamak (ORANG TAMAK SELALU UNTUNG), banyaklah kue-kue jagung yang kami beli sampai tak larat nak habiskan di situ! Kami bungkus bawa naik van.

Tauhu inti jagung dengan harga 10,000 rupiah untuk 3 keping. Makan sekeping pun dah cukup kenyang!

Bakwan jagung dan roti inti jagung, juga 3 keping 10,000 rupiah.

Dan apa ini...yang sangat sedap itu!





Marilah makan!

Sebenarnya bukan tak pernah tengok telur, tapi telur di sini luar biasa besarnya! Kebetulan di hadapan kedai Jagung Super Manis, sebuah lori kecil sedang menurunkan sarang-sarang telur. Kami datang mendekat, dan mulut pun ringan bertanya : 
"Telur ini gred apa pak?"
" Gred super," jawab tuan punya lori telur. 
"Oh.... gred  AA ..double A,"  Warite mencelah.
"Haa... betullah tu, elok sangat dibuat kek lapis," sambung Amie. 
Dalam hati berkata : Mesti ada dua kuning telur dalam telur sebesar ini.
Tapi.... walaupun double A, saiznya tetap lebih besar dari telur double A yang biasa Amie beli di pasar LD!

Orang yang 'nakal' memang tak tahu duduk diam. Ada saja yang ingin ditanya. Bersebelahan dengan tempat menggoreng kuih-kuih,  seorang lelaki agak berumur sedang mengupas jagung, dan seorang lagi sedang (memarut atau menyisip jagung menggunakan pisau, tapi rasanya bukan memarut tu...aiishh tak tahu nak guna istilah apa yang sesuai - selesai melakukan tugasnya, batang jagung dicampakkan ke dalam bekas di atas). Patutlah segala hasil makanan terasa manis berlemak, rupanya memang dihasilkan dari jagung segar! Terbayang di mata, setiap kali melintasi kawasan sawah bendang, pasti ada sepetak dua tanaman jagung yang subur!

Di sebelah kiri tempat mereka melakukan kerja mengupas dan menyisip jagung, terdapat beberapa buah periuk. Salah sebuah periuk, dengan saiznya yang paling besar,  dibawahnya kelihatan bara kayu api. Nampaknya sesuatu sedang direbus di dalamnya.

"Pak, kopi daun direbus dalam periuk inikah?"
Nampaknya kedua mereka berpandangan seketika.
Kemudian seorang menyahut dalam keadaan menunduk sambil meneruskan tugasnya mengupas kulit jagung.
"Rebus jagung," jawabnya pendek tapi bunyi suaranya seperti mulutnya sedang mengulum sesuatu!
Dan seorang lagi sempat melemparkan senyum dan kemudian tunduk semula. Nampak tekun sekali dengan tugasnya.
"Ooohhh... rebus jagung. Terima kasih Pak."
"Ya," jawab mereka tapi tetap menundukkan muka.

Di dalam van:
"Pak Herman, saya ingat periuk yang besar itu tadi digunakan untuk masak kopi daun, tapi saya diberitahu periuk itu untuk rebus jagung."
"Ya, periuk itu memang digunakan untuk merebus jagung. Yang digunakan untuk masak kopi daun itu  periuk belanga, diperbuat dari tanah liat."
"Oooo ye ke."
Terus terbayang wajah dua pekerja lelaki yang menundukkan muka dengan tekun membuat kerja mengupas dan menyisip jagung. Adakah mereka menahan tawa ketika menjawab pertanyaan Amie sehingga suaranya seakan terkulum?
Mengenang peristiwa itu, terasalah bangangnya! Takkanlah periuk sebesar itu digunakan untuk masak air kopi daun? Orang datang minum pun secawan saja! Sedangkan periuk itu besar, boleh buat merendang kerbau seekor!

Hari kedua berada di Bukit Tinggi terasa lebih menyegarkan setelah merehatkan diri dari lelah perjalanan yang agak panjang. Di kiri kanan jalan dipenuhi dengan sawah padi yang subur menghijau dengan latar belakang gunung-ganang. Tak jemu mata memandang. Ketika ini, kami sepakat mengatakan bahawa lukisan pemandangan sawah padi berlatar belakangkan gunung bukanlah imaginasi pelukis semata-mata, tetapi ia adalah alam semula jadi, yang kini jelas terpampang di depan mata!

Dan terlebih menariknya, sudah tentulah dengan adanya rumah tradisional Minang bumbung melengkung yang masih wujud terpelihara di daerah ini. Alangkah beruntungnya dunia Minangkabau, selain adat perpatih yang dijunjung tinggi, tradisi hidup masih dikekalkan. Memang jelas terlihat identiti mereka.

Ini pula antara gambaran suasana di sekitar perjalanan menuju ke Lembah Harau. Mungkin gambar tidak berapa jelas kerana Amie tangkap dari dalam van, namun ia tetap meninggalkan kesan yang mendalam dengan ceritanya yang tersendiri.

Terima kasih banyak Pak Herman kerana sentiasa sudi melayani setiap pertanyaan yang dikemukakan. Dengan ini sekurang-kurangnya Pak Herman sudah berjaya berkongsi budaya masyarakat Minangkabau dengan pengunjung yang datang ke daerah ini. Sebagai anak tempatan sudah semestinya Pak Herman memiliki semangat cinta akan tanah kelahiran dan berusaha memeliharanya dengan cara menerangkan sebaik-baiknya kepada tetamu (tetamu ialah istilah yang Pak Herman gunakan yang membawa maksud pengunjung atau pelancong).

Tetamu @ pengunjung @ pelancong datang dengan hasrat yang tersendiri. Ada yang ingin melihat tempat yang indah, menelusuri sejarah, memahami budaya dan cara hidup masyarakatnya. Juga menikmati keunikan lain seperti makanannya dan sudah semestinya ingin membeli-belah hasil kraftangan terutama dari masyarakat desa. 
Dengan khidmat yang Pak Herman berikan, memang terlihat kesungguhan usaha beliau memberikan yang terbaik sepanjang lawatan kami. Khidmatnya juga setanding dengan tour guide di negara lain, hanya bezanya Pak Herman merangkap tugas sebagai pemandu sekaligus! Dua tugas dalam satu masa.

Jangan lupa teruskan membaca catatan Amie kerana banyak lagi perkara yang akan Amie kongsikan sepanjang 5 hari 4 malam berada di Sumatera Barat.




Sesiapa yang berhasrat untuk bercuti ke Bukit Tinggi bolehlah menghubungi Pak Herman melalui FB beliau di sini : HERMANN HOLLANDE. 
Pak Herman juga boleh dihubungi melalui telefon : 62 812-6784-9399, dan WhatsApp : 62  812-6784-9399 


Sila klik entri di bawah berkaitan PERCUTIAN KE BUKIT TINGGI - PADANG - SUMATERA BARAT:

1. Bercuti ke Bukit Tinggi, Padang : Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - Sumatera Barat 
2. Sarapan Pagi di Warung Soto Angkasa  
3. Air Terjun Lembah Anai  
4. Memakai Pakaian Adat di Museum Minang Village  
5. Makan Tengahari di Rumah Makan Aie Badarun  
6. Makan Malam di Rumah Makan Wong Semarang  
7. Bermalam di Hotel Primadini  
8. Shopping Kain Sulam di Bukit Tinggi  
9. Cerita Secangkir Kopi Kawa Daun & Kue-Kue Jagung Manis  
10. Lembah Harau & Kelok Sambilan (9)  
11. Makan Tengahari di Tengah Sawah  
12. Istano Basa Pagaruyung  

13. Jus Terong Peros @ Terung Belanda
14. Menghayati Keindahan Panorama Sungai Landia Sambil Menikmati Secawan Teh Halia Panas!    
15. Kelok 44 - Museum Rumah Kelahiran Buya HAMKA  
16. Danau Maninjau Yang Indah Mempesona 
17. Makan Tengahari di Rumah Makan Eni  
18. Silver Work Koto Gadang  
19. Minum Petang di Rumah Pohon Ngarai Sianok  
20. Lobang Jepang  
21. Jam Gadang Mercu Tanda Kota Bukit Tinggi  
22. Tembok Besar China ala Bukit Tinggi  
23. Oleh-Oleh Sanjai Ummi Aufa Hakim Bukit Tinggi  
24. Bika Talago Bukit Tinggi Yang Tak Dapat Dilupakan!  
25. Makan Tengahari di Lamun Ombak & Segelas Jus Pinang Muda  
26. Sepetang di Kota Padang  
27. Sate Padang KMS Saribu Baniah  
28. Berakhirnya Percutian di Bukit Tinggi : Padang - Kuala Lumpur - Tawau 

5 ulasan:

  1. Cawan tempurung kelapa tu unik lah....dia ada jual tak? Wah macam best je semuanya jagung. Tapi makan jagung rebus di cuaca sejuk emmm sedap sekali apa lagi jagung fresh dari ladang. Manis

    BalasPadam
  2. Bagusnya orang Indon ni dari satu jenis dipelbagaikan jadi berjenis-jenis makanan. Sebelum ni pisang lah ni jagung pulak. Kreatifkan dan banyak idea mempelbagaikan jenis makanan dia untuk menjana pendapatan.

    BalasPadam
  3. Notie,
    ada dijual di situ, kawan saya beli teko, cawan dan bekas gula.

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum kak amie..saya nak bertanya bagaimana kak amie merancang perjalanan kesana? nak ambil tiket dari Kk ke Jakarta ka? Bagaimana dengan pakej-pakej yang mereka sediakan disana..bagaimana saya boleh mendapatkan keseluruhan maklumat mengenai perjalanan kesana..saya sangat berminat ingin melancong kesana bersama keluarga. Diharap kak amie dapat berkongsi serba sedikit maklumat perjalanan kepada saya dan jika tidak keberatan kak amie boleh emailkan kepada saya di crotchy2loins77@yahoo.com.my atau watsup ke nom 0138660240. Terima kasih kak amie.

    BalasPadam
  5. Idyana,
    Waalaikumussalam,
    kami dari Tawau ke KL, kemudian sambung perjalanan dari KL ke Padang. Kalau KK ke Jakarta memang boleh, tapi kakak tak pasti Jakarta ke Padang pula. Bagus juga kalau KK Jakarta, boleh singgah Jakarta dulu. Nanti kakak wasap.

    BalasPadam