Huuurrrmmm..... sedapnya bau! Macam masuk kedai India.
Terkejut Amie dengar suara Encik Suami dari pintu dapur.
Alhamdulillah, setelah agak lama tidak bersarapan bersama, pagi ini Amie sempat hidangkan roti paratha (frozen) dengan Ayam Kari Pakistan. Bau bawang besar tumis dengan minyak sapi memang membangkitkan aroma yang sungguh menggoda, apalagi di waktu pagi ketika angin dingin berhembus lembut! Aromanya menerjah segenap ruang!
Alhamdulillah Ayam Kari Pakistan diterima baik seisi keluarga kami. Banyak kali Amie masak resepi istimewa yang diberikan oleh Ummie Maria Hakem dari Cardiff ini. Mudah-mudahan Ummie Maria sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki sepanjang beranda di perantauan. Boleh klik link di sini untuk lebih lanjut tentang resepi ini : AYAM MASAK KARI PAKISTAN
Biasanya Amie gunakan beberapa bahagian ayam untuk masakan ini seperti bahagian peha, tetapi kali ini Amie hanya gunakan isi ayam iaitu pada bahagian dada sahaja. Memandangkan Amie tidak mempunyai stok serbuk cili, jadi Amie tidak bubuh. Jadi, warna masakan ini kelihatan lebih kekuningan oleh serbuk kunyit.
Bahan-bahan:
400 gram dada ayam - buang kulit dan potong dadu
2 biji bawang besar - cincang
2 biji tomato merah - cincang
2 cm halia - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk cili ( sepatutnya Amie bubuh)
1 sudu kecil serbuk ketumbar
2 cawan air
garam / perasa pilihan
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
garam masala - jika suka (tak bubuh pun tidak apa - Amie tidak bubuh)
hirisan cili padi dan daun ketumbar untuk hiasan
Cara:
1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak, dan tumis bawang besar cincang hingga kekuningan.
2. Masukkan tomato cincang dan teruskan tumisan hingga sebati.
3. Tambahkan halia dan bawang putih tumbuk, (serbuk cili), serbuk ketumbar serta serbuk kunyit.
4.
Kacau hingga sebati dan masukkan air. Biarkan bahan tumisan masak
sehingga bawang dan tomato hancur. Gunakan api sederhana.
5. Masukkan ayam dan gaul rata.
6.
Tidak perlu tambah air kerana daging ayam akan mengeluarkan air.
Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
7. Kacau sebati dan masak sehingga kuah kering. (sebaiknya jangan sampai kering).
8. Hidangkan bersama taburan cili padi hiris dan daun ketumbar.
Alhamdulillah!
Sebenarnya makan sekeping roti paratha pun dah cukup kenyang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan