Pages

Ahad, 4 Jun 2017

Yong Tau Foo & Kuah Sedap!

Bila cerita tentang Yong Tau Foo, hanya mampu telan air liur! Bukan apa, kalau di tempat sendiri tentulah boleh beli di pasar malam atau bazar Ramadhan, tapi di sini tak tahu pula di mana nak cari. Nak singgah di pasar Ramadhan, takut tak sampai rumah pula (kesesakan lalu lintas) dan belum tentu ada peniaga yong tau foo! Seingat Amie, yong tau foo yang pernah Amie makan di sini, Amie beli di pasar tani. Kebetulan pula petang tadi keluar membeli-belah dengan Encik Suami. Agak lewat pula sampai ke rumah. Rasanya tak sempat nak masak-masak.
Kebetulan kami beli beberapa jenis frozen seafood. Kata Encik suami, sediakan sajalah apa-apa yang ada untuk berbuka puasa. Jadi, dalam perjalanan pulang, Amie sempat intai Pak Google, minta resepi kuah yong tau foo sebab dan ingat-ingat lupa. Maklumlah agak lama juga tak buat kuah yong tau foo. Sebelum ini Amie pernah buat kuah yong tau foo DI SINI dan DI SINI.
Kali ini Amie cuba buat kuah yong tau foo dari RASA oleh EMY HAZNIDA.

Walaupun ketika azan Maghrib baru siap, tapi sangat berpuas hati sebab kuah yong tau foo memang sedap! Encik Suami makan 2 pinggan! Ada dua jenis kuah yang Amie sediakan berdasarkan resepi tersebut, iaitu Kuah Hitam dan Kuah Merah.

Bahan-bahan untuk Kuah Hitam:
2 sudu besar taucu
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar sos tiram
4 sudu besar gula
3 cawan air

Cara:
1. Campurkan semua bahan dan kisar hingga halus.
2. Masak di atas api sehingga mendidih - Amie masak hampir pekat.

Bahan-bahan untuk Kuah Merah:
1/2 cawan kacang tanah - goreng
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
4 sudu besar gula
3 cawan air
1/2 sudu kecil garam - Amie gantikan dengan perencah cukup rasa

Bahan lain :
2 ulas bawang putih - cincang
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih bersama cili kisar.
2. Setelah terbit minyak, masukkan semua bahan kisar.
3. Masak sehingga kuah mendidih dan menjadi sedikit pekat.


Apa yang penting ialah penyediaan kuahnya! Bahan yang kita nak makan mudah untuk disediakan kerana kebanyakannya sudah sedia ada dan hanya dicelur sahaja. Terpulanglah nak pilih, ikut kegemaran masing-masing. Selain frozen seafood seperti bebola udang, sotong, ketam, fish cake dan sebagainya, Amie tambahkan sayur kangkung, lobak merah (telur rebus - konon nak gantikan telur puyuh...hiks)!
Jangan lupa taburkan kacang tanah tumbuk dan bijan sangan ketika menghidangkannya.

Tak dapat Amie lupakan : Kalau beli yong tau foo di pasar tani, disertakan sekali sambal dan limau kasturi! Walaaaa....

1 ulasan:

  1. Salam. Nk tny, Nnt makan campur kan kuah merah dan hitam tu ke?

    BalasPadam