Selamat berpuasa buat semua rakan pengunjung yang menunaikan ibadat yang datang sebulan dalam setahun. Alhamdulillah kita dapat bersua kembali di dapur maya. Sebenarnya semenjak dua menjak ini, tuan dapur agak sibuk tapi berusaha juga mencari masa untuk menjenguk dapur!
Paparan resepi Soto Ayam ini sebenarnya menu kami berbuka puasa kelmarin. Tak sempat nak ambil gambar, maklumlah dah menjelang azan Maghrib barulah siap hidangan. Tidak dinafikan soto ayam memang sedap, tak nak menyiapkannya pun kena ambil masa. Mengenangkan anak-anak dan Encik Suami suka makan makanan jenis berkuah kalau berbuka puasa, Amie pun usahakan juga untuk menyediakannya.
Bahan -bahan:
1 kg ayam - bahagian dada
1/2 kg kaki ayam - bersihkan dan potong 2
3 kampit ketupat - rebus melebihi 90 minit - angkat, toskan, sejukkan dan potong kiub
1 cawan kacang tanah - goreng
1 mangkuk taugeh - (sebaik-baiknya tunas kacang hijau - buat sendiri lebih baik)
150gram suhunn - goreng dan toskan
bawang goreng
hirisan daun sup
Bahan tumisan untuk kuah soto:
1 sudu besar lada putih - tumbuk
3cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
garam /perasa pilihan
3 liter air
minyak untuk menumis
Bahan kisar:
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
5 cm bonggol pokok sup
5 cm halia
5 biji buah keras
1 sudu makan biji ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga naik bau.
2. Masukkan semua rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, dan buah pelaga kecuali lada putih tumbuk.
3. Masukkan ayam dan kaki ayam dan balik-balikkan hingga layu.
4. Tambahkan air secukupnya dan biarkan mendidih.
5. Masukkan lada putih, garam dan perasa pilihan. Tutup periuk dan perlahankan api.
6. Apabila ayam telah masak, angkat dan toskan.
7. Biarkan kaki ayam terus direnih dengan api paling perlahan.
8. Goreng ayam hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
9. Carik-carik isi ayam dan masukkan tulang ayam tadi ke dalam sup / kuah yang sedang direnih.
Bahan-bahan untuk pergedil pula ye... terpulanglah nak buat seberapa banyak. Kalau di rumah Amie, anak-anak suka ratah begitu saja. Jadi, kenalah buat lebih!
1 kg kentang - kupas dan potong baji menjadi 8
3 tangkai daun sup - hiris
1/3 cawan bawang goreng
1/2 sudu kecil lada putih
garam / perasa pilihan
1 biji telur
minyak
Cara:
1. Goreng kentang hingga masak dan toskan minyaknya.
2. Lenyek kentang hingga hancur - Amie tumbuk dalam lesung.
4. Gaul kentang lenyek bersama daun sup, lada putih, dan garam / perasa pilihan.
5. Bulat-bulatkan adunan kentang dan leperkan ditepinya sedikit.
6. Pukul telur dan celup pergedil tadi ke dalam telur sebelum menggorengnya.
7. Gorenglah hingga masak atau berwarna kuning keemasan.
8. Angkat dan toskan.
Bahan untuk sambal kicap:
15 biji cili padi
4 sudu besar kicap manis - Habhals (Kicap Cap Kipas Udang)
3 sudu besar kuah soto
4 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / perasa - pilihan - oleh kerana sudah gunakan kicap Habhals yang sudah cukup rasa, tak perlulah bubuh apa-apa perasa lagi
Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama bawang putih - jangan terlalu lumat
2. Gaul rata bersama kicap, kuah dan jus limau kasturi.
3. Jika kurang rasa, masukkan garam dan perasa pilihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan