Pages

Sabtu, 11 Mac 2017

German Cookies (Biskut Kentang)

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Harap semuanya sihat sejahtera. 
Paparan kali ini Amie kongsikan resepi German Cookies atau Biskut Kentang yang pernah popular suatu ketika dahulu. Bila buat biskut bukan untuk hidangan hari raya, terasalah keenakan biskut yang kita buat. Maklumlah, dapat makan dengan penuh perasaan...hiks!
Resepi ini Amie pinjam dari dapur Kak Wan (sumber dari Chef Florence). Siapa tak kenal Kak Wan, seorang blogger masakan yang tersohor di tanahair kerana kepakarannya dalam bidang masak-memasak pelbagai jenis kuih dan kek serta menggubah pelbagai jenis tempahan untuk hantaran dan sebagainya. Untuk lebih lanjut, bolehlah berkunjung ke dapur Kak Wan yang meriah di sini : RESIPI CITARASAWAN.
Resipi German Cookies ini sangat mudah. Bahannya pun tak banyak, dan tak perlu guna acuan tertentu untuk menerapnya. 

Biasanya German Cookies yang Amie lihat dalam pelbagai blog, tidak ada hiasan sugar colours, tapi Amie terpikat dengan hasil tangan Kak Wan. Cuma bezanya, warna gula Amie oren dan hijau. Warna gula yang Kak Wan gunakan sedondon dengan warna biskut! Cantik! Tapi tak apalah. Yang penting German Cookies ini memang tidak dinafikan keenakannya! Rangup dan cair di mulut!

Bahan-bahan:
250 gram mentega
100 gram gula icing
250 gram tepung kentang
100 gram tepung gandum
1 biji putih telur - Kak Wan tambah supaya biskut tidak terlalu peroi - Amie pun ikut cara Kak Wan
sugar colours sebagai hiasan

Cara:
1. Ayak tepung kentang dan tepung gandum. Ketepikan.
2. Pukul mentega dan gula icing hingga berkrim, masukkan putih telur dan putar hingga sebati.
3. Masukkan tepung dan gaul dengan spatula hingga rata. Rehatkan selama 15 minit.
4. Ambil doh sebesar ibu jari (10 gram), bulatkan dan golekkan bahagian tepinya dengan sugar colour ( atau hiasan lain yang disukai). Gunakan spatula untuk membentuk diamond di atasnya.
5. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 160' C selama 15-20 minit.

Amie gunakan whisk untuk memukul mentega serta gula icing dan telur. Budak kecil Firdaus @ Daun pun nak tolong memukul!

Dah berpeluh-peluh di dapur, dia pun lari ke ruang tamu membawa seketul doh!
Sesekali dia 'mengacau' juga kerja kita di dapur! 

Agaknya terbau aroma biskut dibakar, dia pun menunggu lama di meja dapur! Oh! Sebelum terlupa nak bagi tau, adunan ini pada mulanya Amie rasa sangat lembik. Tapi demi nak lihat hasilnya yang katanya rangup dan cair di mulut, Amie teruskan juga perjuangan. Setelah direhatkan selama 15 minit, elok pula adunan ini untuk dibulat-bulatkan! 

Rasanya selepas 'kacau' adunan tadi, Fairuz mandikan Firdaus! Tapi bila masuk semula ke dapur, mukanya nampak berpeluh dan berminyak (ini mesti tersapu mukanya dengan tangan bekas pegang doh bermentega tu!), dia pun mencicipi German Cookies! Dia gigit sikit-sikit. Lepas tu terus makan sebiji, dan sebiji lagi! Entah berapa biji masuk mulutnya! Bila Amie tanya : Sedap tak? Mmmm... sedap! Jawabnya.
Encik Suami dan Fairuz pun suka makan. Encik Suami siap berpesan lagi, nanti bawakan Farid. Aiiik? Kena buat lagikah? Farid balik lagi ke LD hari Isnin 13 Mac 2017, sebab ada urusan.

Ketika sedang menyiapkan entri ini, tiba-tiba Firdaus minta biskut! Kebetulan Fairuz ada di dapur, jadi Amie minta bawakan balang German Cookies untuk Firdaus.

Tak perlulah nak cakap banyak!
Firdaus sudah membuktikan betapa enaknya German Cookies!




Tak rugi cuba buat German Cookies. 
Kepada yang selalu ketinggalan keretapi macam Amie, selamat mencuba!

1 ulasan: