Pages

Isnin, 6 Mac 2017

Biskut Rosemary

Tiga hari lepas bercerita dengan Aton melalui whatsapp. Tak lain tak bukan cerita tentang biskut raya. Amie suka tengok Aton buat biskut raya terutamanya biskut bangkit kelapa. Biskutnya gemuk-gemuk bersih tak tercela! Tak ada tanda hangus. Kadang-kadang tak cukup satu adunan, Aton buat lagi adunan lain. Aton tukang uli dan terap biskut. Amie tukang bakar. Tukang jaga oven!
Itu cerita kami zaman remaja yang sudah jauh ditinggalkan berpuluh tahun dahulu!
Tiba-tiba teringin nak buat biskut yang comel montel macam Aton buat. Amie minta resepi. Katanya: Ko bubuhlah apa-apa supaya jadi sedap. Bubuhlah serbuk badam ke, kismis ke...apa-apalah! Dah tu pulak, dibaginyalah resepi main sukat cawan dan agak-agak! Adeeeeehhhhh!
Maka jadilah Biskut Rosemary, sebab Amie tambahkan serbuk badam dan herba rosemary! Herba rosemary pula yang terlebih rasa! Bagi yang sudah biasa dengan penggunaan herba rosemary, biskut ini tidaklah memberikan rasa yang aneh. Kepada peminat dan pencinta biskut, minta ampun dan maaf andai ada salah silap dalam resepi ini. Maklumlah, resepi orang kampung. Timbang sukat pun pakai cawan saja. 


Bahan-bahan:
2 cawan tepung jagung
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
1 cawan gula kastor
1/2 cawan mentega
1/2 cawan marjerin
3/4 cawan serbuk badam
1 sudu besar herba rosemary kering - kisar halus
3 biji kuning telur - ketepikan 1 kuning telur untuk sapuan atas biskut
1 sudu kecil esen vanilla
herba rosemary kering secukupnya untuk hiasan

Cara:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 170'C.
2. Ayak tepung jagung, tepung gandum dan tepung ubi secara berasingan. Ketepikan.
3. Pukul gula kastor bersama mentega dan marjerin hingga sebati.
4. Kemudian masukkan telur dan esen vanilla. Pukul lagi.
5. Masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit disusuli dengan tepung gandum, tepung ubi, serbuk badam dan herba rosemary kisar. Uli hingga sebati dan menjadi doh.
6. Canaikan doh setebal 1 cm dan terap menggunakan acuan pilihan.


7. Sapukan kuning telur pada permukaan biskut dan taburkan sedikit herba rosemary kering.
8. Turunkan suhu ketuhar kepada 140'C dan bakar biskut selama 10-12 minit atau sehingga masak.
9. Keluarkan biskut dari ketuhar dan sejukkan di atas redai.


10. Simpan biskut dalam bekas kedap udara.

Sebenarnya banyak juga hasil satu adunan biskut ni. Seperti biasa, tak rajinlah pulak nak mengira. Kalau dalam 80 atau 90 biji tu, rasanya jumlahnya lebih dari itu! Lain kali Amie kira ye kalau buat biskut....hiks!


3 ulasan:

  1. Menarik resipi ni pakai rosemary. Mesti wangi dan sedap.

    BalasPadam
  2. Baru singgah umah PH guna rosemery...kat sini pun rosemeri tp kukis..sangat rare tu..mesti aromanya lain kan..
    Ehemmmmmmm rajinnya k.amie mengukis kikiiii..apa projek ke tu kikiiiii

    BalasPadam
  3. dah rasa macam nak raya..hehhe

    BalasPadam