Pages

Isnin, 13 Februari 2017

Kuih Keria

Walaupun kuih keria tradisional ini sudah tenggelam dek kemunculan kuih keria gula melaka semenjak dua menjak ini, tapi Amie ingin kongsikan juga resepinya. Inilah salah satu kuih kegemaran Amie masa kecik-kecik dulu. Selain kuih keria keledek, Bonda selalu juga gunakan ubi kayu sebagai pengganti keledek! Oh! Sangatlah sedapnya pada selera kita ketika itu!

Kuih Keria
500 gram ubi keledek oren -  kupas kulit,  tambahkan 1 sudu kecil garam dan rebus hingga empuk
160 gram tepung gandum
20 gram tepung ubi
Minyak untuk menggoreng

Bahan untuk menyira:
160  gram gula pasir
3/4 cawan air

Cara:
1. Lenyek ubi keledek  hingga hancur.  Kemudian uli bersama tepung gandum dan tepung ubi sehingga menjadi doh.
2.  Ambil sedikit doh dan bulat-bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
4. Leperkan dan buat lubang di tengah.
5. Panaskana minyak yang banyak dalam kuali dan goreng secara terendam menggunakan api sederhana panas.
6. Setelah kelihatan kuning keemasan, angkat dan toskan.
7. Dalam kuali lain, masak air bersama gula pasir sehingga menjadi likat.
8. Masukkan kuih keria dan gaul supaya tersalut dengan air gula.
9. Setelah air gula kering, angkat kuih keria untuk dihidangkan.

 Nampak macam kecil saja ubi keledek oren ini, tapi beratnya lebih 500 gram tu!

 Jom uli keledek lenyek dengan tepung supaya boleh dibentuk.

Lama dah tak menggentel kuih keria sebab dah terbiasa buat donut...hiks!
Tepung gandum di bahagian bawahnya tu agak tebal! Tapi tak mempengaruhi hasil gorengan kuih keria ini. Terlebih daaa....

 Goreng dengan penuh kasih sayang...kih kihhhh!


 Seronok tengok hasil gorengan yang berwarna kuning keemasan tu! Cantikkan?

Maaf ye, tak dapat tangkap gambar semasa memasak air gula. Tak ada Fairuz di rumah untuk minta tolong! Jadi terus sajalah kepada proses menyira.  Setelah gula likat, terus masukkan kuih keria tadi. Bab inilah yang paling suka Amie tengok sewaktu Bonda menyira kuih keria. Di hati kecil Amie berkata, ajaibnya! Daripada gula Bonda masak dengan air boleh jadi gula putih yang cantik menyalut kuih keria! Nostalgik!

Nampaknya kuih keria telah tersalut  gula dengan sempurna. Bolehlah dihidangkan sebagai minum petang.

Keria antarabangsa sangatlah laku,
Khabarnya enak tidak terkata,
Sayangkan dia terbuanglah  daku,
Kerana daku keria biasa!

Ha ha haa...... keria pun pandai merajuk apa!

1 ulasan:

  1. Inilah kuih faveret PH masa duk kat asrama dulu. Tiap2 pagi duk intai2 kafeteria cari kuih keria.

    BalasPadam