Pages

Jumaat, 20 Januari 2017

Brengkes Labu

Brengkes itu apa? Buat masa ini Amie pun tak tahu nak terangkan. Ada masakan brengkes ikan, dan ada pula kuih bernama brengkes labu. Kedua-dua nama ini sudah tentulah Amie dapat dari keluarga sebelah suami. Setakat ini bila tanya Pak Google, beliau pun masih geleng kepala!
Brengkes Labu yang Amie kongsikan ini merupakan sejenis kuih yang diperbuat dari campuran tepung gandum, sagu biji, gula dan santan. Kuih ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu Cocos. Seronok tengok ibu-ibu datang rewang dan buat Brengkes Labu di dapur. Dah berpuluh tahun kahwin dengan orang Melayu Cocos, eloklah abadikan kuih ini dalam dapur kecil Amie ini.

Setakat ini Amie belum pernah terjumpa kuih ini di mana-mana pasar atau gerai. Brengkes Labu ini memang kuih 'wajib' Encik Suami bawa pulang dari menghadiri majlis tahlil terutama pada bulan Syaaban, sebelum tibanya Ramadhan.

Selalunya Amie lihat ibu-ibu yang datang rewang bergotong-royong membuat Brengkes Labu dalam jumlah yang banyak. Bagaimanapun Amie cuba buat dalam sukatan yang tidak terlalu banyak, tapi bolehlah juga dikatakan banyak.....hiks! Hasilnya, bukan kami sekeluarga yang makan, tapi boleh dibahagi-bahagikan kepada keluarga yang lain.

Bahan-bahan:
400 gram labu manis
500 gram tepung gandum
250 gram sagu biji
300 gram gula pasir - kalau suka manis, boleh tambah gula lagi
1 sudu besar minyak jagung
1 sudu kecil garam
400 ml santan pekat
400 ml air
Daun pisang secukupnya  - layurkan


Periuk pengukus
P/S: Santan pekat dan air boleh dicampurkan.

 Inilah antara bahan yang diperlukan. Suka tengok labu manis tu...sebab warnanya cantik! Jom kita tutorial cara buat Brengkes Labu seperti di bawah ini.

Cara:
1   1.  Rebus labu manis hingga lembut dan kemudian lenyek hingga hancur.
2     2. Rendam sagu biji hingga kembang dan toskan airnya.

3   3. Sementara itu masukkan air di dalam periuk pengukus dan nyalakan api dapur.
     4. Ambil sebuah mangkuk besar dan masukkan labu lenyek, gula, dan tepung gandum, garam dan minyak jagung.

5. Kemudian tambahkan santan dan air, adun hingga sebati.

6. Kemudian masukkan sagu biji seperti di bawah ini.

7. Gaul rata.

 Beginilah rupa adunan Brengkes Labu.

 8. Ambil sehelai daun pisang dan bubuh 2 sudu besar adunan tadi.

9. Bungkus dengan kemas dan lipat kiri dan kanan daun. Sorry... tak ingat nak ambil gambar sewaktu membungkus! Boleh nampakkan bungkusan yang dah siap di bawahnya tu. Macam bungkus lepat pisang, lebih kurangnya!

10. Kukus Brengkes Labu sampai masak. Kalau nak tahu masak atau tidak, ambil sebiji, tengok rupa dia macam di bawah ni.

Jemput!

Tak perlu tunggu kahwin dengan orang Melayu Cocos untuk menikmati Brengkes Labu...hiks! Sekarang anda boleh buat sendiri di dapur kan. Terima kasih buat kakak ipar yang sanggup tolong Amie di dapur buat Brengkes Labu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan