Ada 10 batang kacang kelor tak terusik! Jom usik dia... buat dia jadi masakan dalca. Nak bagi meriah, tambahkan apa sahaja sebagai penemannya! Bila kumpul bahan lain, terjumpalah lobak merah, tomato, terung, kentang dan udang. Kacangnya pulak Amie gunakan kacang hijau.... salah beli kacang dal!
Bila dah campur itu ini, punyalah banyak hasilnya! Boleh makan untuk 10-15 orang! Jom tengok resepinya di bawah ini. Amie malas nak kisar cili kering, jadi Amie gunakan saja serbuk cili. He he heee....
Bahan-bahan:
10 batang kacang kelor - buang bahagian kulit luar yang keras - kemudian potong sepanjang 3 cm
1 cawan santan pekat
3 cawan air
1 cawan kacang hijau (tanpa kulit ) - rendam 1 jam - kemudian rebus hingga empuk - toskan airnya
400 gram udang kertas - bersihkan
1/2 batang lobak merah - kupas kulit dan potong bulat
3 biji kentang - kupas kulit dan potong dadu
2 biji tomato - belah 4
2 biji cili hijau - belah 2
2 biji cili merah - belah 2
1 sudu kecil biji sawi
1 sudu kecil jintan manis
2 sudu besar serbuk cili
4 sudu besar serbuk kari
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 sudu kecil pati santan - bancuh dengan 1/2 cawan air
3 tangkai daun kari - lurutkan
garam / gula / perasa pilihan
1/2 cawan minyak
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia
2 cm halia
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hiris hingga kekuningan.
2. Masukkan jintan manis dan biji sawi, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.
3. Setelah naik bau, tambahkan serbuk cili dan serbuk kari serta daun kari.
4. Tambahkan air asam jawa dan masak hingga pecah minyak. Jika terlalu kering, tambahkan lagi sedikit air. Kemudian masukkan kentang dan juga lobak merah.
5. Masukkan 3 cawan air dan biarkan hingga mendidih,
6. Kemudian masukkan cili hijau, cili merah dan kacang kelor. Setelah kacang kelor lembut, tambahkan santan pekat, kacang hijau, udang, terung, serta tomato.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Masak seketika, dan kemudian padamkan api dapur.
Simpan sudu di atas para,
Sudu bertukar menjadi camca,
Masakan apa menggamit selera,
Kacang kelor masak dalca!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan