Alhamdulillah...
Fuad sudah mula bercuti untuk selama tiga minggu. Pukul 2.30 pagi Ahad sampai di rumah, dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu setelah menyeberang laut dengan menaiki feri dari Labuan. Nampak agak kurus, dan tinggi. Kalau bercakap sambil berdiri, memang kita terpaksa mendongak nak tengok mukanya!
Kami sangka kegemarannya masih seperti dulu, makan nasi lauk ayam. Kelmarin Amie masak kari ayam kegemarannya, tapi yang dijamahnya iakan panggang! Aiikk? Dah pandai makan ikan pulak? Katanya, bosan hari-hari asyik makan nasi lauk ayam di Labuan. Baguslah kalau begitu. Makanlah ikan banyak-banyak berbanding ayam!
Balik dari sekolah, Amie dengan Encik Suami singgah gerai tepi jalan, tempat orang jual ikan. Memandangkan sudah agak lewat untuk makan tengahari, eloklah beli ikan segar saja, tak payahlah nak menunggu lebih lama untuk ikan nyahbeku. Lepas beli ikan, singgah gerai seberang jalan, konon nak beli sayur. Ada pula orang jual ikan lampan jawa segar dari sungai! Kami beli dua ekor. Encik Suami kata, sedap ikan lampam jawa kalau goreng garing-garing. Jadi, dalam kepala Amie, seekor kena goreng, seekor lagi masak berkuahlah.
Yang ikan lampam jawa goreng tu tak payahlah kongsi resepinya kan....ahaks! Amie pun goreng juga 4 ekor ikan laut... tak tahu apa nama ikan tu! Amie kongsikan Ikan Lampam Jawa Masak Lemak Tempoyak Cili Pagi.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan lampam jawa seberat 500 gram - bersihkan dan potong 2
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
2 sudu besar tempoyak
7 biji belimbing buluh- belah jangan sampai putus
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
25 biji cili padi kampung
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara memasak:
1. Masukkan santan cair bersama bahan tumbuk dan tempoyak ke dalam periuk.
2. Setelah kuah mula mendidih, masukkan ikan lampam jawa dan belimbing buluh. Biarkan seketika.
3. Kemudian tambahkan santan pekat.
4. Setelah kuah mula mendidih lagi, tambahkan garam / perasa pilihan.
5. Kacau selalu supaya ikan masak merata. (Tidak perlu masak terlalu lama sebab isi ikan lampam jawa sangat lembut).
Masakan berkuah begini memang anak-anak suka! Bukan ikannya, tapi kuahnya!
Merambat ikan di tengah rawa,
Dapat seekor jala terkoyak,
Masak lemak si lampam jawa,
Bertambah enak tambah tempoyak!
Merambat ikan di tengah rawa,
Dapat seekor jala terkoyak,
Masak lemak si lampam jawa,
Bertambah enak tambah tempoyak!
Wah, sedap ni Amie. Stok tempoyak dah habis. Next time nampak durian, nak beli dan buat lagi. I still haven't eaten masak lemak tempoyak.
BalasPadamPH,
BalasPadamSaya baru teringat buat tempoyak satu balang... terlupa dah lama simpan dalam peti sejuk!