Hajat di hati kalau boleh nak jelajah seluruh kota Melaka, ingin menghayati kesan tinggalan sejarah di segenap penjuru Bandar Hilir Melaka. Namun apakan daya, masa sangat terhad untuk berlama-lama di negeri Hang Tuah ini. In shaa Allah... telah dipahatkan dihati, ada rezeki waktu dan kesempatan yang lain kita akan berkunjung lagi ke negeri ini.
Kami meneruskan lawatan ke Muzium Istana Kesultanan Melaka yang terletak bersebelahan dengan A Famosa, di bawah Bukit St. Paul.
Teringat berpuluh tahun yang lalu ketika belajar di tingkatan enam. Kami wajib mengkaji buku Sejarah Melayu untuk lulus penuh mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat STPM. Walaupun Sejarah Melayu ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu Klasik, tetapi minat membaca yang mendalam membuatkan Amie rajin mengulangbaca sehingga khatam sebnyak 6 kali tanpa rasa jemu. Barangkali... ketika itu kurang bahan bacaan dan tidak mampu membeli buku rujukan, jadi bergantung sepenuhnya terhadap pemahaman teks. Alhamdulillah... untuk Kertas II (termasuk menjawab soalan berdasarkan teks Sejarah Melayu) Amie dapat cemerlang. Tak sia-sia membaca Sejarah Melayu dari kulit ke kulit!
Bila terpandang papan tanda Istana Kesultanan Melaka, terus teringat sejarah kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana yang diceritakan dalam Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin. Berminat untuk terus mendalami karya sejarah inilah yang mendorong Amie meneruskan pengajian dalam bidang Sejarah ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Di situ Amie berpeluang mendalaminya dengan mengikuti kuliah Historigrafi Melayu.
Alhamdulillah... tahniah kepada kerajaan negeri Melaka kerana berusaha untuk membina replina Istana Kesultanan Melayu Melaka. Oh... ya...! Tiket masuk hanya RM3.00 sahaja dan kami semua dikira dewasa. Alkisahnya, replika istana ini mula dibina pada tahun 1984 dan siap pada tahun 1986. Dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Julai 1986.
Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini dibina di atas tanah seluas 0.7 hektar. Kos pembinaannya sebanyak RM1.4 juta. Selain dijadikan sebagai Muzium Kesultanan Melayu Melaya, replika ini juga berfungsi sebagai Muzium Budaya yang pertama di negara kita.
Jangan lupa tanggalkan kasut sebelum menjejakkan kaki di atas tangga istana.
.
Pemandangan di bawah istana.
Rasa agak sejuk bila duduk di bawah istana... sebab di luar istana terasa bahang panas matahari yang menyelar kulit!
Kita mulakan langkah memasuki zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka dari tahun 1456-1477. Kata pensyarah kami... Sultan Mansur Shah merupakan sultan yang paling kacak dalam senarai sultan yang memerintah Melaka.
Siapa yang tidak tahu sejarah pembukaan negeri Melaka?
He he hee... kita cuma nak kenal pokok Melaka saja!
Seni bina istana ini mengetengahkan ukiran corak bunga dan tumbuh-tumbuhan tempatan yang terdapat pada dinding dan juga tiang istana.
Mengikut sejarahnya, istana ini mempunyai 17 ruangan dan berukuran sepanjang 87.5 meter setiap satu serta mempunyai sebanyak 40 pintu. Namun replika istana ini hanya dibina mengikut kesesuaian tapak yang disediakan iaitu 67.2 meter panjang, 18.5 meter tinggi dan 12 meter lebar. Untuk lanjut sila rujuk DI SINI dan DI SINI.
Jika anda memasuki replika istana ini anda akan mendapati istana mempunyai tiga tingkat dan dibahagikan kepada lapan bilik dan tiga galeri. Jom kita intai tingkat pertama di bawah ini:
Nampak tak balairong seri tempat menghadap raja!
Jom kita lihat dari jarak dekat.
Daulat tuanku... patik pacal yang hina datang melawat.
Nampaknya baginda sultan sedap dihadap oleh para pembesar negeri...
...dan gelegasi dari luar.
Bila kita intai dari arah hadapan, kelihatan perwakilan dari Jawa sedang menghadap sultan.
Ambil kesempatan bergambar di sini.
Ampun tuanku!
Hamba membelakangkan tuanku....
Ini ialah Orang Kalor iaitu kumpulan pemain nobat. Alat nobat ini hanya boleh dimainkan oleh Orang Kalor sahaja. Ketua nobat dipanggil Kalor Besar diikuti penghulu yang dipanggil Tok Setia Indera, diikuti Kalur Kecil dan yang lainnya digelar Orang Nobat. Nobat yang dimainkan terdiri dari pelbagai ragam termasuk Iskandar Dzulkarnain dan Ibrahim Khalil sebagai ragam asal. Ragam-ragam lain yang dimainkan antaranya ialah Gendang Berangkat, Puteri Mandi Mayang, Rama-Tama Terbang Tinggi dan sebagainya.
Nobat (dalam bahasa Parsi yang bererti sembilan) ialah sekumpulan alat bunyi-bunyian khusus untuk upacara dan majlis-majlis diraja. Alat-alat tersebut termasuklah gendang nobat, gendang peningkah, nafiri, serunai dan negara. Upacara nobat diketuai oleh Ketua Nobat yang bergelar Tok Setia Guna yang memegang tongkat Mahaguru.
Nobat hanya dimainkan ketika menyambut sesuatu perayaan dan hari-hari kebesaran seperti pertabalan raja, istiadat menjunjung duli, nikah kahwin, berkhatan, memberi gelar, menyambut Ramadhan dan peristiwa besar yang lain seperti menyambut dan menghantar utusan diraja dan memberi hormat dalam. perarakan jenazah.
Jom kita lihat bilik beradu sultan di tingkat dua yang merupakan tempat istirahat baginda. Bilik peraduan ini mempunyai segala peralatan yang bermutu tinggi seperti pakaian diraja, alat perhiasan dan cenderamata daripada saudagar dan pembesar yang datang menghadap. Bilik ini merupakan hak mutlah sultan yang tidak boleh dimasuki sesuka hati. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mendekatinya termasuk permaisuri kecuali dengan mendapat kebenaran baginda sultan.
Tujuan peraturan larangan memasuki bilik peraduan ini adalah untuk mendaulatkan dan mengasingkan baginda sultan daripada orang kebanyakan selain bertujuan untuk menjaga keselamatan baginda.
Jom kita ke galeri tempat pertumpahan darah di antara Hang Tuah dengan Hang Jebat.
Dang Wangi mengintai dari tingkap....nampak sangat cemas!
Teringat tahun 1993 dulu... sebab minat dengan cerita 5 bersaudara ini, Amie tulis sebuah skrip teater bertajuk Ilusi Jebat. Amie tonjolkan watak Hang Jebat bangkit menuntut bela di atas kematiannya di tangan sahabatnya Hang Tuah yang setia membabi buta kepada sultan. Terima kasih yang tidak terhingga buat Cikgu Ramdin yang bersusah payah melatih para pelakon (pelajar sekolah Amie ) untuk menjayakan teater ini dalam pertandingan peringkat daerah. Alhamdulillah...johan peringkat daerah Lahad Datu tetapi hanya tempat kedua apabila dipertandingkan di Bahagian Tawau. Drama pentas ini juga pernah dilakonkan oleh sekumpulan pelakon badan kesenian daerah Lahad Datu.
Terbayang lagi saat-saat mencemaskan ketika Hang Jebat (lakonan Nazem) dan Hang Tuah (lakonan Edi) serta Dang Wangi (lakonan Salmiah ...kalau tak silap) pada malam pertandingan itu.... sorry merapu sikit!
Dalam istana pun ada tayangan filem Hang Tuah nooo....
Ini delegasi dari Jawa. Lihat pakaian tradisi Jawa... kain batik lepas yang tampak halus buatannya!
Ini pula delegasi dari China.
Ini delegasi dari Tanah Arab.
Tidak ketinggalan delegasi dari Gujerat.
Delegasi Siam pun ada juga. Katanya dianggarkan 30 buah jong besar dari Siam datang ke pelabuhan Melaka setiap tahun membawa pelbagai dagangan seperti emas, kayu jati, gading gajah dan sebagainya.
Antara pakaian rasmi diraja, putera puteri diraja dan juga para pembesar.
Barang-barang perhiasan diri keluarga diraja.
Dan di bawah ini pelbagai pakaian tradisional seluruh negeri di Tanah Melayu.
Pakaian tradisional negeri Pulau Pinang.
Dan banyak lagi pameran yang lain.
Pinggan mangkuk.
Pelbagai jenis senjata.
Kepada peminat sejarah tahanair, berkunjunglah ke sini untuk memahami dengan lebih lanjut warisan tradisi Kesultanan Melayu Melaka.
Kami menamatkan lawatan...
Pakai semula kasut yang ditanggalkan sebelum naik ke istana.
Firdaus sayaaangg..
Jadilah warganegara yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi!
Satu hari nanti kalau Firdaus terbaca entri ini... inilah kenangan sewaktu berkunjung ke replika istana Kesultanan Melayu Melaka pada tengahari yang panas terik. Ketika itu sayang terasa sangat panas dan dahaga... belum sempat duduk sayang sudah meneguk air mineral di halaman istana! Kemudian kita singgah seketika melepas lelah di Taman Larangan.
Fairuz di Taman Larangan Kesultanan Melayu Melaka.
Entri bersambung.....
Entri bersambung.....
MELAKA : BANDARAYA BERSEJARAH YANG INDAH
MELAKA : KAPAL FLOR de LA MAR, MUZIUM SAMUERA II & MUZIUM TLDM
MELAKA : KAPAL FLOR de LA MAR, MUZIUM SAMUERA II & MUZIUM TLDM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan