Pages

Ahad, 29 November 2015

Soto Banjar

Dunia masakan memang sungguh meriah!
Luas tak bertepi, bak lautan tak bersempadan!

Kali ini Amie kongsi resepi Soto Banjar. Amie pernah beberapa kali menghidangkan Soto Banjar sempena rumah terbuka raya, tapi tak sempat nak tangkap gambar. Maklumlah kita sibuk melayan tetamu, sibuk lagi ulang-alik ke dapur! Yang tak dapat Amie lupakan, setiap kali menyediakan soto ini untuk tetamu, memang tak menang tangan menggentel berkilo-kilo kentang untuk dibuat pegedil!
Sebenarnya terdapat pelbagai jenis soto yang enak, yang mungkin belum pernah kita cicipi. Mungkin kita sudah biasa dengan soto ayam atau Soto Jawa, tapi kita belum biasa makan Soto Banjar. Begitu juga dengan Soto Medan dari kota Medan, Soto Padang dari Sumatera Barat, Soto Betawi, Soto Lamongan, Soto Kudus, Soto Madura, Soto Makasar dan macam-macam lagilah. Semuanya memiliki keunikan dan rasanya yang tersendiri. 
Untuk mendapatkan resepi Soto Banjar yang asli, bolehlah klik DI SINI. Memandangkan banyak pilihan resepinya, anda boleh pilih sendiri. Ada 7 jenis resepi Soto Banjar di situ. Terima kasih kepada semua penyumbang resepi kerana memberi idea untuk Amie menghasilkannya. Di bawah ini Amie kongsikan secara ringkas gambar bahan-bahan yang perlu menu Soto Banjar.

Umumnya, Soto Banjar berasal dari Kalimantan Barat dan terkenal dalam kalangan suku Banjar di situ. Pada asasnya Soto Banjar mengandungi daging ayam yang dicarik, dengan pegedil atau kentang rebus, telur rebus dan juga ketupat. Bagaimana pun kebanyakan resepi yang Amie temui, mengandungi suhun celur di dalamnya. Apa pun, yang penting bahan asasnya tetap ada.


Gambar di atas merupakan daging ayam yang dicarik. Daging ayam ini direbus bersama rempah-rempahan terlebih dahulu. Tidak perlu digoreng sebagaimana kebiasaan yang kita buat tu... biasanya kita rebus ayam dan kemudian digoreng (bagi sesetengah orang) ketika menghasilkan soto ayam atau soto Jawa. Di sebelah ayam carik itu ada telur rebus. Selain telur rebus, menurut rakan FB tambahkan hirisan telur dadar yang digoreng nipis!

Disebut juga 'ketupat' sebagai salah satu pelengkap bahan Soto Banjar. Kita gunakan nasi himpit saja. Nak buat ketupat memang boleh, tapi nak mencari daun kelapa tu... itu yang parahnya!

Satu lagi bahan yang tak boleh ditinggalkan sudah tentunya pegedil kentang. Selain pegedil kentang, boleh juga gunakan hirisan kentang rebus. Mmmmm... kami anak beranak tak boleh jumpa pegedil kentang! Tak cukup 5 biji! Untuk Soto Banjar ini, Amie gunakan 1 kg kentang untuk menghasilkan pegedil.

Jangan lupa sup atau kuah soto! Rebus dulu ayam dalam periuk. Segala rempah-rempahan termasuk bawang merah, bawang putih, lada putih, halia, buah pelaga, bunga cengkih  dan sebagainya ditumis terlebih dahulu. Boleh tumis gunakan minyak masak biasa atau minyak sapi sehingga terbit bau dan kemudian masukkan ke dalam periuk yang berisi ayam tadi. Sewaktu menghidangkan soto, sup ditapis terlebih dahulu untuk mengasingkan segala rempah-rempahannya. Oh! Ya.... resepi negara jiran kita biasanya menggunakan buah keras untuk memekatkan kuah sup! Jika suka, apa salahnya kita cuba....


Wah! Terpulanglah untuk menambah bahan yang mampu memenuhi citarasa anda! Sediakan bawang goreng, hirisan daun sup, limau kasturi atau limau nipis dan juga kicap lada! Waduuussss..... selamat menikmati Soto Banjar!

Untuk menambah kemeriahan, pastikan kehadiran sate di antara hidangan Soto Banjar anda!


1 ulasan:

  1. Wahhhh.. baru tahu ada macam-macam soto..

    Sy banjar kak, atuk berasal dari Kalimantan, tapi tak tahulah, barat ke timur, hihi

    BalasPadam