Pages

Ahad, 19 April 2015

Asam Pedas Ikan Patin

Selamat berhujung minggu buat semua yang sudi bertandang ke dapur Amie. Terima kasih buat pengikut baru, dan juga kepada sesiapa yang sudi mencuba resepi dari bawah tudung saji kita ni.... Buat teman-teman blogger yang sudi komen, terima kasih banyak kerana turut memeriahkan suasana di sini. In shaa Allah ada kesempatan dan peluang Amie akan bertandang ke rumah teman-teman. Maklum sahajalah, adakalanya disebabkan kesuntukan masa, ditambah pula dengan talian yang lambatnya mengalahkan perjalanan seekor siput, Amie hanya paparkan entri, dan kemudian terus tutup, tak sempat nak berjalan-jalan ke rumah kawan-kawan seperti dulu.
Seperti biasa, hari ini masak biasa-biasa saja memandangkan banyak benda lain yang nak dibuat, jadi tak boleh berlama-lama di dapur. He he heee.... nak main-main dengan Firdaus bah! Bujang kecilku itu pagi tadi bangun awal. Dia pulak bangunkan kita.... Mummy... Mummy... manun... katanya!

Sebelum Encik Suami keluar hantar Fuad ke kelas tuisyen, Encik Suami sempat ke dapur dan bila dilihatnya ada 2 ekor ikan patin di atas sinki dapur, terus dia berkata: Sedap ni kalau masak asam pedas. Alhamdulillah.... walaupun Amie tak sempat menyahut sebab Encik Suami terus tinggalkan dapur, tapi sekurang-kurangnya selesai satu masalah untuk fikirkan masakan apa yang nak diolah dengan ikan ini. Lagi pun, Fuad penggemar tegar ikan patin. Sesuai sangatlah tu, sebab balik dari kelas tiusyen pukul 12 nanti,  Fuad boleh terus makan tengahari.
Daun kesum tak ada... bunga kantan pun yillleeekkk.... jadi macamana nak jadikan asam pedas? Wokeeeyyy.... asam pedas tidak semestinya ada daun kesum dan bunga kantan, sebab bahan-bahan itu sebenarnya sebagai tambahan untuk timbulkan aroma dan penyedap citarasa. Lain negeri, lain daerah berbeza asam pedasnya. Bonda Encik Suami ada resepi asam pedasnya yang tersendiri bila masak ikan patin, tapi Amie tak boleh pula sediakan mengikut resepinya sebab tak ada cili padi. Unik dan menarik bukan... asam pedas masyarakat Melayu Cocos gunakan cili padi!
Jom kita cuba resepi asam pedas yang mudah, yang hanya gunakan bahan asas yang ada di dapur. Yang penting ada cili kering, bawang, belacan, halia, kunyit, serai.... Amie tambahkan daun limau purut (suruh Fairuz petik daun limau purut di tepi dapur) untuk aroma lebih segar, selain tambahkan satu sudu teh lada putih tumbuk. Siaplah sebelanga Asam Pedas Ikan Patin!

Masaklah asam pedas dengan penuh kasih sayang... dari hati yang tenang dan tenteram, in shaa Allah hasilnya sangat berbaloi dengan kesabaran anda. Bukan apa, sebenarnya untuk menghasilkan kuahnya yang lazat kenalah bersabar menanti bahan perencah atau bahan tumisan masak dengan sempurna dan sekata sehingga terbit minyak. Lepas tu, setelah ditambah air, biarlah mendidih lama sedikit agar kuahnya mesra dan sebati dengan bahan tumisan. Nak asam pedas berkuah pekat atau cair, itu terpulanglah. Amie suka dua-dua... pekat dan cair! Lada putih atau lada hitam itu, terpulanglah... tak gunakan pun tak apa. Amie masukkan juga sebab Amie suka. Gunakanlah kunyit hidup, sebab bila kunyit hidup bertemu halia dan serai dalam tumisan, wadeeeehhhh.... naik semerbaknya! Daun limau purut pula (kalau nak guna daun itu laaa), masukkan di saat akhir, jangan terlalu lama dimasak sebab nanti baunya tak berapa mengancam. Kita nak aromanya yang segar mewangi tu....

Bahan-bahan:
2 ekor ikan patin seberat 1.2 kg - bersihkan dan potong 5 bahagian setiap seekor
1 liter air
1 sudu teh pati asam jawa
1 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 4
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
1 sudu teh lada putih - ditumbuk
garam / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak untuk menumis

Bahan kisar:
25 biji cili kering
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
2 cm belacan
2 cm kunyit hidup
2 cm halia
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan serai, pati asam jawa dan asam gelugur. Gaul sebati.
2. Masukkan air dan biar mendidih dengan api sederhana panas selama 10 minit atau lebih.
3. Kemudian masukkan ikan patin. Tambahkan lada putih.
4. Apabila ikan patin masak, masukkan potongan tomato dan biarkan seketika
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Akhir sekali masukkan daun limau purut dan kacau sekali dua, dan padamkan api dapur setelah daun limau purut berubah warna.

Seperti telah dijanjikan, sebaik sahaja siap masak untuk hidangan tengahari... Fuad pun sampai bersama ayahandanya. Apalagi... kami anak-beranak pun makanlah hidangan yang disajikan.... nasi panas berlaukkan Asam Pedas Ikan Patin. Alhamdulillah... rezeki Allah.

4 ulasan:

  1. Aslmkum Amie

    betul tu Amie...asam pedas ada resepi berbeza...yg penting kena dg selera kita.mamasya kalau msk asam pedas confirm tak boleh pedas sbb semua tak mkn pedas....
    re; tkasih Amie wish bday anak2 mamasya.

    BalasPadam
  2. Saya penggemar ikan patin. Terliur.
    Kalau asam pedas di tempat saya kuahnya cair dan tak pedas langsung.

    BalasPadam
  3. assalamualaikum kak amie...
    woww... ni kalau kena dengan nasi panas2 mmg terangkat abis.. tak sedor mak mertua lalu kat belakang.. heheheh.. nani suka asam pedas.. tapi ikan patin tu kureng sikit.. suka mr mama buat asam pedas.. walau setiap kali dia buat dia refer buku resepi.. asam pedas dia mmg terbaik.. :)

    BalasPadam
  4. asam pedas kini dah melekat di hati saya. 1st time itu ari mencuba pulak ikan patin masak gulai tempoyak. perghhhhh..... memang merbeles

    BalasPadam