Pages

Khamis, 8 Januari 2015

Sotong Tumis Pedas Sama Kacang Panjang

Teringat pesan Bonda masa kecik-kecik dulu... kalau masak sayur, masak tumis ke, masak bening ke, elok saja sayur tu berubah warna, terus matikan api dapur atau angkat dari api dapur. Jangan terlalu masak, nanti hilang zat.... Pandaikan Bonda cerita tentang zat, vitamin, khasiat sayur-sayuran. Tapi sekarang Bonda sudah tidak mahu masakan yang begitu... gigi Bonda sudah tidak kuat memamah dan mengunyah sayur yang rangup! Kalau Bonda nak makan petai pun, kena tumbuk petai tu dulu...
Apa pun, sampai sekarang Amie tetap ingat pesan Bonda... kalau sayur sudah berubah warna, terus matikan api! 
Cuba lihat warna kacang hijau dalam gambar di bawah ini. Cantik tak?

Hari ini nak Amie nak kongsi resepi Sotong Tumis Pedas Sama Kacang Panjang. Amie gunakan cili kering, tambah dengan udang kering. Kalau tak mahu gunakan udang kering, gantikan dengan belacan... lagu semerbak aromanya! Bila dah gunakan bahan yang kering-kering ni, sudah tentu inginkan hasil yang juga nampak kering... ahaks! Cili kering yang Amie gunakan sebenarnya tak berapa pedas, tapi untuk tambah pedas, Amie bubuh beberapa biji cili padi kisar bersama cili kering tadi.

Bahan-bahan:
1 ekor sotong seberat 400 gram - bersihkan dan potong ikut suka - celur seketika dan toskan
7 batang kacang panjang - potong sepanjang 3 cm
4 sudu minyak
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh serbuk pati ayam

Bahan kisar:
10 biji cili kering & 5 biji cili padi
2 sudu makan udang kering - rendam hingga lembut
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan sotong bersama kacang panjang. Tutup kuali selama 2 minit.
3. Buka kuali, tambahkan sos tiram dan serbuk pati ayam.
4. Gaul sekali dua, dan padamkan api dapur.

Biasanya Amie akan tutup kuali ketika masak sayuran hijau, dan dalam masa 2 atau 3 minit buka semula. Anda akan dapati sayuran hijau sudah bertukar kepada warna yang lebih cantik! Pastikan semasa kuali ditutup, gunakan api kuat.

4 ulasan:

  1. Masya'Allah..
    Kecur air liur.
    W'pun tak pernah cuba campor ngan kacang.. nmpk sangat menarik.

    BalasPadam
  2. nampak begitu sangat sedap !

    BalasPadam
  3. Shamsiah,
    boleh campur dengan apa-apa sayur yang kita suka.

    Fadhilah,
    jemput...

    Zanita,
    tq... memang sedap ni.

    BalasPadam