Pages

Isnin, 8 Disember 2014

Ikan Kembung Rebus : Nostalgia Silam Terungkap Kembali!

Tiba-tiba terpandang ikan kembung rebus tersusun kemas di dalam bakul buluh, tertutup sebahagiannya di bawah helaian kertas suratkhabar! Inilah salah satu.... lauk istimewa kami zaman kanak-kanak dulu. Dengan harga seringgit dua puluh lima sen, kami boleh dapat sekati ikan kembung rebus. Amie masih ingat harganya sebab Bonda selalu suruh Amie beli di kedai berhadapan dengan sekolah rendah. Kadang-kadang kami beli dari penjual ikan yang datang dari rumah ke rumah dengan menaiki motosikal... kalau tak silap kami sekampung memanggil penjual ikan ini dengan gelaran Lengkon! Entah apa nama sebenarnya, lelaki berketurunan Cina bergelar Lengkon ini rajin menjaja ikan, kerang dan hasil laut  keliling kampung kami. 
Bila Amie menginjak remaja dan tinggal di asrama, jarang sekali Amie dapat menikmati ikan kembung rebus ini. Apatah lagi setelah menyambung pelajaran di universiti dan seterusnya sibuk dengan urusan praktikal. Dan... ikan kembung rebus yang lemak-lemak masin itu pun terus hilang dari kotak ingatan dan menu harian.... sehinggalah minggu lepas, ketika meninjau-ninjau di Pasar Sungai Buluh!

Tak sangka... setelah berpuluh tahun.... Ikan Kembung Rebus rupanya masih ada! Entah kenapa dinamakan Ikan Kembung Rebus padahal ikan ini sebenarnya dikukus!

Harap-harap rasanya tidak berbeza berbanding yang dulu walaupun harganya sudah jauh berbeza!

Sekarang Ikan Kembung Rebus berharga RM16.00 untuk 1 kilogram! Amie beli 6 ekor seberat 500 gram dengan harga RM8.00.

Bayangkan di atas hamparan tikar mengkuang.... ada Ikan Kembung Rebus yang siap digoreng, ulam-ulaman seperti hirisan timun, pucuk gajus, daun selom dan juga sambal belacan atau air asam!

Selepas ini teringin nak buat ikan kembung rebus / kukus sendiri sebab sudah tentunya ia lebih bersih dan lazat! Jadi, kena rajin-rajinlah cari ikan kembung segar dari laut!

4 ulasan:

  1. Kat tempat saya depa panggil Ikan Lengat hehe.

    BalasPadam
  2. lauk kegemaran mama yana ni..klu kat tmpt yana rebus ltk asam kpg dgn gula merah atau nise..pastu goreng.. sedappnya mkn dgn ulam2 cicah budu ^_^

    BalasPadam
  3. Juga lauk kegemaran keluarga saya sejak dulu. Paling sedap kalau mak buat goreng berlada. Skrg harganya melambung tinggi. Nostalgia saya di sini https://www.blogger.com/blogger.g?blogID=2872585137185859420#editor/target=post;postID=7108358897700895247;onPublishedMenu=posts;onClosedMenu=posts;postNum=26;src=postname

    BalasPadam
  4. sorry..tersalah copy.

    http://pdapor.blogspot.com/2014/04/lauk-nostalgia-sawi-putih-masak-lemak.html

    BalasPadam