Selamat berhujung minggu buat semua. Terima kasih kerana masih sudi bertandang ke dapur maya Amie. Rasa seronok di pagi Ahad ini sebab dapat berlama-lama sedikit di dapur. Encik Suami pulak sibuk dengan hobinya mencabut rumput dan mengubahsuai kedudukan pokok bunganya. Fuad sudah merdeka sebab telah habis peperiksaan akhir tahunnya. Fairuz pulak ikut sepupunya ke Tawau dan akan pulang pada petang ini. Firdaus? Si kecil ini asyik keluar masuk ke dapur membantu mana yang patut... membongkar isi kabinet, keluarkan segala tupperware, mengusung cerek kosong dan bila kehausan pandai pulak mengambil botol susunya minta buatkan untuknya! Farid.... abang Farid yang kami rindu, moga gembira di kampus. Kalau Farid ada bersama kami, memang dia rajin tolong kemas dapur dan menyapu rumah.
Wokeylaa... hari ini nak cerita tentang masakan kampung. Dah lama benar tak masak Sayur Lodeh Cocos, masakan tradisi sebelah keluarga Encik Suami. Selalunya MIL akan masak sayur ini ketika kami beramai-ramai datang ke kampung. Dari situlah Amie dapat mempelajari masakan tersebut. Walaupun dinamakan Sayur Lodeh sebenarnya masakan ini berbeza dengan masak lodeh atau sayur masak lodeh yang kita biasa masak. Kita lihat seterusnya di bawah ini. Panjang kisahnya hari ini tau....
Inilah hidangan makan tengahari kami di hari minggu. Lauk pauk kampung yang sudah semestinya sedap! Sedap pada kamilah... ahaks! Ada Ayam Goreng Kampung.... ni yang 'tetamu' dapur maya Amie selalu salah faham... setiap kali Amie paparkan entri Ayam Goreng Kampung, dikomennya ayam kampung goreng! Ayam daging tu... ayam dari pasar, ayam ternak, bukannya a kampung! Cuma resepinya nama Ayam Goreng Kampung.... goreng @ masak cara kampung ya... Lepas tu, yang depan sekali tu... Sayur Lodeh Cocos... sebenarnya nama resepi asalnya Sayur Lodeh, tapi saja aje Amie bubuh Cocos di hujungnya sebab masakan ini berbeza dengan sayur lodeh yang selalu kita buat tu. Nanti kita cerita panjang di bawah ye. Dan tak ketinggalan, Amie buat Sambal Belacan. Alahai... kalau MIL masih ada mesti tak mahu jamah sambal ni, sebab Amie buat pakai blender! Malehnya.....
Ini bahan-bahan sayuran yang akan digunakan untuk resepi Sayur Lodeh. Biasanya MIL gunakan pucuk ubi, jantung pisang, bunga betik dan juga pucuk betik. Tapi kali ini Amie tak ada pucuk betik. Mula-mula dulu, sewaktu tengok MIL masak campur sayur-sayur begini, Amie sudah jangkakan betapa pahitnya.... pahitnya pucuk betik! Rupanya... salah dugaanku! Salah sama sekali!
Wokey... kesemua bahan di atas tadi hendaklah dicelur terlebih dahulu. Bunga betik tu leraikan dari tangkainya, manakala daun ubi tadi ambillah pucuk daunnya yang lembut saja. Jantung pisang pula, buangkan kelopak-kelopaknya yang berwarna merah.
Sementara menunggu bahan tadi dicelur, Amie sediakan bahan untuk Ayam Goreng Kampung pula.
Amie gunakan seekor ayam saiz sederhana. Potong-potong, cuci dan toskan airnya. Kemudian Amie perapkan daging ayam tadi dengan bahan tumbuk termasuk bawang putih, bawang merah, ketumbar, jintan putih, jintan manis, halia, lengkuas dan juga serbuk kunyit. Rempah-rempah seperti ketumbar dan jintan tadi Amie tumbuk kasar-kasar aje, sebab Amie suka cara perapan begini.... yang Amie perhatikan di kampung dari kecil dulu! Selain menambah garam / perasa pilihan, Amie masukkan serai yang sudah diketuk dan kemudian Amie perap selama 30 minit.
Ha haaa... rupanya kehabisan stok serai... jadi minta Encik Suami ambilkan sebatang serai dari rumpunnya di belakang dapur! Terdengar Encik Suami membebel : Baru tanam serai... sudah diminta cabut! Macamanalah serai nak tumbuh!
He hehehe.... pucuk ubi yang dicelur sudah lembut. Amie bilas dan perah airnya, dan kemudian hiris-hiris macam di bawah ini.
Bunga betik yang dicelur pun sudah lembut. Di bawah inilah hasilnya....
Sepatutnya kesemua bunga betik yang segar berwarna kuning kehijauan, tapi yang di atas tu ada warna lain sikit... sebab bunganya dah kembang! Maklumlah beli benda ni hari Jumaat, tapi masaknya hari Ahad!
Ini pulak jantung pisang. Dah lembut dicelur, kita hiris-hirislah pulak macam ni. Pada masa yang sama, ayam yang diperap pun sudah sampai masanya untuk digoreng. Jadi sambil menguruskan bahan Sayur Lodeh, sekali harung goreng ayam.
Harumnya aroma rempah! Teringat semasa di kampung, terutama musim raya atau pun kenduri kendara!
Tiba-tiba teringat nak buat Sambal Belacan! Terus je capai kuali kecil, goreng bawang putih, bawang merah dan juga cili padi. Oleh kerana belacan yang digunakan warna merah, hasilnya pun nampak merah. Tapi cair sikit sebab Amie bubuh lebih jus limau kasturi! Mmm... kecurnya!
Berbalik kepada cerita Sayur Lodeh tadi, sediakan santan untuk kuahnya. Amie sediakan semangkuk santan sederhana pekat, dari sebiji kelapa. Lebih kurang dalam 700ml. Jangan lupa bahan perencah Sayur Lodeh!
Bahan perencah Sayur Lodeh hendaklah dikisar. Antaranya termasuklah lebih kurang 20 biji cili kering, 3 ulas bawang putih dan 5 biji bawang merah. Satu lagi bahan wajib untuk perencah ini ialah ketumbar biji! Amie selalu lihat MIL masukkan banyak ketumbar biji... pakai tangannya saja, tak payah sukat! Jadi Amie pun ikut sajalah... anggaran 1 genggam 1/2! Tapi genggaman tangan bukannya sama... bolehlah anggarkan dalam 4 sudu makan!
Ayam Goreng Kampung dah siap digoreng!
Kita teruskan masak Sayur Lodeh pulak. Mula-mula panaskan sedikit minyak dan tumis bahan perencah sehingga pecah minyak.
Kemudian masukkan hirisan pucuk ubi.
Diikuti dengan bunga betik.
Dan seterusnya masukkan jantung pisang.
Dah sudah semua masuk, gaul sebati.
Tuangkan santan.
Sukatan santan hendaklah melebihi paras sayur. Sebenarnya pada ketika ini MIL masukkan ikan goreng, tapi Amie tak masukkan sebab tak ada ikan goreng!
Sayur Lodeh sudah sedia dihidangkan.
Entah berapa gelas air Amie minum. Berpeluh-peluh bersilat di dapur!
Nasi dan lauk pauk kampung yang ringkas sudah tersedia. Jom... jemput makan!
Sekian....
Berakhirlah sudah cerita tentang masakan kampung yang pada mulanya cuma nak cerita tentang Sayur Lodeh, resepi tradisi masyarakat Melalyu Cocos, tapi meleret cerita tentang ayam goreng dan sambal belacan pulak! Ada pun Ayam Goreng Kampung nan seekor itu habislah sudah kami bertiga makan... dan sebenarnya Fuad yang meratah habis! Padahal beberapa keping ayam goreng tadi ditinggalkan untuk Fairuz yang baru balik dari Tawau, tapi akhirnya Fuad juga yang menghabiskan... tak tinggal satu pun! Fuad..... oh Fuad!
As Salam Amie, nampak semua menyelerakan. Bila nampak bunga betik tu teringat hari tu mak kawan jamu kerabu bunga betik. Sedap la pulak...
BalasPadammesti rasa lemak pahit2 kan kak Amie?..biasa mkn lemak pucuk ubi campur jantung pisang jer...
BalasPadamAssalamualaikum, sedap sungguhlah tengok hidangan Amie ni. kalau dijamu saya macam ini, tentu makan nasi bertambah-tambah!
BalasPadamsedapnye sayur lodeh tu...teringin sangat..huhu...
BalasPadam