Pages

Selasa, 1 Julai 2014

Resepi asam pedas paling ringkas tapi tetap sedap ..... Asam Pedas Ikan Putih!

Petang tadi, terlelap seketika.... bila tersedar, rasa malas pula nak bangun. Amie suruh Farid keluarkan ikan bolu @ susu dan rendam dalam air. Cadangnya nak panggang untuk lauk berbuka puasa. Farid tanya, ikan yang macamana. Tanpa buka mata, Amie kata... ikan yang panjang. Tak lama kemudian Amie pun bergegas ke dapur untuk masak nasi. Lepas tu nak panggang ikan susu. Alahai.... bila melihat ikan yang Farid rendam, bukan ikan bolu @ susu tapi ikan putih! Farid... Farid... dari kecik lagi dah selalu dihidangkan ikan bolu, tapi masih tak kenal rupa ikan tu! Memandangkan ikan putih sudah lembut dan hampir pukul 5 petang, Amie pun masak juga ikan putih tadi.


Amie masak ikan asam pedas guna resepi yang paling ringkas! Tanpa daun kesum atau bunga kantan! Sebab semua benda tu tak ada dalam simpanan di dapur, begitu juga dengan kacang bendi atau tomato! Jadi, memang hasil masakan asam pedas Amie betul-betul ringkas!  Amie cuma tambahkan beberapa helai daun limau purut yang Amie petik dari pokoknya di sebelah pintu dapur untuk menimbulkan aroma. Dan satu lagi, kali ini Amie masak cair, dan kurangkan rasa masam!


Alhamdulillah... ringkas tapi sedap! Jom kita semak resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg ikan putih - 5 keping
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
1 keping asam gelugur
1 labu bawang besar - mayang kasar
800 ml air
minyak
garam / gula /  perasa pilihan

Bahan kisar:
10 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
sedikit belacan
1 cm halia
2 cm kunyit hidup

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan serai, limau purut dan asam keping. Gaul hingga terbit bau.
3. Masukkan air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan. Biarkan sehingga masak.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan dan akhir sekali masukkan bawang besar.
6. Padamkan api dapur.



Tak dapat makan ikan susu panggang, dapat makan asam pedas cair ikan putih pun okey juga... Selamat berbuka puasa.

7 ulasan:

  1. sedapp..suka sgt asam pedas.. yana kdg2 letak daun limau purut gak klu xde daun kesum..lg wangi bau asam pedasnya ^__^

    BalasPadam
  2. sedapnya asam pedas..nampak pun dah menarik

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum amie sebut jer asam pedas.pasti rasa kecur dalam mulut...apa lagi tguk gamba yg amie duk tayang..laju jer air liur keluar...

    BalasPadam
  4. Salam ramadhan amie...terliur kak zai dibuatnya, dah lama tak masak asam pedas.

    BalasPadam
  5. menu pebret kitaorang ni kak....saya pun biasanya guna daun limau purut sbb jarang beli daun kesum time nk masak asam pedas..

    BalasPadam
  6. kalau x de daun limau purut ok x ?

    BalasPadam
  7. Mohd Zaijudin,
    ok jew... tanpa daun limau purut.

    BalasPadam