Pages

Ahad, 4 Mei 2014

Bubur Abang

Dan pada ketika ini langit pun kelihatan mendung.....
Panas terik membuatkan siang & malam seperti berada dalam sauna. Dari segi positifnya, elokah difikirkan tentang keadaan di dalam akhirat nanti agar timbul rasa keinsafan untuk menambah amal baik dan menjauhi amal mungkar. Keringat yang meleleh hingga menitik-nitik membasahi tubuh sudah tentunya membantu proses pembuangan toksin dalam badan melalui perpeluhan. Alhamdulillah, setiap kejadian Allah sentiasa ada hikmah di sebaliknya untuk difikir bersama.


Lama tidak kunikmati Bubur Abang... 'abang' yang membawa maksud 'merah'. Dari kecil Amie sudah dibudayakan dalam keluarga dan masyarakat kampung kami dengan hidangan Bubur Abang  pada waktu-waktu tertentu. Bubur Abang biasanya disajikan sebagai salah satu tanda kesyukuran dan biasanya muncul dalam kenduri kesyukuran yang disebut sebagai 'selametan'. Ketika hamil kesemua anak-anak dan masuk bulan keempat, Bonda selalu pesan supaya masak Bubur Abang sebagai tanda kesyukuran sekiranya tidak membuat sebarang kenduri. Rasa kesyukuran ini memadailah dengan berkongsi semangkuk Bubur Abang yang dibahagi-bahagi sesama jiran tetangga.
Memang Bubur Abang membawa seribu satu nostalgia masa lampau yang tak mungkin dapat Amie lupakan. Orang kampung, jiran tetangga akan menghulur semangkuk Bubur Abang yang masih panas, dan lemak-lemak manis sekiranya memperolehi apa-apa yang dihajati termasuk anak-anak lulus peperiksaan, anak kecil pandai berjalan, menerima kehadiran orang baru dalam keluarga terutama sekali sewaktu diadakan muputi (pusat bayi tanggal), melenggang perut sewaktu kehamilan berusia 7 bulan, majlis khatam Quran, bersunat dan sebagainya!


Resepi : Bubur Abang

Bahan-bahan:
1 cawan beras - bersihkan dan tos
1 liter air
400 ml santan pekat
1 cawan gula merah - jika suka lebih manis boleh ditambah
1 sudu teh garam
secubit garam
1 helai daun pandan - siat dan simpul

Cara:
1. Masukkan beras bersama air ke dalam periuk.
2. Masukkan 1 sudu teh garam dan daun pandan. Biarkan sehingga beras kembang.
3. Kemudian perlahankan api dapur dan tutup periuk. Biarkan nasi menjadi bubur dan memekat.
4. Ambil secawan bubur tadi dan tambah dengan secubit garam untuk sedikit rasa masin. Ketepikan.
5. Masukkan gula merah ke dalam periuk bubur tadi berserta santan.
6. Kacau sekali sekala dan padamkan api dapur setelah bubur masak dengan sempurna.
7. Masukkan bubur merah ke dalam mangkuk dan ketika menghidangkannya tambahkan sesudu bubur putih di atasnya.


Mendung di petang hari.... sambil menikmati Bubur Abang di tepi jendela dapur... daku melayan rindu dan ingin kusampaikan hasrat hati ini di angin lalu! Oh! Angin petang... sampaikanlah salam rinduku untuk orang kampungku.... nun di Bukit Hijau!


5 ulasan: