Pages

Khamis, 19 Disember 2013

Gulai Jantung Lembu Dengan Nangka Muda

Petang ini Amie ingin berkongsi masakan Gulai Jantung Lembu Dengan Nangka Muda. Resepi asal merupakan resepi orang kampung kami, atau dengan kata lain resepi yang biasa Bonda masak untuk kami walaupun sebenarnya Bonda lebih banyak kali masak kari dan sesekali saja masak begini! Namun begitu, bila sudah sampai ke dapur Amie memang berlakulah beberapa penderhakaan! Tak pernah pun Bonda atau orang kampung kami gunakan jantung lembu dengan nangka muda untuk digulai! Memang sah! Ini satu penderhakaan yang tidak boleh diampunkan.... oh! Sebab.... sebab biasanya nangka muda digulai bersama tulang lembu atau daging tetelan, atau sekurang-kurangnya dengan kaki ayam atau leher ayam! Apasal pulak sesat tersasar gunakan jantung lembu!
Kepada anda yang ingin mencuba resepi ini sila gunakan tulang atau daging tetel atau kaki ayam...... atau ikan kering atau tulang ikan kering!


Ini sebab nak habiskan setangkai jantung.... tangkaikah penjodoh bilangan untuk jantung? 


Yang tak pernah tengok jantung lembu, Amie kongsikan gambarnya seperti di atas.  Konon nak habiskan, tapi Amie masak separuh saja, takut tak habis. Bukan apa... kami berdua saja yang makan, Amie dengan Encik Suami. Anak-anak memang tak mahu jamah kecuali kuahnya.


Antara bahan yang diperlukan untuk masakan ini termasuklah kunyit hidup. Anak-anak sekarang (membebel lagi), tak tahu nak bezakan mana satu kunyit dengan halia atau lengkuas! Kadang-kadang bila suruh Fuad beli sayur bayam, keliru pulak dia macamana rupanya bayam! Itu belum lagi disuruh beli ikan! Nanti lain yang suruh lain yang dibeli & dibawa pulang!


Warna kuah akan menjadi kuning seperti di atas jika kita gunakan kunyit hidup... warnanya pun seakan-akan hidup jugak kan?



Saja je Amie tepekkan gambar-gambar di sini untuk rujukan anak cucu akan datang, maklum sajalah dah namanya dunia di hujung jari, jadi bolehlah buka entri ini untuk berkenal-kenalan dengan serai! Memanglah tahu apa itu serai, sebatang dua tapi bila disuruh cabut sebatang dua dalam rumpunnya boleh ke anak-anak kita buat yea?


Wokeh... kok banyak betul bebelannya petang ini, nanti tak siap pulak masakan kita. Jom lihat seterusnya. Amie kongsikan resepinya di bawah ini.

Resepi : Gulai Jantung Lembu Dengan Nangka Muda
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
400 gram jantung lembu - hiris 2cm panjang dan 1cm tebal
400 gram nangka muda - celur hingga masak dan toskan airnya - potong ikut suka
600ml santan pekat
2 batang serai - dititik
sedikit minyak
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
15 biji cili padi - kalau tak suka pedas tak payah bubuh
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
2 inci kunyit hidup
1 inci halia



Mula-mula panaskan minyak (Amie gunakan Minyak Masak Carotino, jadi nampak merah orenlah ye), kemudian tumiskan bahan-bahan tumbuk. Bahan-bahan ini Amie kisar, tak larat nak tumbuk... alamat tak lumatlah sampai ke petang! Lebur je bawang putih, bawang merah, cili padi, ketumbar biji  dan jintan putih dalam pengisar.



Bila tumisan mulai kelihatan garing, masukkan serai dan kacau seketika sehingga keluar aroma serai yang wangi itu.



Masukkan hirisan jantung dan kacar rata. Biarkan seketika sehingga jantung layu atau berubah warna.



Tambahkan bancuhan air asam jawa dan biarkan seketika lagi.



Masukkan pua hirisan nangka muda yang telah dicelur terlebih dahulu. 


Masukkan santan. Kalau suka kuah pekat, jangan bubuh banyak-banyak. Kalau nak kuah lebih, bubuhlah santan lebih-lebih sikit.



Amie bubuh santan melebihi paras masakan.... Lepas tu perlahankan api sampailah kuah pekat & jantung lembu lembut. Jangan lupa perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.



Dulu.... kami ada sepohon nangka di hadapan rumah. Buahnya lebat tapi tak pernah menjadi nangka tua sampai masak! Jiran tetangga yang ingin masak nangka akan meminta sebiji dua daripada Bonda. Kalau dah namanya orang kampung, berjiran tetangga... masak kari atau gulai nangka muda sebiji dengan seekor ayam kampung dibahagi-bahagikan dan dipanjang-panjangkan pula semangkuk ke rumah jiran-jiran! 

Teringat sabda junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w:

"Wahai Abu Zar ,apabila kamu memasak makanan, maka lebihkan kuah dan berikan jiran-jiran kamu "

Riwayat Imam Muslim


7 ulasan:

  1. Salam Amie..
    MaDiHaA belum pernah merasa jantung lembu. tapi kalau jantung ayam.. bila digoreng memang itulah yang akan masuk mulut dulu.. hehe.. mcmana tekstur jantung lembu ni ya amie? mcm hati atau mcm peparu? nampak sedap sangat gulai amie masak ni... tambah ada nangka muda tu.. mmg boleh musnah nasi sebelanga.. hehe..

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum kak amie...slalu klu Uj gulai nangka suka campurkan dgn ayam @ daging yg ada tulang sikit.Tak pnh lgi campur dgn jantung lembu ni.Nmpk sedap nnti bole Uj cuba...

    BalasPadam
  3. oh first time tgk jantung lembu ni, hehe jakun kejap tapi klu gulai nangka tu mmg peberet lah pun

    BalasPadam
  4. Nampak sedap sangat. Dah kecur..kena masak pedas-pedas baru ngam!

    BalasPadam
  5. Amie..nampak sedap sangat tu, masakan Amie selalu istimewa.

    BalasPadam
  6. salam kak amie errrk wani macam tak leh makan jer huuu...tapi tengok ke jantung tu macam jantung ayam

    BalasPadam
  7. Assalamualaikum, hee...heee...lucu baca bebelan K.Amie, setuju benar saya, anak-anak sekarang mmg x kenal & keliru dgn lengkuas, kunyit hidup & halia. Sama dgn anak saya juga.

    BalasPadam