Pages

Jumaat, 27 September 2013

Lauk Pauk Kampung : Ikan Kaci Goreng, Sayur Lemak Labu Manis & Sambal Belacan

Bertemu lagi di pagi Jumaat nan bening... Jumaat bening pulak dah! Apa maksud bening tu...  hening, jernih! He he hehe... tiba-tiba teringat pulak sayur bening... sayur masak bening, bertemankan ikan masin goreng & sambal belacan! Perrrrggghhhh.... lauk pauk kampung begini buatkan daku ingin terus melompat kayuh perahu layar menyeberang Laut China Selatan terus mendarat di Pelabuhan Kelang (entah berapa bulan baru nak sampai... kah...kahhh kena ambil aura Datuk Azhar Mansur nih) ..... Mak ooo maaaakkk! Orang dah sampai nih! Orang balik dari sekolah nih..... lapar, nak makan! Itu cerita dulu... cerita yang sudah lama menjadi kenangan di kampung laman yang nun jauh kutinggalkan namun tak mungkin dapat kulupakan! 


Ini hidangan makan tengahari kami merangkap makan malam, maklum sajalah bila hari bertugas, sekali sajalah berpeluang masak di dapur! 


Ini Ikan Kaci Goreng.... sebab rasanya sedap kalau digoreng, jadi goreng sajalah. Beli dah siap potong dari pasar. Bersihkan sebentar dan cuci bersih. Bubuh garam, kunyit dan masukkkan pelan-pelan dalam minyak panas. Gorenglah sampai masak. MIL & FIL selalu pesan kalau goreng ikan ... goreng lembik-lembik je! MIL & FIL tak mahu Amie goreng ikan sampai garing... he heheh zaman kecik-kecik dulu cara Amie goreng  ikut ajaran orang kampung, gorenglah sampai garing, sampai minyak gorengan tu diam-diam... maksudnya kalau dah minyak tak berbunyi lagi tu, kira masaklah isi ikannya. Taklah takut masih berdarah ke, apa ke. Maklumlah, dulu-dulu mana ada peti sejuk. Ikan yang digoreng banyak-banyak tu bolehlah disimpan untuk lauk makan berkali-kali. Menyimpannya pula dalam periuk besar, tutup rapat-rapat takut ada 'kucing' kepala hitam yang jenguk. Kalau ayahanda beli ikan di pasar Sungai Buluh (jauh pasar tu jadi harus berkati-kati membelinya - dulu timbang kati, sekarang kilogram), sekati kira-kira 600 gram ikut sukatan metrik. Tapi dulu tak pernah jumpa ikan kaci, melainkan ikan gelama atau ikan kerisi yang sekarang ini susah pula Amie jumpa!


Sambil goreng ikan, sambil-sambillah tangan tu kupas bawang putih, bawang merah, buang tangkai cili padi dan cari kepingan belacan. Amie gunakan cili padi minyak, kurang pedasnya. Kalau cara kampung kami, cili padi dikukus di atas nasi yang ditanak dan baru hendak dikeringkan. Banyak cara kalau nak buat sambal belacankan? Kali ini Amie goreng saja semua bahan, dan kemudian tumbuk tapi taklah sampai halus lumat. Rasanya sambal 
belacan yang ditumbuk agak kasar sikit (tak lumat lunyai) lebih sedap pula rasanya... ikut selera Amie ye...).

Resepi : Sambal Belacan
Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
5 biji bawang putih 
7 biji bawang merah
15 biji cili padi minyak
belacan sebesar ibu jari
3 biji limau kasturi
secubit garam & gula
minyak

Cara:
1. Satukan bawang putih, bawang merah, cili padi dan belacan. Goreng hingga wangi - Amie tak goreng sampai garing.
2. Tumbuk bahan di atas dalam lesung.
3. Perahkan jus limau kasturi, dan bubuh secubit garam serta gula - sukatan gula terpulang ikut citarasa masing-masing.
4. Gaul  mesra dan hidangkan.


Ada peneman yang seterusnya... Sayur Lemak Labu Manis. Amie masak lemak putih, tapi keluar juga warna kuning pada kuah daripada isi labu manis. Nak masak sayur ini pun senang saja sebab Amie beli sayur yang siap dipotong bercampur pula dengan kacang panjang dan terung. Santannya pula, beli pati santan segar... tak payahlah nak kisar atau perah lagi. Wah! Senangnya kalau begini... kan kann... jadi sesibuk mana pun, sesiapa saja boleh sediakan hidangan buat keluarga sebab sekarang banyak pilihan untuk memudahkan kerja masak-memasak! Tak payah kupas kelapa, tak payah parut kelapa. Tak payah buang kulit labu... bla..blaa...blaaa. Sediakan sajalah bawang putih, bawang merah, serai sebatang dan juga udang kering! Lebur dalam periuk. Siap! Oh... ya! Amie tak bubuh kunyit, sebab Amie suka menikmati sayur lemak putih... suka aroma santannya yang segar dan wangi! Oleh kerana sudah ada Sambal Belacan, Amie tak bubuh cili dalam masakan ini.

Resepi : Sayur Lemak Labu Manis
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
300 gram potongan labu manis
100 gram potongan terung Taiwan
5 batang kacang panjang - patah-patahkan sepanjang 3cm
1 batang serai - dititik
1 cawan santan pekat
2 cawan air
garam /perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu makan udang kering - rendam terlebih dahulu

Cara:
1. Masukkan labu manis dan terung Taiwan, serai ke dalam periuk bersama 2 cawan air dan bahan tumbuk.
2. Rebus hingga mendidih dan empuk. Masukkan kacang panjang.
3. Setelah kacang panjang berubah warna, masukkan santan pekat dan gunakan api sederhana.
4. Kacau sekali-sekali sehingga keluar nampah buih-buih mula mendidih di tepi periuk.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur.

7 ulasan:

  1. aduhai...sedapnya masak lemak labu tapi selalu kita org letak lada hitam sikit.

    Amie..k ita dah buat kek labu resepi amie tu. sedap! manisnya sedang2 je. Blm update lagi kat blog. senang2 singgahlah.

    BalasPadam
  2. salam kak amie..

    sedapnya menu lauk kampung tu..

    BalasPadam
  3. kak amie terliur jap..teringat kat umah ada labu seketui besoo punye..

    BalasPadam
  4. lauk kampung mcm nii laa baru sedapp... tun jenis mkn ikan goreng garing2.. mmg kalau goreng ikan separuh goreng garing, separuh lg goreng cukup2 masak je. sbb selera lain2.

    BalasPadam
  5. Assalam amie, kita cukup suka ngan masakan kampung, msk lemak putih n ikan goreng mememnag best, kalo kat klate ada budu n ulam lagi terangkat. Sambal belacan pun ok.

    Kita kadang2 suka ikan goreng garing , tapi kdg2 suka yg sedang2 saje masak tu hehhe

    BalasPadam