Pages

Sabtu, 7 Julai 2012

Ayam Goreng Jawa

Selamat berhujung minggu buat semua. Jom berkenalan dengan Ayam Goreng Jawa, olahan Che Wan dan Amie terjemahkan dalam Amie's Little Kitchen pada hari ini. Ada kelainan dalam resepi ini kerana selama ini kalau orang kampung Amie masak ayam goreng, hanya gunakan rempahan biasa, tetapi resepi yang diketengahkan oleh Chef Wan memang jauh berbeza! Namun begitu, rasanya memang lazat.... itu kata Encik Suami tanpa Amie pinta. Biasanya ketika suapan terakhir atau semasa makan, Encik Suami akan bersuara perlahan, perlahan saja.... kalau hidangan yang dijamahnya sedap.


Resepi : Ayam Goreng Jawa
Sumber : Buku Masakan Selera Malaysia - Chef Wan

Bahan-bahan:
1 ekor ayam (1.5kg) - dipotong kecil
1.5 cawan santan cair
1 sudu teh asam jawa - perah dengan 4 sudu besar air
55 gram tepung beras
garam secukup rasa
 minyak

Bahan pes rempah:
4 tangkai cili merah dibuang biji
2 sudu teh biji ketumbar
2 biji buah keras
12 biji bawang merah
1 batang serai - hiris halus
2.5cm lengkuas - dikupas
2.5cm kunyit hidup
2 sudu teh gula melaka - diparut

Cara:
1. Masukkan bahan-bahan untuk pes rempah ke dalam mesin pengisar dan kisar hingga halus.
2. Masukkan ayam dengan santan, air asam, garam serta pes rempah ke dalam periuk besar dan kemudian renehkan di atas api sederhana sehingga ayam empuk dan kuah menjadi agak pekat.
3. Alihkan daripada api. Biarkan ayam di dalam kuah untuk diperap selama 4 jam di dalam peti sejuk. Kemudian asingkan ayam daripada kuahnya. Ketepikan kuah untuk dihidangkan kemudian.
4. Salutkan ayam dengan tepung beras.
5. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng terendam ayam sehingga warnanya kuning keperangan. Tuskan.
6. Hidangkan ayam goreng bersama kuahnya.


Anak-anak kata kuahnya sedap! Dan buat pertama kalinya, bujang tengah bertanya.... macamana Mummy masak ayam itu?

Apa benda Amie paparkan benda di bawah ni?  He he hehh..... kompang rupanya! Ada cerita tentang kompang ke? Atau ada kisah di sebalik kompang?



Seawal pukul 6.45 pagi tadi Amie menghadirkan diri ke Dewan Masyarakat Lahad Datu sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Daerah merangkap majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, tapi Amie bukan penerima APC tau! Sekolah kami ditugaskan sebagai AJK Pendaftaran dan menyediakan kumpulan kompang untuk acara sambutan dan perasmian majlis tersebut. Dua minggu sebelum ini, pasukan kompang sekolah kami diminta untuk berkompang di salah sebuah sekolah menengah di daerah kami sempena Majlis Ihtifal Peringkat Negeri Sabah. Pada masa yang sama sebahagian pemain kompang terpaksa menghadiri beberapa program lain menyebabkan (guru) pengurus pasukan terpaksa mencari pengganti. Khabarnya pada pagi tersebut, guru berkenaan mengambil seorang demi seorang pelajar dari rumah ke rumah, dan mereka tidak pernah memukul kompang namun begitu sempat membuat beberapa kali latihan sebelum perasmian bermula. Malangnya, ketika kompang dipalu semasa majlis berlangsung, terdengarlah bunyi-bunyian sumbang kerana tidak mengikut rentak. Bagaimanapun rentak tersebut menarik perhatian pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan semasa mesyuarat sambutan hari guru di PPD, pasukan kompang sekolah kami dicadangkan untuk berkompang semasa sambutan dan perasmian hari guru peringkat daerah pada pagi tadi. Walaupun telah diterangkan perkara sebenar bahawa rentak yang mereka dengar adalah rentak sumbang, namun mereka tetap mahu pasukan kompang sekolah kami juga...

Jadi, pagi tadi Amie cuba menikmati bagaimana sumbangnya rentak paluan kompang itu.... Bila Amie cerita kepada Encik Suami tentang cerita bunyi paluan kompang yang sumbang, katanya.... itu ialah bunyi pecahan kompang. Amie kata, bukankah terkeluar dari rentak asalnya. Katanya lagi... yang sumbang itulah yang sedap di dengar kerana terkeluar dari rentak asal itulah kelainannya! Ooooo ye ke...

14 ulasan:

  1. Kak Amie..mesti sedapni resepi chef wan..mieza cop nak cuba resepi ni...mesti sedap..mieza suka ayam yg dimasak berkuah pekat macam ni..sedap nyer kak..

    BalasPadam
  2. Mieza,
    memang sedap, lain dari yang lain, cuma kena sabar tunggu 4 jam masuk peti sejuk!

    BalasPadam
  3. oh ye ke saya pun baru tau pasal kompang tu. hhe..

    BalasPadam
  4. waa..sedapnya ayam goreng jawa..lapar..lapar..lapar....

    BalasPadam
  5. ooo ada ye ayam goeng jawa..teringat dulu kawan saya org jawa dia suka goreng ayam buh ketumbar banyak2..sedap plak..menu ni pn nampak sedap :)

    BalasPadam
  6. Salam Amie. nampak menarik ayam goreng jawa ni....lagi lama perap lagi mesra bahan2nyakan...

    BalasPadam
  7. tak pernah masak goreng lain selain goreng berkunyit..
    boleh cuba ni..bila senang..huhu..tak pun buat lauk raya...potong kecik2. jd tak kak amie...

    nora di wad..belum keluar lg si solehnya

    BalasPadam
  8. xpenah lak dengar resepi ni..mesti cuba ni..:)

    BalasPadam
  9. Al Azrul,
    betul tu... berkuah.

    Asmara,
    he he hehh... kompang!

    Rahel,
    Kak Amie baru tahu ada resepi ayam goreng Jawa begini...

    BalasPadam
  10. Tihara,
    orang Jawa memang suka masakan berempah (menurut bonda, supaya tidak ada bau hanyir / hamis pada daging).

    Mamasya,
    nak memerap itu pun satu hal sebenarnya... Amie pun hampir terlupa 4 jam perap dalam peti sejuk!

    Nora,
    ayam goreng... buat macamana cara gorengannya pun sedap!

    KunangKunang,
    resepi dari buku masakan Chef Wan.

    BalasPadam
  11. Nampak sungguh sedap ni Amie, harus dicuba nanti..

    Hehe..kompang sumbang, tak pernah dengar tapi pasti ada keistimewaannya tu hingga berjaya menarik perhatian.

    BalasPadam
  12. Ummiross,
    sumbang itulah kelainannya, unik!

    BalasPadam
  13. Kak Amie orang Jawa ye? Samalah kita.. Boleh cuba resepi ni.. Tentu harum semrbak bila lepas digoreng. Kalau perap lama, tentu lagi sedap..

    Pasal kompang tu.. Tak sangka dpt perhatian walaupun sumbang.. Mereka ada bakat terpendam tu.. Kena diasah lagi.. Kak Amie guru Kelab Kompang ye??

    BalasPadam