Buah jering? Ramai yang tak suka makan buah ini disebabkan baunya.... dulu Amie tak suka makan sebab bonda sediakan dalam bentuk ulam. Sehinggalah kali pertama Amie rasa buah jering ini sedap apabila makan di tepi dermaga sewaktu menunggu feri berlepas dari Brunei ke Labuan kira-kira 19 tahun lalu... heeee ingat lagi tu pada Disember 1992. Ada seorang peniaga wanita menjual jering rebus yang dimakan bersama kelapa parut. Amie hanya bertanya apa benda yang dijualnya, wanita itu mempelawa Amie memakannya. Pada mulanya Amie menolak, pertamanya sebab nanti kena beli... maklum mata wang dollar Brunei sudah habis, tetapi wanita itu berikan secara percuma. Oh... tak sangka, rasanya sedap, tidak seperti jering ulam yang selalu Amie makan. Kemudian wanita Brunei itu berikan Amie sebungkus....., teragak-agak nak terima tapi akhirnya Amie ambil juga dan makan bersama rakan yang lain sehinggalah feri tiba. Semasa makan di sebuah restoran di Bandung, kami makan malam dengan masakan Padang. Ada pula jering masak lada hijau dan lada merah. Amie cuba makan, okey juga rasanya.... hmmm petang ini Amie hasilkan satu resepi berasaskan jering. Tak tahulah, adakah orang lain dah pernah buat resepi seperti ini....
Bahan-bahan:
7 biji buah jering (buang kulit dan rebus hingga empuk - toskan airnya - hiris nipis-nipis)
7 tangkai daun selom (potong ikut suka)
7 tangkai pucuk ubi (celur, perah airnya dan hiris-hiris)
2 biji limau kasturi (perah airnya)
1 cawan kelapa parut
1/2 cawan udang geragau
3 biji bawang merah (mayang halus)
3 biji bawang putih (mayang halus)
10 biji cili padi (potong nipis)
2 batang serai (mayang halus)
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula
Cara:
1. Gaul kesemua kelapa parut, udang geragau,bawang merah, bawang putih, cili padi, serai, garam dan gula.
2. Masukkan ke dalam kuali dan sangan hingga kuning keemasan.
3. Angkat dari kuali dan tumbuk separuh lumat.
4. Masukkan jering, daun selom dan daun ubi ke dalam sebuah bekas.
5. Gaul bersama bahan yang ditumbuk separuh lumat.
6. Perahkan air limau.
7. Sedia untuk dihidangkan.
Jering memang terkenal mencegah penyakit kencing manis. Daun selom pula berbagai-bagailah khasiatnya termasuk mengubat penyakit bisul, angin dalam perut, buang air berdarah dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan