Orang tempatan tidak memanggil nama 'rusa' tapi disebut 'payau'. Pertama kali makan daging rusa masak rendang, Amie tidak dapat memastikan apa keistimewaan daging ini. Rasanya biasa sahaja, kalau disuruh buat pilihan, Amie pilih daging lembu. Apabila makan sup tulang rusa, sekali lagi Amie rasa sangat enaknya kalau makan sup tulang lembu. Lama-kelamaan, rusa bukanlah daging yang istimewa pada Amie walau dimasak dengan apa cara sekalipun. Kalau ikut ranking, antara lembu kambing dan rusa, jatuhlah ia ke tempat yang ketiga. Suatu hari, sepupu Amie, Wak Sallleh, seorang pengurus ladang kelapa sawit (sekarang sudah kembali bertugas di Perak), hantar ke rumah Amie sebelah peha rusa yang baru disembelih.... Amie masih ingat, dibawanya daging itu dalam sebuah baldi. Suami Amie kata, bagus dibuat sup sebab masih segar tapi melihat pehanya yang warna merah jambu menandakan rusa muda, rasa sayang pula. Mengenangkan ada 'aroma' rusa yang masih belum serasi pada Amie, akhirnya Amie buat keputusan untuk masak sate goreng....hmmm... bau itu tiada lagi dan pertama kalilah Amie rasa daging rusa yang sangat lazat kerana dilumuri dengan rempah segar berbau harummmmm.... rempah sate. Sejak saat itu, setiap kali ada daging rusa, Amie mesti masak sate goreng, sebab bahan-bahan pemerap yang digunakan dapat mengatasi 'aroma' rusa yang mungkin tidak selesa bagi Amie.... tapi agaknya Amie seorang yang begitu, sebab tak pernah pula Amie dengar orang lain menghadapi masalah itu. Resepi di bawah ini Amie yang sediakan untuk sarapan esok pagi, kakak Amie pesan kalau nak buat sate elok perap sekurang-kurangnya 8 jam, tapi anak teruna Amie tak sabar nak makan sate, jadi dia pun masaklah sate rusa yang baru 4 jam diperap di dapur.....
Bahan-bahan:
1 kg daging rusa (potong saiz sate)
1 sudu serbuk kunyit
1 sudu garam
3 sudu gula
1 sudu pati asam jawa
300 gram kacang tanah (digoreng dan ditumbuk)
500ml santan cair
200ml santan pekat
sedikit belacan
kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
minyak
Bahan kisar:
15 biji lada merah (asingkan)
5 batang serai
50 gram halia
12 biji bawang putih
2 labu bawang besar
1 sudu jintan putih
1 sudu jintan manis
1 sudu ketumbar
Cara:
1. Bahan kisar dibahagikan kepada 2.
2. Perap daging rusa bersama 1 bahagian bahan kisar. Masukkan kunyit, garam, gula, asam jawa dan minyak. Simpan di dalam peti sejuk. (Sebaiknya selama 8 jam)
3. Sementara itu, panaskan minyak dan tumis 1 bahagian lagi bahan kisar hingga wangi. Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang.
4. Masukkan lada kisar, belacan dan asam jawa.
5. Masukkan santan cair dan diikuti dengan kacang tanah.
6. Apabila kuah kacang menjadi pekat, masukkan gula, dan garam.
7. Masukkan santan pekat dan perlahankan api. Biarkan mendidih dan kacau sekali sekala.
8. Apabila telah pecah minyak, padamkan api.
9. Untuk memasak sate rusa, panaskan kuali dan tuang bahan perap ke dalam kuali. Kalau selalu dan apabila telah hampir kering dan masak, bolehlah angkat.
10. Hidangkan bersama sambal kacang, hirisan timun dan juga bawang.
~ Dulu Amie rajin masak resepi ini dan dibawa ke tempat kerja untuk dinikmati bersama rakan-rakan. Kebanyakkan mereka bertanya bagaimana Amie buat kuah kacang kerana rasanya yang 'gurih'.... Tiada rahsia Amie sembunyikan, semuanya tertulis di atas, dan mungkin sebab Amie masukkan belacan serta gunakan santan. Satu lagi, kuah atau sambal kacang kurang keenakannya sekiranya dimakan sebaik sahaja dimasak. Biarkan meresap beberapa jam, dan panaskan kembali supaya rasanya benar-benar 'gurih' ... resepi sambal kuah kacang ini adalah resepi turun temurun keluarga dan saudara mara Amie di kampung. Bonda dan sanak saudara memang sangat arif dalam membuat sambal kacang ni.... terutama ketika menjelang Hari Raya Puasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan