Pages

Khamis, 24 Mac 2011

Kaki Ayam Masak Sup

Jumpa lagi.... Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk kita bertemu di alam maya. Menu Amie kali ini hanyalah sup ayam..... (masakan kelmarin: baru sempat upload) masak ringkas2 saja. Sewaktu Amie balik ke rumah Bonda pada dinihari Sabtu (sampai kampung pukul 2.30 pagi dari LCCT sebab flight delay dari Jakarta). Sewaktu Amie tunaikan solat Subuh, sudah terbau aroma masakan dari dapur, tapi selepas itu Amie sambung tidur sebab tersangat letih. Pukul 8.00 pagi, Amie terbangun dan Bonda ajak sarapan pagi di dapur. Macam-macam Bonda sediakan, termasuklah cempedak goreng, ubi rebus dengan ikan kering, nasi, sayur pucuk meranti, ikan cencaru dan.... tiba-tiba kakak datang bawa sup ayam yang harum semerbak... Adik Amie pula sibuk mengukus kuih pau... katanya untuk Amie makan bersama kawan2. Tidak lama kemudian, anak buah pula datang dengan sekotak keropok & kerepek, siap packing.... Oh! Masa terlalu singkat, kerana pukul 10 pagi, Amie terpaksa tinggalkan Bonda dan sanak saudara.... dan paling tidak sanggup Amie lihat ialah airmata Bonda...... namun, selamat tinggal semua, insya-Allah jumpa lagi.


Sebenarnya Amie masak sup kaki ayam ikut resepi Bonda dan yang biasa orang kampung Amie masak. Kena tumis dahulu semua bahan perencah, layukan ayam dan baru tambah air. Biasanya mereka pilih bahagian kaki ayam untuk dibuat sup.

Bahan-bahan:
1/2 kg kaki ayam (potong 2)
10 biji cendawan kering shiitake (pilih yang kecil)
1/2 batang lobak merah (potong-potong)
1 sudu lada putih (tumbuk)
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
1 sudu serbuk pati ayam
minyak
daun sup
bawang goreng

Bahan tumbuk:
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia
1/2 sudu ketumbar
1/2 sudu jintan putih
1/2 sudu jintan manis

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk bersama bunga lawang dan kulit kayu manis hingga wangi.
2. Masukkan kaki ayam dan balik-balikkan hingga layu.
3. Masukkan 600ml air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan lobak dan cendawan kering shiitake.
5. Masukkan lada putih. Biarkan mendidih lagi hingga kaki ayam empuk.
6. Masukkan lada putih.
7. Masukkan serbuk pati ayam.
8. Angkat dan hidangkan bersama taburan bawang goreng dan daun sup.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan