Pagi Ahad datang lagi.... cuaca agak redup & terasa nyaman sekali walaupun sebenarnya tidak sampai pun berapa meter di hadapan rumah, kerja-kerja pembinaan jalan raya sedang giat dijalankan. Entah berapa lama, lebih setahun tak berani buka pintu hadapan dan juga tingkap.....habuk sentiasa berterbangan masuk, bukan sahaja akibat pembinaan jalan raya tapi di seberang jalan sana lebih dahsyat....bandar baru Sri Perdana sedang dalam proses pengubahsuaian...tersergam rangka hotel dan pusat beli-belah. Dan pastinya, sesekali buka almari hiasan dan celah-celah yang lain....sudah terkumpul segala datuk nenek moyang habuk yang mencuri masuk entah dari lubang mana.... apa pun janganlah hendaknya segala habuk dari jalan raya dan tapak pembinaan pelbagai projek tu masuk ke dapur saya...habis rosaklah, kotorlah semuanya....hu hu hu. Ha...pagi ini saya buat cucur udang, sejenis kuih yang sangat saya suka makan dari kecil lagi. Kalau kita beli di kedai, macam-macamlah rupa bentuk, rasa dan kuahnya. Sekarang, bila buat sendiri...puaslah kita makan dan boleh ikut kepala sendiri untuk menghasilkannya.
Memang susah untuk kita lupakan yang 'pertama' termasuklah cinta pertama.... he he he... Yang saya maksudkan di sini tak lain tak bukan...cucur udang pertama yang saya makan tentulah di kantin sekolah rendah dulu...dah berpuluh tahun. Harganya hanya 5 sen tapi ..... segalanya cukup lengkap sampai hari ini saya ingat sebab hari-hari suka beli cucur udang, karipap dan aiskrim. Arwah ayah beri belanja sekolah 20 sen setiap hari, memang kenyanglah bila makan waktu rehat, maklum walaupun emak sediakan sarapan pagi tapi sebab 'terlalu' pagi, perut tak dapat nak terima. Hmmm..tentang cucur udang tu, biasanya yang dijual di kantin diletak 2-3 ekor udang saiz kecil, ada taugeh, ada daun bawang, lada merah atau lada hijau. Yang kita beli sekarang walaupun RM1 dapat 3 ketul....tapi entah apa-apa isinya kan...paling-paling pun hanya udang sahaja...betul tak (itu yang saya selalu jumpalah... tak tahulah orang lain). Lebih baiklah buat sendiri ye... puas hati boleh makan seberapa banyak kita mahu, dan boleh bubuh apa sahaja benda yang sesuai dengan adunannya.
Bahan-bahan:
300 gram tepung (saya guna tepung pau - itu saja yang ada, sebab tepung gandum habis)
15 ekor udang kertas (buang kepala)
1 biji telur
1 biji lada merah (hiris nipis)
1 biji lada hijau (hiris nipis)
1/2 labu bawang besar (hiris nipis)
1 rumpun daun bawang (potong 3 cm)
1 cawan taugeh
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak
200 ml air
Bahan sos:
6 sudu sos chili thai
50 gram kacang tanah (tumbuk halus)
50ml air
Cara:
1. Masukkan tepung dalam mangkuk.
2. Pecahkan telur dan gaul bersama tepung serta masukkan air dan serbuk pati ikan bilis.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul sebati.
4. Masukkan semua bahan yang dihiris dan gaul lagi. Pastikan adunan tidak terlalu kental dan tidak terlalu cair.
5. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
6. Panaskan senduk dalam kuali dan keluarkan senduk bersama 1/4 sukatan minyak panas di dalamnya.
7. Gunakan sudu lain untuk memasukkan adunan tepung ke dalam senduk dan letak seekor udang di atasnya. (Jika udang saiz besar,masukkan seekor pun cukup, kalau saiz kecil, 2-3 ekor pun boleh)
8. Masukkan kembali senduk ke dalam kuali dan pastinya permukaan kuih terendam di dalam minyak.
9. Goyang-goyangkan senduk perlahan-lahan supaya cucur udang tanggal dari senduk. Kalau susah tanggal, boleh gunakan garpu untuk menanggalkannya. Biarkan cucur udang terus dalam kuali hingga masak,
10. Teruskan membuat cucur adunan yang kedua dan yang berikutnya.Ulangi dengan cara yang sama sehingga selesai.
11. Susun cucur udang di dalam piring dan boleh dimakan bersama sos.
Terpulanglah nak makan dengan sos apa.... ada yang suka sediakan kuah kacang bersama lada kisar. Saya suka sos cili thai, dan saya juga suka kuah kacang. Jadi, mudah saja...ambil sos cili thai, masukkan kacang tanah yang halus ditumbuk, tambah sedikit air panas dan kacau sebati...Siap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan