Pages

Ahad, 2 Januari 2011

Nasi Goreng Kerabu

Cerita pasal nasi goreng kerabu ni... teringat zaman persekolahan semasa di universiti dulu... sekitar 1989-91. Kami tinggal di asrama Seksyen 17 Petaling Jaya bersebelahan dengan kampus UIA. Setiap petang warung-warung berhampiran asrama akan dibuka dan faham-faham sajalah....kami ni kena berjimat dalam segala segi. Seorang teman pelihara pokok cili padi dalam pasu di tepi pagar.... siap pesan dengan tukang kebun supaya jangan buang pokoknya itu. Perbelanjaan yang terhad dan kena bijak merancang kewangan yang sememangnya sentiasa di paras leher, menyebabkan kami memilih nasi goreng saja sebagai alas perut terutamanya di waktu malam. Ada kedai abang entah apa namanya... nasi goreng dengan daging harga seringgit je...kalau campur sebiji telur goreng jadi seringgit tiga puluh sen. sedap memang sedap tapi mahu tahu.... rasa ajinomoto .... huiii... gugur rambut kami dibuatnya. Si kawan tadi sedap je makan dengan cili padi peliharaannya tu. Adapun kalau makan maggie, kami pun mintalah sebiji dua cili padinya...ehhmmm di mana entah kawanku itu... Berbalik pasal nasi kerabu... harga seringgit tujuh puluh sen... masya-Allah, banyaknya sampai 2 hingga 3 orang boleh makan. Yang saya ingat pasal nasi goreng kerabu ni, penuhlah di dalamnya dengan serai yang dipotong kasar2 dan budunya pun terasa sangat sebab banyak jugalah mat warung tu taruh budu... di samping sayur-sayur lain terutama kobis. Mat tu letak cili api beberapa biji, jadi tak payahlah petik di pokok kawan tu. Ha.... saya ada budu dan sayur.....nasi kerabu goreng mengamit memori...saya ingin mengenanginya kembali...


Saya goreng nasi kerabu untuk saya seorang sebab anak-anak memang pantang betul kalau nampak sayur. Jadi bahan yang saya gunakan pun cukup untuk saya makan sendiri. Saya buat ikut gerak hati, teringat rasa yang pernah saya makan, saya suka cuba buat.... sememangnya saya tidak terikat dengan mana2 cara memasak yang 'stereotaip' maknanya kalau bahan itu yang digunakan, mesti guna bahan itu dan tak boleh guna bahan lain... walaupun kita tak ada bahan berkenaan.

Bahan-bahan:
1 cawan nasi putih
1/2 cawan dada ayam dicincang
sedikit bawang besar cincang
1 ulas bawang putih dicincang
1 ulas bawang merah dicincang
2 batang serai (ambil isinya yang putih dan hiris nipis)
2 batang kacang panjang (hiris nipis)
1 helai kelopak kubis (hiris nipis)
1 cawan taugeh
2 sudu budu
5 biji cili padi
1/4 bunga kantan (dihiris)
7 helai daun kesum (dihiris)
minyak
secubit garam

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan bawang putih, bawang merah dan bawang besar dan hirisan serai sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam dan gaul rata.
3. Masukkan nasi dan gaul lagi hingga sebati.
4. Masukkan budu dan gaul lagi.
5. Masukkan semua sayur-sayuran dan diakhiri dengan taugeh.
6. Kalau suka lebih masin, masukkan secubit garam.
7. Siap.
Wah.... hasilnya nasi kerabu saya menjadi banyak sebab sayurnya pun pelbagai walaupun kuantitinya sedikit. Campur itu dan ini, nasipun boleh jadi bukit. Tak habis saya makan seorang. Rupanya suami saya pun ikut makan sama.... sedap katanya. Syukurlah, sekurang-kurangnya dia tidaklah terlalu pemilih dalam hal makanan. Kalau kita hadkan hanya menu-menu tertentu yang boleh kita makan, susahlah kalau kita berada di tempat orang yang menunya tidak sama seperti yang kita adap hari-hari.... rajin2lah mencuba rasa pelbagai resepi... bukan apa, kita rugi tak rasa sebab tak tahu sedap tidaknya... betul tak???.....he he...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan