Pages

Jumaat, 7 Januari 2011

Ikan Kaci Kukus Ala Hong Kong

Biasanya saya goreng saja ikan kaci. Selain rasanya yang agak tawar berbanding ikan lain, isi ikan ini juga sangat lembut. Terfikir pula untuk masak kukus... teringat 2 malam yang lepas bersama rakan-rakan semesyuarat, kami menjamu selera di sebuah restoran yang memang menyediakan masakan laut. Rasa macam nak pecah perut dibuatnya.... bayangkan ketua kami order ikan merah masak 3 rasa, ikan putih masak asam pedas, ikan siakap kukus ala hong kong.... hmmm.... besar2 pula ikan2 tu..... belum lagi sotong goreng salut tepung.... dan saya pun terus memikirkan untuk memasak ikan merah 3 rasa untuk anak2 sebaik sahaja pulang nanti, maklumlah hampir 5 hari tinggalkan rumah. Rupanya petang kelmarin semasa membeli ikan di Pasar Besar Tawau, kami tersalah beli ikan..... ingatkan ikan merah, petang tadi saya keluarkan dari peti sejuk dan tak tahu di mana silapnya, ikan kaci pula yang kami bawa pulang. Saya termenung seketika memikirkan apa menu yang special malam ini sebelum anak dan suami pulang ke rumah. Akhirnya saya teringat siakap kukus hong kong yang kami makan....


Saya pun kurang pasti mengapa ada nama 'kukus hong kong' pula... resepi dari hong kong ke?... atau saja suka-suka beri nama begitu. Resepi ini bukannya original 100% dari mana-mana rujukan, tetapi saya memasaknya dengan cara mengingat bahan dan rasa siakap kukus hong kong yang kami makan malam tu. Nampak pelik sedikit kan gambar di atas.... sebenarnya ikan kaci itu seberat 1kg dan sudah tentulah bekas kukusan saya tidak mampu menampung keseluruhan ikan dari kepala hingga ekor. Oleh kerana penjual ikan memang sudah siap potong (tidak sampai tanggal) ikan itu, jadi mudahlah saya bengkokkan ikan dan muatlah bekas kukusan saya yang bulat itu. Setelah ikan kukus ini masak, saya tidak keluarkan seperti biasa sebab anak dan suami belum pulang, takut nanti sejuk, tak sedap pula. Mata pula sangatlah beratnya tak boleh ditongkat2 lagi... jadi saya ambil gambar ikan dalam periuk pengukus dan kemudian terus tertidur dalam 15 minit sehingga anak pulang dari sekolah.
Mari kita lihat apa bahan yang digunakan dalam resepi kaci kukus ala hong kong saya ni....

Bahan-bahan:
1 ekor ikan kaci (terpulang berapa berat)
tepung jagung (campur sedikit air untuk memekatkan sos)
lada putih (ditumbuk)
4 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos ikan
2 sudu besar minyak bijan
3 kuntum cendawan kering (rendam dan hiris nipis)
1/2 batang lobak merah (hiris halus-halus)
1 inci halia muda (hiris halus-halus)

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letak ikan di dalam dulang pengukus dan susun semua bahan di atasnya kecuali tepung jagung dan lada putih.
3. Kukus ikan selama 20 minit.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung supaya kuah menjadi pekat.
5. Taburkan lada putih dan tuangkan minyak bijan.
6. Tutup untuk seketika.
7. Ikan kaci kukus ala hong kong sedia untuk dihidang.
Selamat mencuba!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan